Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 14, 2012

Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang turun padang


Caption: PRIHATIN...Para Pemuda Bumiputra SUPP dan JKM Sri Aman bergambar kenangan di hadapan rumah Ranggau ketika berlangsungnya sesi turun padang untuk meninjau keuzuran rumah terbabit kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (9 Jun) – Pergerakan Pemuda Bumiputera Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) N.27 cawangan Simanggang telah turun padang untuk melawat sebuah keluarga miskin dari Rumah Ringgit Bayang, Ibol, Undop, Sri Aman kelmarin.

Timbalan Pengerusi pergerakan terbabit, Patrick Michael Malanjin ketika ditemui berkata aktiviti terbabit turut melibatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman yang diketuai oleh Hangol Katot.

“Pihak kita bersama dengan JKM Bahagian Sri Aman telah turun padang untuk melawat Ranggau anak Brandah yang dilaporkan hidup dalam keadaan miskin serta tinggal dalam rumah cukup usang.

“Hasil aktiviti turun padang ini akan membolehkan pihak kita dan JKM mencari langkah bagi membantu mengurangkan masalah kemiskinan hidup yang melanda Ranggau anak Brandah selepas ini,” kata Patrick.

Beliau turut menambah bahawa aktiviti seperti ini adalah tanggungjawab para ahli pergerakan pemuda untuk sentiasa meninjau masalah rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang dari masa ke semasa.

“Dengan berbuat demikian kita akan dapat mendekatkan diri dengan masalah rakyat dan seterusnya bertindak sesuatu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka selepas itu,” katanya.

Sementara itu Hangol memberitahu bahawa penduduk luar bandar boleh memohon bantuan membaiki rumah panjang dengan mengajukan permohonan mereka kepada pihak Pejabat Daerah Sri Aman.

Permohonan untuk membaiki rumah panjang terbabit menurut beliau boleh diajukan kepada pihak Pejabat Daerah Sri Aman menerusi minit mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

“Penduduk yang gagal boleh memohon semula,” katanya sambil menambah bahawa golongan Warga Emas yang uzur dan miskin mempunyai peluang yang cukup besar untuk memperoleh bantuan daripada kerajaan selepas ini.

Beliau juga berharap agar Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP N.27 cawangan Simanggang akan meneruskan aktiviti kaji selidik dan turun padang seperti itu demi memantau masalah hidup rakyat di Sri Aman dari masa ke semasa.

Hadir sama bagi menjayakan aktiviti turun padang untuk meninjau rumah Ranggau anak Brandah ialah Setiausaha Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP N.27 cawangan Simanggang, Empaga anak Penghulu Bailey.

Tamat.



No comments:

Post a Comment