Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Mohd Nasfu mahu jadi Takung Kasut berjaya

Caption:

1. SILA DATANG...Nasfu bersama gerai Klinik Kasut 1 Malaysia yang diusahakan oleh beliau semenjak awal Januari tahun ini.

2. SEDANG DIBAIKI...Antara kasut dan selipar milik pelanggan yang sedang dibaiki oleh di Klinik Kasut 1 Malaysia pada masa sekarang.

3. RINGKAS...Nasfu menggunakan peralatan khas seperti yang ditunjukkan dalam gambar ini bagi menjayakan operasi Klinik Kasut 1 Malaysia.

4. BANYAK PERMINTAAN...Nasfu sedang melakukan kerja membaiki kasut yang dihantar oleh pelanggan ke Klinik Kasut 1 Malaysia.

5. SIBUK...Nasfu sedang memberi fokus terhadap kerja menjahit dan menampalkan tapak kasut milik pelanggan di Klinik Kasut 1 Malaysia.

SRI AMAN, Jumaat (22 Jun) – Lazimnya ramai orang akan memikirkan bahawa kerjaya sebagai seorang tukang kasut adalah bertaraf rendah dan tidak memberi banyak pulangan kepada pengusahanya selama ini.

Namun tanggapan seperti itu nyata salah sama sekali memandangkan kerjaya sebagai seorang tukang kasut sebenarnya amat menguntungkan bagi setiap pengusaha selagi mereka rajin berusaha dan bijak menunaikan permintaan pelanggan.

Atas sebab inilah Mohd Nasfu bin Jobli, 36, dari Kampung Hilir Sri Aman sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai seorang tukang masak restoran hanya demi mencapai impian untuk menjadi seorang tukang kasut berjaya di masa akan datang.

“Saya sebenarnya sudah menceburi bidang terbabit secara tidak rasmi semenjak 10 tahun lepas di Kuching bersama seorang rakan sebelum bekerja sebagai tukang masak restoran dalam Bandar Sri Aman ini.

“Kerinduan terhadap kerjaya tukang kasut telah menyebabkan saya berhenti menjadi tukang masak dan memulakan perniagaan membaiki kasut di Stesen Bas Sri Aman bermula awal bulan Januari lepas,” katanya ketika ditemubual Utusan Sarawak hari ini.

Nasfu telah bertindak membuka gerai kecil yang diberi nama Klinik Kasut 1 Malaysia dan berjaya meraih pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari semenjak memulakan perniagaannya di kawasan terbabit.

Suami kepada Nur Farida Abdullah dan bapa kepada dua orang anak itu telah menggunakan strategi publisiti dari mulut ke mulut untuk menjayakan perniagaan beliau sehingga berjaya memperoleh pelanggan tetap.

“Saya kemudiannya berpindah ke kawasan kaki lima bangunan Lot 917 Jalan Hospital, Sri Aman di sini pada bulan Mei lepas...pendapatannya tetap menguntungkan dan dapat digunakan untuk belanja seharian kami sekeluarga hingga sekarang,” katanya.

Menerusi Klinik Kasut 1 Malaysia, beliau menawarkan khidmat melekatkan kasut dengan gam, jahitan dan gam serta menukar tapak kasut kepada pelanggan di bandar Sri Aman ini.

Bayaran bagi melekatkan tapak kasut bergantung kepada pelanggan itu sendiri katanya dengan khidmat menjahit dan gam pula dikenakan caj bayaran antara RM8 (kasut wanita) hingga RM12 (kasut sukan).

“Manakala itu khidmat tukar tapak kasut pula dikenakan bayaran antara RM20 hingga RM40 bergantung kepada jenis serta harga pasaran tapak kasut milik pelanggan itu sendiri,” jelas beliau lanjut.

Demi memuaskan hati pelanggan, beliau mensasarkan kerja menampal tapak kasut menggunakan gam untuk tempoh 10 minit, khidmat jahitan dan gam bagi tempoh setengah dan tukar tapak kasut bagi tempoh setengah jam hingga dua hari.

Malah Klinik Kasut 1 Malaysia kata Nasfu juga beroperasi pada setiap hari (termasuk hari minggu) bermula dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bagi membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat tersebut tanpa mengira waktu.

“Impian saya ialah ingin membuka sebuah kedai membaiki dan membekalkan alatan pembaikan kasut yang pertama di Bandar Sri Aman pada masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa ia sekaligus akan dapat memberi pekerjaan kepada belia di sini.

Beliau juga kini sedang dalam proses untuk menyiapkan rangka kertas kerja bagi menubuhkan kelas membaiki kasut di Sri Aman dan seterusnya dihantar ke agensi kerajaan selepas ini.

“Nasihat saya ialah jangan memandang kerjaya tukang kasut dari sudut persepsi yang negatif memandangkan kerjaya sedia ada sekarang jauh lebih lumayan berbanding kerja sebagai seorang tukang masak.

“Saya menganggap kerja ini amat mulia dan halal. Lagipun anda akan memperoleh ramai kenalan menerusi kerja seperti ini berbanding dengan kerja yang dianggap standard namun tidak memberikan keuntungan lumayan kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Justeru mereka yang berminat untuk menggunakan khidmat Klinik Kasut 1 Malaysia dan mengetahui lokasi tepat perniagaan tersebut selepas ini boleh menghubungi Nasfu sendiri di talian telefon 019-8453193.

Tamat.


No comments:

Post a Comment