Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 7, 2012

Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas di Simunjan meriah



Caption: UNTUK ALBUM...Para kanak-kanak bergambar kenangan bersama Hajah Nancy bersama tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis tersebut.

Abang Naim Abang Pauzi

SIMUNJAN, Rabu (6 JUn) - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kawasan Parlimen Batang  Sadong telah mengadakan Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA KEMAS bertempat di Dewan Mesra, Majlis Daerah Simunjan (MDS) baru-baru ini.

Majlis penutupan bagi Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA KEMAS yang berlangsung selama sehari itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Hajah Nancy Haji Shukri.

Nancy ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata bahawa aktiviti seperti ini akan membolehkan semua pihak mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak walaupun mereka masih di peringkat Tadika.

“Walaupun masih di peringkat Tadika, golongan kanak-kanak sebenarnya masih mampu menghasilkan kerja yang baik dan kreatif seperti yang dibuktikan oleh mereka pada program ini.

“Justeru pihak kerajaan menggalakkan bidang inovasi dan kreativiti diserap ke dalam program yang dilaksanakan dikalangan penduduk demi kebaikan mereka masa ke semasa,” menurut beliau.

Nancy menambah bahawa kejayaan pihak KEMAS menganjurkan program seperti itu telah membuktikan wujudnya semangat kerjasama dikalangan ibubapa dan semua pihak yang terlibat.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Hari Potensi Kawasan Parlimen Batang Sadong, Hamlet Jolly berkata bahawa program ini bertujuan untuk memilih wakil kanak-kanak TBK KEMAS kawasan Parlimen Batang Sadong ke peringkat zon Samarahan nanti.

Terdahulu program Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA KEMAS terbabit telah melibatkan penyertaan dari 37 buah TBK yang disertai oleh 200 orang kanak-kanak di parlimen ini.

Sebanyak sembilan buah acara diadakan bersempena dengan program tersebut antaranya ialah Pertandingan Pidato, Bercerita, Story Telling, Rekacipta, Tilawah, Teater, Boneka Tangan, Tarian dan Nasyid.

Tamat.

No comments:

Post a Comment