Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Mohd Nasfu mahu jadi Takung Kasut berjaya

Caption:

1. SILA DATANG...Nasfu bersama gerai Klinik Kasut 1 Malaysia yang diusahakan oleh beliau semenjak awal Januari tahun ini.

2. SEDANG DIBAIKI...Antara kasut dan selipar milik pelanggan yang sedang dibaiki oleh di Klinik Kasut 1 Malaysia pada masa sekarang.

3. RINGKAS...Nasfu menggunakan peralatan khas seperti yang ditunjukkan dalam gambar ini bagi menjayakan operasi Klinik Kasut 1 Malaysia.

4. BANYAK PERMINTAAN...Nasfu sedang melakukan kerja membaiki kasut yang dihantar oleh pelanggan ke Klinik Kasut 1 Malaysia.

5. SIBUK...Nasfu sedang memberi fokus terhadap kerja menjahit dan menampalkan tapak kasut milik pelanggan di Klinik Kasut 1 Malaysia.

SRI AMAN, Jumaat (22 Jun) – Lazimnya ramai orang akan memikirkan bahawa kerjaya sebagai seorang tukang kasut adalah bertaraf rendah dan tidak memberi banyak pulangan kepada pengusahanya selama ini.

Namun tanggapan seperti itu nyata salah sama sekali memandangkan kerjaya sebagai seorang tukang kasut sebenarnya amat menguntungkan bagi setiap pengusaha selagi mereka rajin berusaha dan bijak menunaikan permintaan pelanggan.

Atas sebab inilah Mohd Nasfu bin Jobli, 36, dari Kampung Hilir Sri Aman sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai seorang tukang masak restoran hanya demi mencapai impian untuk menjadi seorang tukang kasut berjaya di masa akan datang.

“Saya sebenarnya sudah menceburi bidang terbabit secara tidak rasmi semenjak 10 tahun lepas di Kuching bersama seorang rakan sebelum bekerja sebagai tukang masak restoran dalam Bandar Sri Aman ini.

“Kerinduan terhadap kerjaya tukang kasut telah menyebabkan saya berhenti menjadi tukang masak dan memulakan perniagaan membaiki kasut di Stesen Bas Sri Aman bermula awal bulan Januari lepas,” katanya ketika ditemubual Utusan Sarawak hari ini.

Nasfu telah bertindak membuka gerai kecil yang diberi nama Klinik Kasut 1 Malaysia dan berjaya meraih pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari semenjak memulakan perniagaannya di kawasan terbabit.

Suami kepada Nur Farida Abdullah dan bapa kepada dua orang anak itu telah menggunakan strategi publisiti dari mulut ke mulut untuk menjayakan perniagaan beliau sehingga berjaya memperoleh pelanggan tetap.

“Saya kemudiannya berpindah ke kawasan kaki lima bangunan Lot 917 Jalan Hospital, Sri Aman di sini pada bulan Mei lepas...pendapatannya tetap menguntungkan dan dapat digunakan untuk belanja seharian kami sekeluarga hingga sekarang,” katanya.

Menerusi Klinik Kasut 1 Malaysia, beliau menawarkan khidmat melekatkan kasut dengan gam, jahitan dan gam serta menukar tapak kasut kepada pelanggan di bandar Sri Aman ini.

Bayaran bagi melekatkan tapak kasut bergantung kepada pelanggan itu sendiri katanya dengan khidmat menjahit dan gam pula dikenakan caj bayaran antara RM8 (kasut wanita) hingga RM12 (kasut sukan).

“Manakala itu khidmat tukar tapak kasut pula dikenakan bayaran antara RM20 hingga RM40 bergantung kepada jenis serta harga pasaran tapak kasut milik pelanggan itu sendiri,” jelas beliau lanjut.

Demi memuaskan hati pelanggan, beliau mensasarkan kerja menampal tapak kasut menggunakan gam untuk tempoh 10 minit, khidmat jahitan dan gam bagi tempoh setengah dan tukar tapak kasut bagi tempoh setengah jam hingga dua hari.

Malah Klinik Kasut 1 Malaysia kata Nasfu juga beroperasi pada setiap hari (termasuk hari minggu) bermula dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bagi membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat tersebut tanpa mengira waktu.

“Impian saya ialah ingin membuka sebuah kedai membaiki dan membekalkan alatan pembaikan kasut yang pertama di Bandar Sri Aman pada masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa ia sekaligus akan dapat memberi pekerjaan kepada belia di sini.

Beliau juga kini sedang dalam proses untuk menyiapkan rangka kertas kerja bagi menubuhkan kelas membaiki kasut di Sri Aman dan seterusnya dihantar ke agensi kerajaan selepas ini.

“Nasihat saya ialah jangan memandang kerjaya tukang kasut dari sudut persepsi yang negatif memandangkan kerjaya sedia ada sekarang jauh lebih lumayan berbanding kerja sebagai seorang tukang masak.

“Saya menganggap kerja ini amat mulia dan halal. Lagipun anda akan memperoleh ramai kenalan menerusi kerja seperti ini berbanding dengan kerja yang dianggap standard namun tidak memberikan keuntungan lumayan kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Justeru mereka yang berminat untuk menggunakan khidmat Klinik Kasut 1 Malaysia dan mengetahui lokasi tepat perniagaan tersebut selepas ini boleh menghubungi Nasfu sendiri di talian telefon 019-8453193.

Tamat.


Penutup besi masih 'laku'


Caption: NYARIS DICURI...Gambar menunjukkan keadaan penutup longkang yang nyaris dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

SRI AMAN, Jumaat (22 Jun) – Penutup besi longkang nyata masih menjadi sasaran dikalangan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mengaut keuntungan untuk diri masing-masing tanpa mengira kepentingan pihak lain.

Terbaru dua penutup besi yang terdapat di laluan Jalan Kelab dalam Bandar Sri Aman dipercayai nyaris dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab namun tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

Seorang penduduk yang melaporkan perkara ini kepada Utusan Sarawak memberitahu penutup besi berkenaan berada dalam keadaan yang elok selama ini sebelum kedudukannya dilihat terjatuh ke dalam parit pada keesokan harinya.

“Saya menyedari besi penutup longkang tersebut sudah terjatuh dalam parit ketika mahu berjalan kaki menuju ke sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari Pasar Tamu Sri Aman kelmarin.

“Pada mulanya saya fikir penutup besi tersebut terjatuh sendiri. Namun apabila diamati dengan teliti anda akan mendapati bahawa bahagian skru sudah pun dicabut dari kedudukan lubang besi tersebut,” katanya yang hanya dikenali sebagai Henry.

Beliau percaya cubaan mencuri penutup besi tersebut mungkin gagal apabila perbuatan mereka dilihat oleh penduduk yang masih mundar-mandir di dalam kawasan bandar ini pada waktu malam.

Justeru beliau berharap agar penutup besi longkang berkenaan diperbetulkan semula dengan skru dipasang lebih ketat demi mengagalkan rancangan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencuri penutup besi berkenaan selepas ini.

“Ramai orang fikir mungkin angkara kenderaan. Tetapi adalah amat mustahil tayar kenderaan boleh termasuk ke dalam longkang tersebut memandangkan benteng bersimen yang terdapat di situ adalah amat tinggi.

“Ia bukan angkara kenderaan. Jika perbuatan tersebut dianggap vandalisme pun mungkin tidak masuk akal memandangkan orang tidak siuman sahaja yang mahu merosakkan penutup longkang tersebut tanpa sebab,” katanya.

Tamat.


IPD Simunjan adakan ceramah Agama


Caption: FOKUS... Para jemaah kelihatan khusyuk mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Nik Mohamad Zaim di surau IPD Simunjan baru-baru ini.

Abang Naim Abang Pauzi

SIMUNJAN, Jumaat (22 Jun) – Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibupejabat Polis Daerah (IPD), Simunjan yang dipengerusikan oleh ASP Abang Ahmad Abang Suni telah mengadakan ceramah agama yang berlangsung di surau IPD tersebut baru-baru ini.

Jurucakap penganjur, Ustaz Mohamad Shah memberitahu ceramah agama terbabit bertujuan untuk memperingati hari Israk dan Mikraj dikalangan kakitangan polis dan ahli keluarga mereka yang beragama Islam di IPD Simunjan.

“Ceramah agama bersempena dengan hari Israk dan Mikraj tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Nik Mohamad Zaim yang dijemput khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin.

“Menerusi ceramah tersebut kesemua hadirin dapat menghayati dan memperingati peristiwa agung dan luarbiasa yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam kalender Islam,” katanya.

Beliau menambah bahawa penghayatan terhadap peristiwa tersebut akan dapat mentarbiyahkan jiwa ke arah kesempurnaan dan mengukuhkan keimanan disamping memperkuatkan rasa takjub kepada kekuasaan Allah.

“Justeru kita berharap agar ceramah agama bersempena dengan hari Israk dan Mikraj terbabit akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kakitangan polis beragama Islam IPD Simunjan selepas ini,” katanya.

Terdahulu program yang diadakan selepas solat maghrib berjemaah itu telah dihadiri oleh seramai 50 orang para anggota polis dan keluarga termasuk kakitangan awam beragama Islam di IPD Simunjan.

Tamat.

TBS adakan taklimat Zakat Gaji


Oleh Zul Zainami


Caption: UNTUK ALBUM...Shamsul (belakang kiri sekali) ketika merakamkan gambar kenangan bersama Hamisah, para guru dan para penerima sumbangan beg pada majlis itu baru-baru ini.

PUSA, Khamis (21 Jun) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah mengadakan sebuah taklimat khas berhubung Zakat Pendapat Gaji untuk para guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa, Betong pada 18 Jun lepas.

Jurucakap penganjur memberitahu taklimat ini bertujuan untuk memberi kefahaman yang baik terhadap kefardhuan berzakat di samping meraih maklumat tentang agihan zakat yang dilaksanakan oleh TBS.

“Pihak kami juga mengambil kesempatan ini untuk menyerah cek bantuan bagi melancarkan aktiviti keilmuan yang direncanakan oleh pihak sekolah melalui Guru Besar SK Pusa, Hajjah Hamisah binti Ahmad.

“Malah pihak TBS menerusi taklimat Zakat Pendapat Gaji berkenaan juga turut berbesar hati untuk  menyerahkan sumbangan berupa beg sekolah kepada 20 orang pelajar fakir miskin dari sekolah rendah terbabit,” katanya.

Terdahulu Ketua Zon Selatan TBS, Shamsul Bahri bin Manap ketika berucap pada majlis itu berkata pihaknya sentiasa memberi komitmen yang baik untuk meraikan segala bentuk program yang bersifat akademik.

Program bersifat akademik yang dijayakan menerusi komitmen TBS katanya juga amat penting bagi membudayakan suasana keilmuan di kalangan masyarakat Islam setempat dari masa ke semasa.

“Ilmu merupakan tunjang kepada kelangsungan ketamadunan sesebuah komuniti dengan ilmu jualah perubahan dapat dilakukan ke atas lingkungan fizikal sama ada individu atau masyarakat.

“Justeru kami berharap keagungan tamadun umat Islam di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan adanya penganjuran pelbagai jenis program pada  masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Guru Besar SK Pusa, Hajjah Hamisah telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan yang diberikan oleh pihak TBS di atas keprihatinan mereka dalam memeriahkan budaya ilmu yang diusahakan.

Tamat.

KRT Kampung Hulu adakan sambutan Hari Bapa



Caption:

1. SELAMAT HARI BAPA...Ricardo (tengah) ketika menyempurnakan upacara  memotong kek bersama tetamu khas pada majlis itu malam kelmarin.

2. PENGHARGAAN...Deli (kanan) sambil disaksikan oleh Lela (kanan sekali) dan Safuan (kiri sekali) ketika menyampaikan cenderamata kepada Ricardo pada majlis itu.

SRI AMAN, Khamis (21 Jun) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jiranita Kampung Lemanak, Sri Aman telah mengadakan Majlis Kesyukuran Hari Bapa 2012 yang berlangsung di kediaman Shamat Spawi, Kampung Hulu malam kelmarin.

Pengerusi Jiranita Kampung Lemanak, Lela Ain ketika ditemui berkata majlis berkenaan bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia pada 17 Jun lepas.

“Tujuannya ialah untuk membawa semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia untuk mengenang kembali jasa golongan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak selama ini.

“Kita mahu semua lapisan masyarakat memberi kasih sayang dan penghargaan sepenuhnya kepada bapa masing-masing di atas pengorbanan mereka dalam membesarkan kita selama ini,” katanya.

Selain itu majlis terbabit kata Lela juga bertujuan untuk mengalakkan pembentukkan budaya penyayang dikalangan masyarakat setempat dalam kawasan Kampung Lemanak, Sri Aman.

Majlis tersebut menurut beliau lagi adalah amat penting bagi menunjukkan sifat keprihatinan dan kesedaran masyarakat Kampung Lemanak dalam menghargai sumbangan kaum bapa selama ini.

“Justeru kita berharap agar lebih ramai pihak mengadakan majlis kesyukuran seperti ini untuk mengekalkan rasa hormat serta kasih sayang kita terhadap kaum bapa pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Majlis Kesyukuran Hari Bapa 2012 anjuran KRT dan Jiranita Kampung Lemanak ini telah pun dirasmikan oleh Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman iaitu Ricardo Dorlen.

Hadir sama ialan penolong beliau iaitu Mohd Safuan Ahmad Tarmidi,  Penghulu Haji Abdul Samad Abdul Rahim, Pengerusi KRT Kampung Lemanak, Deli bin Mohsen, timbalannya Shamat Bin  Spawi.

Majlis Kesyukuran Hari Bapa 2012 terbabit turut diserikan dengan upacara memotong kek sambutan Hari Bapa, nyanyian lagu karaoke, jamuan makan dan cabutan tiket bertuah.

Tamat.

30 orang peserta sertai Kursus PUTEK

 
Caption: UNTUK ALBUM...Mashan (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para peserta Kursus PUTEK terbabit di Kuching baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (21 Jun) - Seramai 30 orang peserta kursus yang terdiri daripada lepasan pelatih Giatmara telah mengikuti Kursus Pembentukan Usahawan Teknikal atau PUTEK di Regal Court Hotel, Kuching bermula dari 6 hingga 15 Jun lepas.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu kursus anjuran Giatmara Negeri Sarawak itu daripada mereka yang pernah mengikuti kursus di Pusat Giatmara Setampin, Petrajaya, Batang Lupar dan Saratok.

“Kesemua peserta Kursus Putek berkenaan terdiri daripada mereka yang pernah mengambil pelbagai jurusan seperti Elektrik, Automotif, Fesyen, Pastry, Jahitan Spa & Kecantikan.

