Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 14, 2012

Ahli SUPP Simanggang perlu sehati sejiwa - Harden


Caption: SEMPURNA...Harden (tengah) sambil diapit oleh Lee (kiri) dan Sii (kanan) ketika menyempurnakan upacara menaikkan bendera SUPP, bendera kebangsaan dan negeri di kediaman beliau kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (7 Jun) – Ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang perlu mengamalkan semangat kekitaan demi mencapai objektif parti selepas ini.

Pengerusinya Datuk Francis Harden Hollis berkata rakyat berbilang kaum di kawasan Sri Aman akan merasa lebih yakin terhadap perjuangan SUPP dalam membangunkan hidup mereka dengan adanya semangat seperti itu.

“Semua ahli (SUPP Simanggang) perlu menunjukkan teladan dan contoh yang baik terhadap rakyat jika mahu mendapatkan sokongan berterusan daripada mereka dari masa ke semasa.

“Untuk itu semua ahli perlu menonjolkan semangat bersatu-padu agar segala matlamat perjuangan parti ditunaikan demi kepentingan pembangunan hidup rakyat dalam kawasan Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan berkata demikian sebaik sahaja selesai Upacara Menaikkan Bendera sempena Ulangtahun Ke-53 Penubuhan SUPP di Sri Aman kelmarin.

Selain itu Harden berharap agar ahli SUPP cawangan Simanggang dapat menjalinkan hubungan kerjasama dengan ahli dari lain-lain komponen parti Barisan Nasional (BN) di Sri Aman selepas ini.

Jalinan kerjasama ini katanya mencakupi semua ahli komponen parti BN di sini seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SUPP.

“Justeru saya berharap agar jalinan kerjasama seperti ini terus kekal demi menghadapi pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu.

Terdahulu Temenggung Sii Toh Peng dan Penghulu Lee Siang Hua turut mengiringi Harden bagi menyempurnakan upacara menaikkan bendera SUPP di perkarangan rumah beliau sambil disaksikan oleh ahli parti SUPP yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment