Caption: SELESAI...Suzana (tengah) dan Salmah (kanan) ketika bersama para
ahli PPWS Kampung Hulu menunjukkan Kuih Cara dan Tumpik Serabai sebaik sahaja
selesai program tersebut kelmarin.
SRI AMAN, Isnin (11 Jun) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) kampung
Hulu telah menganjurkan Program Membuat Kuih Tradisional yang berlangsung di
kediaman Ketua Kampung Haji Bolhi Jol di Kampung Hulu, Sri Aman kelmarin.
Pengerusi PPWS Kampung Hulu, Suzana binti Kassim berkata program yang
bermula dari jam 2 hingga 5 petang itu telah melibatkan penyertaan sejumlah 30
orang ahli PPWS terbabit.
“Program terbabit bertujuan untuk mendidik para ahli PPWS Kampung Hulu
mengenai cara atau teknik untuk membuat kuih tradisional seperti Kuih Cara dan
Kuih Tumpik Serabai.
“Dengan adanya program seperti ini, para ahli akan mendapat pengetahuan
terbaru tentang cara membuat kuih tradisional dan seterusnya memberi peluang
kepada mereka berniaga bagi menjana pendapatan keluarga di masa akan datang,”
katanya.
Selain itu Program Membuat Kuih Tradisional kata Suzana juga secara tidak
langsung akan merapatkan lagi hubungan tali silaturahim dikalangan para ahli
PPWS Kampung Hulu dari masa ke semasa.
Malah program terbabit juga menurut beliau secara tidak langsung dapat
membuktikan bahawa PPWS Kampung Hulu aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti
demi kebaikan para ahlinya.
“Justeru saya berharap agar para ahli PPWS Kampung Hulu dapat memanfaatkan
sepenuhnya ilmu pembuatan kuih tradisional yang mereka pelajari menerusi
program tersebut selepas ini,” katanya.
Terdahulu teknik pembuatan kuih tradisional iaitu Kuih Bingka Cara dan Kuih
Tumpik Serabai ini telah dikendalikan oleh Salmah Abdullah iaitu salah seorang
ahli PPWS Kampung Hulu.
Difahamkan bahawa PPWS Kampung Hulu telah Program Pembuatan Kuih
Tradisional di kediaman Dayang Rosnah Aliauddin (Kuih Apam Pulau Pinang)
sebelum ini dan akan mengadakan program yang sama di kediaman Khamisiah Jolhi
pada 16 Jun kelak.
Tamat.
No comments:
Post a Comment