Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Hidup penduduk di Ulu Paku bakal dipertingkat - Harden


Caption: RASMI...Harden (tiga kiri) ketika bersama tetamu khas menyempurnakan upacara Ngiling Bidai di Rumah Sawing, Ulu Paku, Undop baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (18 Jun) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis telah mengumumkan beberapa projek pembangunan yang bakal menguntungkan rakyat di kawasan Batu Lintang, Sri Aman.

Projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ini kata Harden mencakupi kerja pembinaan jalan raya berturap, penyediaan kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), jambatan dan gelanggang futsal.

“Permohonan untuk membina Jalan Ulu Paku, Undop, Batu Lintang sepanjang 15 kilometer sebelum ini sudah pun diluluskan dengan kos perlaksanaannya dianggar menelan belanja sebanyak RM100 juta.

“Kita juga sudah siap melaksanakan projek jalan raya sepanjang dua kilometer di Radau, Sungai Paku, Sebangkoi dan Sungai Paku dengan setiap projek terbabit menelan kos sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Kanselor Sawing, Ulu Paku, Undop, Batu Lintang, Sri Aman petang Khamis lepas.

Selain itu empat buah jambatan kata Harden juga sudah diluluskan dan menunggu proses tender bagi tujuan pembinaan antaranya ialah di Sungai Putong, Sungai Sebangkoi, Sungai Sebujok serta Sungai Paku (Batang Undop).

“Saya juga sudah memohon kepada pihak kerajaan untuk mendirikan sebuah menara Telekom di kawasan Batu Lintang demi memperluaskan rangkaian perhubungan antara rakyat di situ pada masa akan datang,” katanya.

Justeru Harden berharap taraf hidup rakyat dalam kawasan Batu Lintang, Sri Aman akan dapat dipertingkatkan ke tahap lebih baik dengan adanya projek-projek pembangunan berkenaan selepas ini.

Hadir sama ialah Pengurus Revenue Scoop, Razi Suhaimi, Pengurus Ladang SOP Pelita Batu Lintang, Mohd Sofian Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang, Patrick Michael, wakil Sesco Sri Aman, Tawis Ason, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Nor Mahathir, wakil DID Sri Aman, Henry Tuah dan ketua kaum di sini.

Terdahulu kerajaan sedang melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES untuk kegunaan 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

Projek yang menelan kos bernilai RM12 juta itu dijangka siap pada awal bulan Disember tahun dan akan memberi faedah kepada 1,000 hingga 1,300 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment