Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Penduduk Gua Sukat hadapi masalah kekurangan bekalan air



Mugshot:

1. TUTONG...Berkongsi air sunga

2. BIKA... Rayu bantuan kerajaan

3. RUMAU...Tidak mampu beli air mineral

Caption:

PIX 1.  MANDI DI SINI...Tr Tutong bersama penduduk Gua Sukat ketika menunjukkan lokasi air sungai di kawasan jambatan kampung mereka yang dijadikan sebagai sumber bekalan air utama ekoran musim kemarau serta masalah kemudahan Air Graviti Bukit semenjak bulan April lepas.

PIX 2.  KURANG BERSIH...Gambar menunjukkan pemandangan anak sungai di jambatan Gua Sukat yang dilihat kurang bersih ekoran aliran arus air yang lemah.

PIX 3. UNTUK TUJUAN MINUM...Tr Tutong menunjukkan bekalan air mineral yang disimpan olehnya bagi tujuan minum ekoran masalah ketiadaan air di rumah panjang mereka semenjak bulan April lepas.

SRI AMAN, Rabu (20 Jun) – Kehidupan 140 orang penduduk dari Rumah Tutong Muyan, Gua Sukat kini terjejas berikutan masalah kekurangan bekalan air bersih yang melanda rumah panjang tersebut semenjak bulan April lepas.

Hasil tinjauan hari ini mendapati bahawa penduduk rumah panjang di situ terpaksa bergantung hidup kepada sumber air dari sebatang anak sungai yang mengalir di bawah jambatan ke rumah panjang mereka semenjak masalah terbabit mula timbul.

Tuai Rumah Tutong, 73, ketika ditemui berkata rumah panjang mereka sebelum ini mempunyai bekalan air mencukupi yang disalurkan menerusi kemudahan Air Graviti Bukit (AGB) yang telah siap dibina oleh kerajaan pada bulan November tahun lepas.

Bagaimanapun kemudahan AGB tersebut katanya pernah melalui masalah selama empat kali dan berjaya diselesaikan sebelum masalah kali kelimanya menyebabkan penduduk rumah panjang mereka tiada bekalan air bersih mencukupi hingga sekarang.

Katanya masalah kemarau yang melanda negeri Sarawak pada masa sekarang menjadi punca kepada masalah ini hingga menyebabkan kemudahan AGB ke rumah panjang mereka gagal berfungsi.

“Sekarang penduduk Gua Sukat terpaksa berkongsi menggunakan sebatang anak sungai yang kurang bersih untuk tujuan mandi, membasuh pakaian, membasuh pinggan dan sebagainya,” katanya.

Walaupun setiap 30 buah keluarga di rumah panjang beliau diberikan Tangki 1 Malaysia secara percuma sebelum ini namun simpanan air di setiap tangki berkenaan katanya mula kehabisan dan dijangka akan kehabisan tidak lama lagi.

Justeru beliau merayu para wakil rakyat dan agensi kerajaan untuk turun padang bagi meninjau dan seterusnya menghulurkan bantuan kepada penduduk di rumah panjang beliau secara serta-merta mulai sekarang.

“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan bagi menyediakan kemudahan air paip kepada penduduk di rumah panjang Gua Sukat demi kebaikan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Rumau anak Jingan, 66, berkata beliau bersama keluarganya kini bimbang tidak akan dapat memperoleh bekalan air minum yang bersih jika masalah terbabit masih berlarutan selepas ini.

Masalah kemiskinan hidup telah menyebabkan beliau tidak mampu membeli bekalan air mineral berbanding dengan mana-mana keluarga berkemampuan di rumah panjang tersebut.

“Air sungai dari kawasan jambatan tersebut boleh dikatakan kotor dan tidak sesuai dimasak untuk dijadikan sebagai air minum untuk kami seisi keluarga melainkan jika terpaksa,” menurut beliau.

Manakala itu Bika anak Ugam, 47, pula berharap agar pihak kerajaan menghantar bekalan air bersih ke rumah panjang mereka sebelum berakhirnya musim kemarau pada bulan September ini nanti.

“Air simpanan kami di dalam tangki kini mula kehabisan. Oleh itu saya berharap keperitan hidup kami akan berakhir dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan selepas ini,” katanya.

Tamat.













No comments:

Post a Comment