“Menerusi Kursus PUTEK yang berlangsung selama 10 hari tersebut kesemua peserta berpeluang mendengar topik mengenai Asas Keusahawan, Asas Kewangan, Pemasaran Produk, Stok dan Rancangan Perniagaan,” kata kenyataan terbabit.

Justeru kesemua peserta Kursus PUTEK ini diharap agar dapat membuka syarikat  demi menjayakan perniagaan mengikut bidang masing-masing sebaik sahaja tamat menjalani kursus terbabit.

“Kesemua peserta Kursus PUTEK berkenaan juga berpeluang untuk memohon pelbagai kemudahan daripada pihak MARA samada dalam bentuk pinjaman atau barangan selepas ini,” katanya.

Terdahulu ceramah mengenai topik dalam Kursus PUTEK yang berlangsung selama 10 hari itu telah pun disampaikan oleh Pengarah Urusan M-arcorp Enterprises Sendirian Berhad  iaitu Mashan Haji Ahmad Rais.

Majlis penutupan kursus itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Giatmara Negeri Sarawak iaitu Rakawi Nawi yang menggesa semua belia untuk mengambil bahagian dalam kursus Giatmara di masa akan datang.

Tamat.

Penduduk Gua Sukat hadapi masalah kekurangan bekalan air



Mugshot:

1. TUTONG...Berkongsi air sunga

2. BIKA... Rayu bantuan kerajaan

3. RUMAU...Tidak mampu beli air mineral

Caption:

PIX 1.  MANDI DI SINI...Tr Tutong bersama penduduk Gua Sukat ketika menunjukkan lokasi air sungai di kawasan jambatan kampung mereka yang dijadikan sebagai sumber bekalan air utama ekoran musim kemarau serta masalah kemudahan Air Graviti Bukit semenjak bulan April lepas.

PIX 2.  KURANG BERSIH...Gambar menunjukkan pemandangan anak sungai di jambatan Gua Sukat yang dilihat kurang bersih ekoran aliran arus air yang lemah.

PIX 3. UNTUK TUJUAN MINUM...Tr Tutong menunjukkan bekalan air mineral yang disimpan olehnya bagi tujuan minum ekoran masalah ketiadaan air di rumah panjang mereka semenjak bulan April lepas.

SRI AMAN, Rabu (20 Jun) – Kehidupan 140 orang penduduk dari Rumah Tutong Muyan, Gua Sukat kini terjejas berikutan masalah kekurangan bekalan air bersih yang melanda rumah panjang tersebut semenjak bulan April lepas.

Hasil tinjauan hari ini mendapati bahawa penduduk rumah panjang di situ terpaksa bergantung hidup kepada sumber air dari sebatang anak sungai yang mengalir di bawah jambatan ke rumah panjang mereka semenjak masalah terbabit mula timbul.

Tuai Rumah Tutong, 73, ketika ditemui berkata rumah panjang mereka sebelum ini mempunyai bekalan air mencukupi yang disalurkan menerusi kemudahan Air Graviti Bukit (AGB) yang telah siap dibina oleh kerajaan pada bulan November tahun lepas.

Bagaimanapun kemudahan AGB tersebut katanya pernah melalui masalah selama empat kali dan berjaya diselesaikan sebelum masalah kali kelimanya menyebabkan penduduk rumah panjang mereka tiada bekalan air bersih mencukupi hingga sekarang.

Katanya masalah kemarau yang melanda negeri Sarawak pada masa sekarang menjadi punca kepada masalah ini hingga menyebabkan kemudahan AGB ke rumah panjang mereka gagal berfungsi.

“Sekarang penduduk Gua Sukat terpaksa berkongsi menggunakan sebatang anak sungai yang kurang bersih untuk tujuan mandi, membasuh pakaian, membasuh pinggan dan sebagainya,” katanya.

Walaupun setiap 30 buah keluarga di rumah panjang beliau diberikan Tangki 1 Malaysia secara percuma sebelum ini namun simpanan air di setiap tangki berkenaan katanya mula kehabisan dan dijangka akan kehabisan tidak lama lagi.

Justeru beliau merayu para wakil rakyat dan agensi kerajaan untuk turun padang bagi meninjau dan seterusnya menghulurkan bantuan kepada penduduk di rumah panjang beliau secara serta-merta mulai sekarang.

“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan bagi menyediakan kemudahan air paip kepada penduduk di rumah panjang Gua Sukat demi kebaikan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Rumau anak Jingan, 66, berkata beliau bersama keluarganya kini bimbang tidak akan dapat memperoleh bekalan air minum yang bersih jika masalah terbabit masih berlarutan selepas ini.

Masalah kemiskinan hidup telah menyebabkan beliau tidak mampu membeli bekalan air mineral berbanding dengan mana-mana keluarga berkemampuan di rumah panjang tersebut.

“Air sungai dari kawasan jambatan tersebut boleh dikatakan kotor dan tidak sesuai dimasak untuk dijadikan sebagai air minum untuk kami seisi keluarga melainkan jika terpaksa,” menurut beliau.

