Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Penutup besi masih 'laku'


Caption: NYARIS DICURI...Gambar menunjukkan keadaan penutup longkang yang nyaris dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

SRI AMAN, Jumaat (22 Jun) – Penutup besi longkang nyata masih menjadi sasaran dikalangan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mengaut keuntungan untuk diri masing-masing tanpa mengira kepentingan pihak lain.

Terbaru dua penutup besi yang terdapat di laluan Jalan Kelab dalam Bandar Sri Aman dipercayai nyaris dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab namun tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

Seorang penduduk yang melaporkan perkara ini kepada Utusan Sarawak memberitahu penutup besi berkenaan berada dalam keadaan yang elok selama ini sebelum kedudukannya dilihat terjatuh ke dalam parit pada keesokan harinya.

“Saya menyedari besi penutup longkang tersebut sudah terjatuh dalam parit ketika mahu berjalan kaki menuju ke sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari Pasar Tamu Sri Aman kelmarin.

“Pada mulanya saya fikir penutup besi tersebut terjatuh sendiri. Namun apabila diamati dengan teliti anda akan mendapati bahawa bahagian skru sudah pun dicabut dari kedudukan lubang besi tersebut,” katanya yang hanya dikenali sebagai Henry.

Beliau percaya cubaan mencuri penutup besi tersebut mungkin gagal apabila perbuatan mereka dilihat oleh penduduk yang masih mundar-mandir di dalam kawasan bandar ini pada waktu malam.

Justeru beliau berharap agar penutup besi longkang berkenaan diperbetulkan semula dengan skru dipasang lebih ketat demi mengagalkan rancangan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencuri penutup besi berkenaan selepas ini.

“Ramai orang fikir mungkin angkara kenderaan. Tetapi adalah amat mustahil tayar kenderaan boleh termasuk ke dalam longkang tersebut memandangkan benteng bersimen yang terdapat di situ adalah amat tinggi.

“Ia bukan angkara kenderaan. Jika perbuatan tersebut dianggap vandalisme pun mungkin tidak masuk akal memandangkan orang tidak siuman sahaja yang mahu merosakkan penutup longkang tersebut tanpa sebab,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment