Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, June 6, 2012

Tulang manusia dijumpai di kawasan sungai Tekalong


Caption: MASIH MENUNGGU...Seorang Warga Emas sedang duduk tidak jauh dari lokasi serangan mangsa dipercayai mengenang nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (26 Mei) – Pihak polis telah menjumpai beberapa tulang dan sejumlah isi perut di sungai kawasan Tekalong, Engkilili ketika usaha mencari mangsa yang hilang di kawasan sungai Lingkang, Ulu Tekalong diteruskan semenjak 22 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan ketika dihubungi berkata penemuan tersebut dibuat sekitar jam 3 petang dan ia telah pun dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Kesemua tulang dan isi perut yang ditemui di kawasan sungai Tekalong terbabit dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk memastikan sama ada ia milik haiwan atau pun manusia.

“Justeru pihak polis hingga sekarang (jam 1.30 petang hari ini) masih belum dapat mempastikan bahawa tulang dan isi perut itu adalah milik manusia yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa tersebut,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pihak polis dan bomba akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa walaupun penemuan tulang tersebut sudah dibuat kelmarin.

Terdahulu Peter Heerema Sagan, 13, dipercayai hilang ketika bermain di tebing sungai kawasan Lingkang sekitar jam 4.30 petang pada 22 Mei lalu setelah adiknya, Clement pulang menghantar air ke rumah dari sungai tersebut.

Kehilangan Peter dikesan oleh adiknya Clement yang kembali semula ke tebing sungai tersebut dan seterusnya melaporkan kehilangan itu kepada datuk dan nenek mangsa berkenaan.

Datuk mangsa telah mengesan kemunculan buih di bawah sebuah perahu di tebing sungai tersebut dengan nenek mangsa terus meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui oleh penduduk di Ijok namun hilang kembali setelah mayat terbabit diikat oleh mereka di perahu sementara menanti ketibaan pasukan penyelamat.

Mangsa dilaporkan masih hilang hingga berita ini ditulis pada jam 1.30 petang hari ini dengan spekulasi serangan buaya dikaitkan dengan nasib malang kanak-kanak lelaki berkenaan.

Tamat.







No comments:

Post a Comment