Manakala itu Bika anak Ugam, 47, pula berharap agar pihak kerajaan menghantar bekalan air bersih ke rumah panjang mereka sebelum berakhirnya musim kemarau pada bulan September ini nanti.

“Air simpanan kami di dalam tangki kini mula kehabisan. Oleh itu saya berharap keperitan hidup kami akan berakhir dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan selepas ini,” katanya.

Tamat.













Parking lot depan Everise diupgrade


Caption: DALAM PROSES...Gambar menunjukkan tapak parkir kenderaan yang masih sedang dalam pembinaan di sebelah laluan Jalan Kelab dalam bandar Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Rabu (20 JUn) – Projek naiktaraf sistem peparitan di sekitar laluan Jalan Kelab dalam bandar Sri Aman bukan sahaja mampu mengurangkan masalah banjir malah memberi kebaikan terhadap masalah parkir di sekitar kawasan tersebut.

Ini kerana projek naiktaraf sistem perparitan di sekitar kawasan terbabit juga turut merangkumi kerja pembinaan tempat parkir kenderaan yang baru khasnya berdekatan dengan bangunan Everise Department Store.

Hasil tinjauan lanjut hari ini mendapati bahawa para pekerja sedang memulakan kerja meratakan tapak parkir kenderaan dengan batu kelikir sebelum proses tar dimulakan selepas itu.

“Saya yakin tempat parkir kenderaan yang baru ini boleh menampung lebih dari 30 buah kenderaan untuk satu masa,” kata seorang pengguna kenderaan di dalam bandar ini iaitu Louis King.

Menurut beliau kekurangan tempat parkir di kawasan Jalan Kelab telah menimbul kesesakan trafik di situ memandangkan penduduk gemar meletakkan kenderaan mereka di tempat parkir berhadapan bangunan Everise selama ini.

Walaupun tempat parkir di situ tampak terhad, para penduduk katanya gemar menjadikan ia lokasi utama untuk mereka meletak kenderaan memandangkan lokasi terbabit terletak di kawasan tengah pusat bandar.

“Kesesakan trafik di Jalan Kelab akan dapat dikurangkan jika tempat parkir kenderaan tersebut siap dilaksanakan selepas ini...bagi saya ia adalah berita baik untuk semua pengguna kenderaan di bandar Sri Aman,” katanya.

Justeru Opat Aisin, 33, pula berharap agar kerajaan dapat membina satu tempat parkir kenderaan bertingkat dengan segera memandangkan kemajuan pesat Bandar Sri Aman telah menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas di sini selama ini.

Tamat.






Jabatan Pelajaran Sri Aman adakan APC


Caption: TAHNIAH...Abdillah (kiri) sedang menyampaikan anugerah kepada seorang penerima iaitu Charles Bayang Albert (kanan) sambil disaksikan oleh Bihud (tengah) pada majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (20 Jun) – Seramai 174 orang guru dan kakitangan Jabatan Pelajaran dari kawasan Sri Aman dan Lubok Antu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Kesemua mereka telah pun menerima anugerah tersebut menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Negeri Sarawak 2012 peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dan Lubok Antu.

Jurucakap penganjur majlis memberitahu Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam telah diberikan penghormatan untuk merasmikan majlis terbabit yang sebelum itu diserikan dengan dua upacara khas.

Antara acara tersebut menurut beliau adalah upacara Bacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam yang telah disampaikan oleh Penyelia Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman iaitu Kwang Law.

Upacara bacaan ikrar tersebut kemudiannya diteruskan dengan persembahan koir telah daripada kumpulan koir SMK Sri Aman sebelum majlis penyampaian anugerah tersebut dimulakan.

“Kita berharap agar anugerah ini dapat menyuntik semangat baru terhadap karier para penerima sebagai warga pendidik dan bukan hanya sekadar menganggap ia sebagai pengiktirafan prestasi kerja masing-masing bagi tahun 2011.

"Justeru kita berharap agar para penerima APC ini tidak mudah mengalah terhadap cabaran yang mereka terima ketika melaksanakan tugas sebagai seorang guru di sekolah masing-masing di masa akan datang," katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Bihud Apok, Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh dan kakitangan kerajaan di sini.

Tamat.



Projek RES anugerah tak ternilai di Ulu Paku



Caption: SOKONG BN...Sawing ketika meluahkan kegembiraannya berhubung perlaksanaan RES ketika berlangsungnya sesi dialog di rumah panjang beliau baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (19 Jun) – Projek pembinaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM12 juta di kawasan Undop, Batu Lintang dianggap sebagai satu anugerah tidak ternilai daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk penduduk di situ.

Tuai Rumah Kanselor Sawing dari Ulu Paku, Undop, Batu Lintang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Dialog RES yang berlangsung di rumah panjang beliau baru-baru ini.

Ini kerana projek RES yang sudah mula dilaksanakan itu akan memberi manfaat kepada 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman sekiranya ia sudah siap pada awal bulan Disember tahun ini.

“Penduduk dari 10 buah rumah panjang terbabit termasuk Ulu Paku, Undop terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin janakuasa elektrik selama ini memandangkan ketiadaan RES.

“Setiap keluarga terpaksa membelanjakan ratusan ringgit disebabkan oleh faktor ini. Justeru penantian semua penduduk berhubung RES bakal berakhir pada akhir tahun ini dengan adanya perlaksanaan projek terbabit,” katanya.

Selain itu projek RES di Undop, Batu Lintang kata Sawing telah membuktikan keprihatinan Kerajaan BN dalam membangunkan hidup penduduk di kawasan luar bandar dari masa ke semasa.

“Paling penting sekali ialah kita (penduduk) perlulah memberi kerjasama kepada pihak pemaju dan kerajaan bagi sama-sama menjayakan projek pembangunan di kawasan Undop, Batu Lintang selepas ini,” katanya.

Terdahulu Majlis Sesi Dialog RES yang berlangsung di Rumah Sawing, Ulu Paku, Undop ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Hadir sama ialah Pengurus Revenue Scoop, Razi Suhaimi, Pengurus Ladang SOP Pelita Batu Lintang, Mohd Sofian Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang, Patrick Michael, wakil Sesco Sri Aman, Tawis Ason, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Nor Mahathir, wakil DID Sri Aman, Henry Tuah dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Hakisan di Taman Panorama Benak?

Caption: MENDAP...Gambar menunjukkan takungan air di atas laluan pejalan kaki yang sudah mendap dipercayai berpunca dari proses hakisan sungai Batang Lupar selama ini.

SRI AMAN, Selasa (19 Jun) – Agensi kerajaan perlu memberi fokus terhadap laluan pejalan kaki yang menghubungkan Taman Panorama Benak dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar dai Bandar Sri Aman selepas ini.

Ini kerana terdapat penduduk melaporkan bahawa wujudnya proses mendapan di atas salah satu bahagian laluan pejalan kaki terbabit semenjak sebulan lepas dipercayai berpunca dari proses hakisan yang berlaku di tebingan Sungai Batang Lupar.

“Air akan muncul di atas permukaan mendapan di atas salah satu laluan pejalan kaki yang menghubungkan Taman Panorama Benak dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar sesudah berlakunya fenomena Benak di Sungai Batang Lupar.

“Kami percaya tembok penghadang hakisan di tebing sungai sepanjang laluan pejalan kaki tersebut sudah mengalami hakisan dan menyebabkan air ombak benak masuk lalu melemahkan struktur sokongan tanah di situ,” kata seorang pengunjung iaitu Joshua.

Manakala itu seorang pengunjung iaitu Nasir Abdullah, 24 tahun, berkata pihak kerajaan perlu bertindak segera untuk memperbaiki tembok penghadang hakisan di bahagian tebing sungai tersebut bagi menghentikan proses hakisan di situ.

Beliau yakin bahawa tindakan memeriksa semula tembok penghadang hakisan di tebing sungai berkenaan akan dapat mengatasi masalah mendapan di atas laluan pejalan kaki di situ selepas ini.

“Jika masalah ini tidak diatasi segera maka ada kemungkinan bahagian tebingan sungai tersebut akan runtuh dan seterusnya menjejaskan laluan pejalan kaki di situ pada masa akan datang.

“Lagipun masalah seperti ini akan menjejaskan kecantikkan kawasan Taman Panorama Benak dikalangan pelancong asing yang mahu berkunjung ke kawasan tersebut,” menurut beliau.

Justeru beliau berharap agar pihak berwajid segera turun padang untuk mengenalpasti punca sebenar berlakunya mendapan di atas laluan pejalan kaki tersebut demi kebaikan semua pihak selepas ini.

Tamat.


Penentang komponen BN bukan rakan BN - NYalau



Caption: SERIUS...Nyalau ketika menyampaikan ucapan beliau pada majlis tersebut baru-baru ini.

ENGKILILI, Selasa (19 Jun) – Pihak yang cuba menentang calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang harus dianggap sebagai penentang pihak Barisan Nasional (BN).

Ini kerana PRS adalah merupakan salah satu komponen BN termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demoktarik Sarawak (SPDP) kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

“Mana-mana pihak yang cuba menentang calon salah satu komponen parti ini dianggap menentang BN dan Parti Pekerja Sarawak (SWP) termasuk dalam golongan tersebut kerana cuba menentang calon PRS pada PRU13 kelak.

“Atas sebab ini adalah amat tidak masuk akal untuk rakyat mempercayai bahawa SWP adalah parti mesra BN memandangkan mereka cuba menumbangkan PRS di enam buah kerusi parlimen pada pilihan raya tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 yang telah berlangsung di kawasan Perumahan Pendapatan Rendah (PPR), Engkilili baru-baru ini.
Selain itu Nyalau juga mahu penduduk berbilang kaum di PPR, Engkilili untuk terus bersatu-padu untuk menjayakan rancangan pembangunan di kawasan penempatan mereka selepas ini.

