Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 7, 2012

SUPP Simanggang bantu OKU dapatkan bantuan


Caption: IKHLAS...Harden menyerahkan wang bantuan kebajikan kepada Sim sambil disaksikan oleh Sharifah (kanan sekali) ketika berlangsungnya upacara ringkas itu kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (6 Jun) – Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang telah turun padang untuk mendapatkan bantuan kebajikan bagi seorang individu Orang Kelainan Upaya (OKU) di sini kelmarin.

Sim Yew Shan, 46, dari Temudok, Sri Aman mengalami bisu sejak lahir dan menerima bantuan bernilai RM150 sebulan bermulai Mei lepas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman hasil bantuan SUPP cawangan Simanggang.

Cek bantuan kepada Sim telah disampaikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis sambil disaksikan oleh Penolong Pengarah JKM Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim.

Harden ketika ditemui memberitahu Sim kini mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup bersama suaminya iaitu seorang penjual mee yang hanya mampu meraih pendapatan tidak seberapa.

“Tambahan pula bapa dan ibu mertua Sim kini sedang sakit. Justeru hasil perniagaan terbabit digunakan untuk menyara mereka sekeluarga termasuk ibu dan bapa mertua Sim sendiri,” katanya.

Justeru Harden menasihatkan agar golongan OKU di sini supaya tidak segan untuk tampil menemui pihak JKM Bahagian Sri Aman memandangkan kakitangannya akan sentiasa membantu mereka yang memerlukan bantuan kebajikan dari masa ke semasa.

Beliau juga turut menasihatkan kumpulan tertentu agar tidak bertindak menghasut atau melunturkan niat mana-mana OKU atau penduduk yang mahu meminta bantuan daripada pihak JKM selepas ini.

“SUPP Simanggang boleh membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan daripada JKM pada masa akan datang sejajar dengan kewajipan kita sebagai pihak Barisan Nasional (BN) dalam membantu penduduk di negeri ini,” katanya.

Hadir sama untuk menyaksikan upacara penyampaian bantuan kepada Sim ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM Sri Aman iaitu Syafinah Sangkap dan Pembantu Tadbir, Bakhtiar Mathan.

Harden menerusi upacara itu juga turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada Sharifah untuk kegunaan Kelab Sukan Dan Rekreasi JKM Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment