Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 7, 2012

Pergerakan Pemuda dan Wanita PRS Balai Ringin tentang hasrat Donald Lawan



Mugshot:

1. TR ALEX...Rakyat sudah maklum
2. LENA...Tolak dakwaan palsu

SRI AMAN, Rabu (6 Jun) – Hasrat Donald Lawan yang mahu bertanding dengan menggunakan tiket Bebas di kawasan Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sememangnya tidak mengejutkan rakyat setempat di situ.

Ini kerana rakyat sudah sedia maklum bahawa beliau tidak akan dipilih oleh pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menggantikan tempat Masir Kujat selaku calon parti terbabit untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada PRU13 itu nanti.

“Persoalannya ialah adakah beliau (Donald) mempunyai kuasa melucutkan jawatan Tuai Rumah yang tidak menyokongnya pada PRU13 itu nanti?”kata Ketua Pergerakan Pemuda PRS Balai Ringin, Tuai Rumah Alex Libau menerusi siaran akhbar pada hari ini.

Kata Alex, Donald tidak seharusnya menyatakan ugutan untuk melucutkan jawatan Tuai Rumah hanya disebabkan beliau mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri atau Perdana Menteri.

Justeru beliau mahu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan itu sedar bahawa kejayaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya terletak ditangan pengundi dan sekaligus tidak akan menggentarkan rakyat DUN Balai Ringin selepas ini.

“Wakil rakyat boleh disamakan seperti ‘peguam’. Namun begitu rakyat adalah hakim memandangkan keputusan tetap ditangan kita untuk menentukan mereka betul atau salah dan menang atau kalah.

“Donald harus berfikir dalam berhubung tindakan itu kerana ia boleh memberi kesan terhadap sokongan rakyat DUN Balai Ringin terhadap anaknya iaitu Snowdan yang menjadi wakil rakyat BN di situ pada pilihan raya negeri Ke-11 kelak,” katanya.

Sementera itu Ketua Pergerakan Wanita PRS N.25 Balai Ringin, Lena Libau berkata ketua kaum dan penduduk di Balai Ringin menyifatkan bahawa Masir Kujat adalah seorang calon yang paling releven untuk dicalonkan semula pada PRU13 nanti.

Masir selaku penyandang kerusi Parlimen Sri Aman menurut beliau dilihat sebagai seorang Ahli Parlimen yang sering turun padang menemui rakyat dalam kawasannya selain bertindak telus memberikan peruntukan kepada mereka dari masa ke semasa.

“Suara-suara sumbang yang mendakwa beliau menyalahgunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar atau MRP ternyata tidak benar sama sekali seperti yang dilaporkan oleh sebuah tabloid berbahasa Iban sebelum ini.

“Ia merupakan satu strategi daripada pihak yang cemburu terhadap kejayaan Masir dalam menyalurkan banyak projek pembangunan dalam kawasan Parlimen Sri Aman,” kata beliau.

Lena juga menambah bahawa mereka tahu dalang disebalik penyebaran fitnah tersebut memandangkan individu berkenaan cuba menjatuhkan kedudukan Masir Kujat menjelang PRU13 akan datang.

Malah beliau juga amat berterima kasih dan menyokong luahan kenyataan Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing di sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu berhubung isu terbabit pada 5 Jun lepas.

“Atas sebab ini Tuai Rumah, Wakil Tuai Rumah, rakyat, Pemuda dan Wanita PRS serta komponen parti BN yang lain di kawasan N.25 Balai Ringin memberi sokongan penuh kepada Masir menjelang PRU kelak,” katanya.

Tamat.



No comments:

Post a Comment