“Justeru saya berharap agar penduduk berbilang kaum di kawasan Engkilili untuk terus memberikan sokongan seratus-peratus terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada PRU13,” katanya.
Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh William Nyalau itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan pengerusi penempatan terbabit iaitu Bobby Jerman.
Tamat.



Benak pikat pengunjung



TERTARIK...Seorang pengunjung, Morgan Alban, 28, (kanan sekali) kelihatan terpesona melihat kedatangan fenomena Benak sambil memegang kamera digital berjenama Nikon ketika berada di Taman Panorama Benak Sri Aman baru-baru ini. Beliau merupakan salah seorang daripada ratusan orang pengunjung yang sering bertandang ke Taman Panorama Benak untuk menyaksikan kedatangan ombak Benak yang sering terjadi pada waktu awal bulan di Sungai Batang Lupar Sri Aman. - 19 JUN

BN sering pantau masalah penduduk - Rayong



Caption: ADAT...Nyalau sedang menyempurnakan upacara miring sambil diapit oleh Rayong ketika berlangsungnya majlis berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (18 Jun) – Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sering memantau masalah rakyat dan seterusnya tampil dengan pelbagai langkah untuk menyelesaikan perkara tersebut selepas itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, jalan raya berturap dan bekalan air bersih adalah antara langkah yang dilaksana oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah hidup rakyat.

“Pelbagai program telah dirangka demi mengurangkan beban hidup rakyat demi membuktikan kepada mereka bahawa BN telus dalam meneraju tampuk pemerintahan kerajaan selama ini.

“Ia tidak seperti pihak pembangkang yang hanya tahu bercakap mengenai masalah rakyat namun gagal menyelesaikannya selepas itu,” katanya ketika berucap pada Upacara Ngiling Bidai di Perumahan Pendapatan Rendah (PPR), Engkilili kelmarin.

Selain itu Rayong juga meminta rakyat di kawasan DUN Engkilili untuk terus menyokong Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Nyalau adalah seorang wakil rakyat yang amat berpengelaman memandangkan beliau pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah dan juga Pegawai Tadbir Sarawak sebelum ini.

“Ia menunjukkan bahawa beliau tahu tentang masalah hidup rakyat. Justeru saya yakin pembangunan di kawasan Parlimen Lubok Antu akan terus dipertingkat sekiranya Nyalau terus menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu selepas ini,” katanya.

Terdahulu Upacara Ngiling Bidai di Perumahan Pendapatan Rendah (PPR), Engkilili itu telah pun dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau sambil disaksikan oleh pengerusi penempatan terbabit iaitu Bobby Jerman.

Tamat.

PPWS Kampung Hulu lancar projek buat kuih tradisional




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Suzana (tengah) ketika bergambar kenangan bersama ahli di hadapan kuih tradisional sebaik  sahaja tamat program itu kelmarin.

2. MENYELERAKAN...Gambar menunjukkan  Kuih Jorong, Kacang Berempah dan Bubur Tiga Rasa yang telah berjaya disiapkan oleh PPWS Kampung Hulu kelmarin.

SRI AMAN, Isnin (18 Jun) – Usaha pembangunan wanita diperhebatkan apabila Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hulu menganjurkan Program Membuat Kuih Tradisional di kediaman Khamisiah Jolhi di Kampung Hulu, Sri Aman kelmarin.

Pengerusi PPWS Kampung Hulu, Suzana binti Kassim berkata program yang bermula dari jam 2 hingga 5 petang itu telah melibatkan penyertaan sejumlah 30 orang ahli PPWS terbabit.

“Program terbabit bertujuan untuk mendidik para ahli PPWS Kampung Hulu mengenai cara atau teknik untuk membuat kuih tradisional seperti Bubur Tiga Rasa, Kuih Jorong dan Kacang Berempah.

“Dengan adanya program seperti ini, para ahli akan mendapat pengetahuan terbaru tentang cara membuat kuih tradisional dan seterusnya memberi peluang kepada mereka berniaga bagi menjana pendapatan keluarga di masa akan datang,” katanya.

Selain itu Program Membuat Kuih Tradisional kata Suzana juga secara tidak langsung akan merapatkan lagi hubungan tali silaturahim dikalangan para ahli PPWS Kampung Hulu dari masa ke semasa.

Malah program terbabit juga menurut beliau secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa PPWS Kampung Hulu aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti demi kebaikan para ahlinya.

“Justeru saya berharap agar para ahli PPWS Kampung Hulu dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu pembuatan kuih tradisional yang mereka pelajari menerusi program tersebut selepas ini,” katanya.

Terdahulu teknik pembuatan kuih tradisional iaitu Bubur Tiga Rasa, Kuih Jorong dan Kacang Berempah ini telah dikendalikan oleh Temah binti Embong dan Khamisiah binti Jolhi.

Difahamkan bahawa PPWS Kampung Hulu telah bercadang menganjurkan aktiviti Bazaria dan Basikal Ton sempena tiga tahun penubuhan Warisan Pemuda Kampung Hulu pada bulan Julai ini.

Tamat.









