Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Jaga kebersihan rumah panjang - Rayong



Caption: PENGHARGAAN...Rayong (kanan) menerima cenderamata daripada Adan (kiri) sambil disaksikan oleh Buda (enam kiri) ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

ENGKILILI, Jumaat (30 Mac) - Agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sekitar daerah ini diseru agar menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata usaha itu amat penting memandangkan spesis nyamuk terbabit amat berbahaya sebagai punca kepada penyakit Demam Denggi yang dihidap oleh manusia sehingga ke hari ini.

 “Setiap agensi kerajaan, swasta, persatuan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Mereka perlu saling bekerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen yang mampu menyedarkan golongan masyarakat terhadap bahaya penyakit yang mampu dibawa oleh nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesihatan 2012 anjuran Kelab Kebajikan Rekreasi Dan Sukan Majlis Daerah Lubok Antu yang berlangsung di Dewan Skim Skrang, Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan penduduk rumah panjang untuk mengurangkan tabiat meminum arak dan merokok yang boleh mengancam taraf kesihatan diri mereka sendiri.

“Kedua-dua jenis tabiat ini sebenarnya amat merugikan. Justeru penduduk perlu berhenti mengamalkan tabiat terbabit dan seterusnya mengumpul wang untuk aktiviti berfaedah selepas ini,” katanya.

Terdahulu program yang turut dianjurkan secara kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman telah diselitkan dengan pelbagai aktiviti kesihatan untuk penduduk.

Hadir sama pada perasmian program itu ialah wakil Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman, Buda Ason dan Pengerusi Kelab Kebajikan Rekreasi Dan Sukan Majlis Daerah Lubok Antu, Adan Sandom.

Tamat.  Tamat....  


No comments:

Post a Comment