Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 14, 2012

Penghuni rumah panjang bela sarang tebuan


SRI AMAN, Khamis (7 Jun) – Kata orang jika lebah bersarang di kediaman anda maka ia akan memberi tuah begitu juga dengan tanggapan mereka terhadap serangga berbisa yang lain seperti tebuan.

Disebabkan oleh kepercayaan tahyul seperti inilah seorang penghuni rumah panjang di Bahagian Sri Aman telah bertindak membiarkan tebuan bersarang di tingkat atas ruang biliknya semenjak beberapa bulan yang lepas.

Menurut sumber kisahnya bermula kira-kira seminggu sebelum perayaan hari Gawai apabila para penghuni rumah panjang berkenaan mula mengesan kehadiran sejumlah tebuan di situ.

Tebuan tersebut kata sumber sering hinggap pada lampu pada waktu malam dan ada kalanya berlegar-legar di ruang siling bilik penghuni rumah panjang yang lain sehingga menyebabkan mereka mula bertindak untuk mencari sarang serangga tersebut.

“Penghuni rumah panjang di situ gagal menemui sarang tebuan berkenaan. Ia menyebabkan mereka berasa hairan tentang kemunculan serangga-serangga berbisa tersebut sebelum ini,” kata sumber.

Teka-teki kemunculan tebuan tersebut akhirnya terungkai apabila kanak-kanak melaporkan bahawa mereka terlihat sarang serangga yang cukup besar di ruang atas salah satu bilik di rumah panjang berkenaan.

Apabila diperiksa para penghuni rumah panjang terbabit berasa terkejut apabila mendapati bahawa tebuan telah membina sarang setinggi satu kaki setengah di lantai bilik tidur yang terletak di tingkat atas ruang bilik penghuni bilik berkenaan.

“Lebih mengejutkan ialah penghuni ruang bilik berkenaan sengaja tidak melaporkan perkara ini kepada jirannya yang lain walaupun serangga berbisa itu sudah membina sarang berkenaan semenjak beberapa bulan lepas.

“Penghuni bilik berkenaan memberi alasan bahawa ia membawa tuah namun penghuni yang lain tidak menganggapnya begitu memandangkan tebuan pernah menyebabkan kematian manusia sebelum ini,” kata sumber.

Bimbang terhadap ancaman lanjut daripada serangga tersebut, seorang kakitangan kerajaan yang tinggal di rumah panjang itu akan cuba melaporkan perkara tersebut kepada pihak bomba bagi tujuan tindakan lanjut selepas ini.

“Para penghuni rumah panjang tersebut masih lagi membincangkan perkara ini. Tetapi saya yakin mereka akan menghubungi pihak bomba...jika tidak pada hari ini kemungkinan besarnya adalah esok,” katanya.

Tamat.















Kepercayaan tahyul seorang penghuni rumah panjang di Bahagian Sri Aman

telah mengundang bahaya dikalangan jiran biliknya

No comments:

Post a Comment