Hidup penduduk di Ulu Paku bakal dipertingkat - Harden


Caption: RASMI...Harden (tiga kiri) ketika bersama tetamu khas menyempurnakan upacara Ngiling Bidai di Rumah Sawing, Ulu Paku, Undop baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (18 Jun) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis telah mengumumkan beberapa projek pembangunan yang bakal menguntungkan rakyat di kawasan Batu Lintang, Sri Aman.

Projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ini kata Harden mencakupi kerja pembinaan jalan raya berturap, penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), jambatan dan gelanggang futsal.

“Permohonan untuk membina Jalan Ulu Paku, Undop, Batu Lintang sepanjang 15 kilometer sebelum ini sudah pun diluluskan dengan kos perlaksanaannya dianggar menelan belanja sebanyak RM100 juta.

“Kita juga sudah siap melaksanakan projek jalan raya sepanjang dua kilometer di Radau, Sungai Paku, Sebangkoi dan Sungai Paku dengan setiap projek terbabit menelan kos sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Kanselor Sawing, Ulu Paku, Undop, Batu Lintang, Sri Aman petang Khamis lepas.

Selain itu empat buah jambatan kata Harden juga sudah diluluskan dan menunggu proses tender bagi tujuan pembinaan antaranya ialah di Sungai Putong, Sungai Sebangkoi, Sungai Sebujok serta Sungai Paku (Batang Undop).

“Saya juga sudah memohon kepada pihak kerajaan untuk mendirikan sebuah menara Telekom di kawasan Batu Lintang demi memperluaskan rangkaian perhubungan antara rakyat di situ pada masa akan datang,” katanya.

Justeru Harden berharap taraf hidup rakyat dalam kawasan Batu Lintang, Sri Aman akan dapat dipertingkatkan ke tahap lebih baik dengan adanya projek-projek pembangunan berkenaan selepas ini.

Hadir sama ialah Pengurus Revenue Scoop, Razi Suhaimi, Pengurus Ladang SOP Pelita Batu Lintang, Mohd Sofian Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang, Patrick Michael, wakil Sesco Sri Aman, Tawis Ason, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Nor Mahathir, wakil DID Sri Aman, Henry Tuah dan ketua kaum di sini.

Terdahulu kerajaan sedang melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES untuk kegunaan 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

Projek yang menelan kos bernilai RM12 juta itu dijangka siap pada awal bulan Disember tahun dan akan memberi faedah kepada 1,000 hingga 1,300 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Tamat.



Jangan main isu burukkan pemimpin BN - NYalau

Caption: RASMI...Nyalau sedang memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Rayong dan tetamu khas yang lain pada majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Ahad (17 Jun) – Barisan pemimpin Parti Pekerja Sarawak atau SWP diingatkan agar tidak memainkan isu yang sengaja memburuk-burukkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) demi meraih kepentingan politik parti itu sendiri selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata berkata sikap memfitnah peribadi para pemimpin BN termasuk dirinya sendiri menunjukkan bahawa barisan pemimpin parti tersebut kurang bertanggangjawab.

“Disebabkan itulah saya harus mendedahkan sikap pemimpin SWP ketika mereka menjadi wakil rakyat pada masa dahulu kepada semua rakyat demi membalas kembali serangan fitnah yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Saya perlukan bertindak begini. Jika tidak semua rakyat mungkin akan percaya terhadap fitnah tersebut tanpa menyedari perangai buruk barisan pemimpin parti itu sama ada ketika mereka menjadi wakil rakyat atau pun tidak pada waktu sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikkan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS Parlimen Lubok Antu yang diadakan di Rumah Will, Stuga, Engkilili kelmarin.

Selain itu Nyalau juga melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap beberapa orang Tuai Rumah dalam Parlimen Lubok Antu yang dipercayai telah bersengkongkol dengan SWP untuk menentang Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Contohnya ialah apabila Rumah Irak, Merindun telah menikmati banyak pembangunan semenjak saya menjadi wakil rakyat walaupun saya menyedari bahawa beliau (Tr Irak) tidak menyongkong saya pada pilihan raya parlimen tahun 2008 dahulu.

“Namun Tr Irak nampaknya tidak mengenang budi pihak BN apabila beliau meminta rakyat untuk menyokong SWP ketika berucap di Rumah Bak, Sebeliau baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah berjanji untuk memberi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membina lantai rumah panjang Will, Stuga disamping peruntukan bernilai RM5,000 kepada biro wanita rumah panjang itu.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Penyelia Kanan Lubok Antu Kumpang anak Datuk Tutong dan ketua-ketua masyarakat Lubok Antu.

Terdahulu pemimpin SWP seperti bekas Ahli Parlimen Lubok Antu,  Jawah Gerang, bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk See Chee Hua, Ahli Majlis Tertinggi SWP, Josphine Mawat dan Munan Laja telah dilapor melemparkan fitnah terhadap pemimpin BN termasuk Nyalau ketika mereka berkempen di Rumah Bak, Sebeliau pada Jumaat lalu.

Tamat...