Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 28, 2012

Inspektor Mohd Nizam Bujang pindah ke IPD Serian


Caption: SELAMAT BERTUGAS....Nizam (kiri) menyerahkan dokumen kepada Jackson (kanan) sambil disaksikan oleh Jusoh (tiga kanan), Ang (kanan sekali), Sazali (tengah), Marcel (kiri sekali) dan Razak (baju biru) pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (28 Feb) – Dua upacara serah tugas jawatan telah berlangsung di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman yang berlangsung di bilik gerakan balai polis berkenaan pada jam 9 pagi hari ini.

Pertama, Inspektor Mohd Nizam Bujang telah menyerah tugas selaku Ketua Bahagian Logistik Daerah, IPD Sri Aman kepada Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman iaitu ASP Ang Tuan Peck.

Kemudian, Nizam menerusi majlis itu telah menyerah tugas beliau selaku Ketua Polis Balai IPD Sri Aman kepada Sarjan Jackson Sujang Mut yang akan memangku jawatan tersebut selepas ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh Muhammad telah hadir bagi menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah tugas itu sebelum berlangsungnya penyerahan dokumen itu antara pihak yang terlibat.

Terdahulu Nizam telah menyertai Pasukan Polis Daerah Malaysia (PDRM) dengan menjalani lathian di Pusat Latihan Polis (PULAPOR), Kuala Lumpur pada 1 November 2003.

Sebaik sahaja tamat latihan di PULAPOR, beliau telah dihantar untuk bertugas buat pertama kalinya di IPD Seberang Prai Selatan pada 1 Oktober 2004 sebelum berpindah tugas ke IPD Sri Aman 4 Mei 2009.

Nizam kemudiannya diarah berpindah tempat tugas ke IPD Serian dengan memegang jawatan Ketua Polis Balai di situ yang bakal berkuatkuasa mulai 1 Mac ini nanti.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Sazali Abdul Latip, Ketua Cawangan Khas Daerah, Inspektor Rajak Nyodim, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, Inspektor Marcel Irenus dan para anggota berpangkat rendah.

Tamat.


PERKIM Sri Aman anjur 3 aktiviti pertama tahun 2012


Caption: UNTUK ALBUM...Pemanca Shamsiah (baju kurung ungu) ketika bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa PERKIM cawangan Sri Aman sebaik sahaja selesai aktiviti tersebut malam kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (28 Feb) – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau PERKIM cawangan Sri Aman telah mengadakan tiga aktiviti sebagai permulaan bagi aktiviti pertama mereka untuk tahun ini.

Dengan Surau Kebahagian Kampung Hilir Sri Aman menjadi tumpuan utama bagi tujuan ini, PERKIM cawangan Sri Aman telah pun memulakan aktiviti pertama mereka dengan mengadakan solat berjemaah di situ malam kelmarin.

Majlis kemudiannnya diteruskan lagi dengan sesi takzirah mengenai junjungan Nabi Muhammad S.A.W yang disampaikan oleh Ustaz Haji Zulhazmi Bohari dari Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman.

Selain daripada itu, PERKIM cawangan Sri Aman juga turut mengadakan sesi doa tahlil kepada suami salah seorang Setiausaha Kehormat PERKIM yang telah kembali ke rahmatullah sebelum ini.

Terdahulu Pengerusi PERKIM cawangan Sri Aman iaitu Dayang Mariana Haji Awang Yusop telah menyarankan para ahli supaya terus memberi sokongan kepada pihak persatuan dari masa ke semasa.

Sokongan mereka terhadap persatuan menurut beliau adalah amat penting demi menjayakan perlaksanaan pelbagai aktiviti anjuran PERKIM cawangan Sri Aman di masa akan datang.

“Justeru saya berharap agar semua ahli sedar bahawa semangat kerjasama antara ahli juga adalah merupakan satu elemen penting untuk menjadikan PERKIM cawangan Sri Aman sebagai salah persatuan aktif selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem, Timbalan Pengerusi PERKIM cawangan Sri Aman, Nur Khadijah Abdullah, Ketua Kampung Haji Abang Mazaman dan ahli PERKIM cawangan Sri Aman.

Tamat.

Budak mabuk cuba pow orang




SRI AMAN, Selasa (28 Feb) – Gelagat seorang lelaki mabuk nyata tidak menyenangkan para pekerja restoran dan seorang pekerja di pusat permainan snooker dalam bandar ini malam kelmarin.

Kisah bermula sekitar jam 9.30 malam apabila lelaki terbabit tiba di kawasan belakang dapur sebuah restoran di sini untuk menempah mee goreng daripada seorang pekerja di situ.

Setelah memasak mee goreng terbabit di masak, pekerja restoran yang berasa was-was terhadap tingkah laku lelaki berkenaan terus bertindak meminta wang terlebih daripadanya sebelum mee goreng itu boleh diserahkan.

Lelaki mabuk itu mendakwa bahawa tempahan mee gorang beliau akan dibayar oleh majikan beliau yang kononnya sedang minum bersama rakan-rakannya di hadapan restoran berkenaan.

“Setelah dicabar oleh pekerja terbabit berhubung siapa ‘tauke’nya maka lelaki berkenaan terus beredar ke sebuah pusat permainan snooker yang terletak tidak jauh dari restoran tersebut,” katanya.

Lelaki terbabit yang tidak berputus asa setelah gagal menipu pekerja restoran berkenaan terus bertindak menemui seorang pekerja pusat snooker di situ untuk meminjam wang berjumlah RM100.

“Si pemabuk itu mendakwa bahawa beliau adalah rakan kepada rakan pekerja pusat snooker itu. Tanpa menyebut nama rakannya, lelaki terbabit cuba meminjam RM100 daripada pekerja restoran terbabit,” katanya.

Tindakan lelaki mabuk itu menyebabkan pekerja pusat snooker terus bertindak melarikan diri untuk meminta bantuan daripada rakan-rakannya yang sedang di sebuah restoran tidak jauh dari situ.

“Lelaki mabuk itu yang pada mulanya mahu mengejar pekerja pusat snooker berkenaan terus bertindak melarikan diri dengan motorsikalnya ke kawasan Jalan Sabu setelah cuba dikejar oleh rakan-rakan pekerja terbabit,” kata sumber.

Tamat.

Jangan ubah kerajaan sedia ada - MOng


Caption: TERIMA KASIH...Mong sedang menerima cenderamata daripada Tr Sumping sambil disaksikan oleh Masir (tengah) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

PANTU, Isnin (27 Feb) – Rakyat dalam kawasan luar bandar dinasihat agar tidak berniat mahu menukar Kerajaan Negeri yang sedia ada pada masa sekarang demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang.

Katanya Kerajaan Negeri yang diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN) telah merancang pelbagai pelan pembangunan untuk rakyat menerusi Program Transformasi Kerajaan atau GTP semenjak dari dulu hingga sekarang.

“Bagaimanapun jika Kerajaan Negeri sedia ada sekarang diambil alih oleh pembangkang hasil tindakan rakyat maka segala pelan pembangunan yang sedang dirancang oleh BN untuk mereka akan hilang selepas itu,” katanya.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Kampung di Rumah Sumping Pagon, Ran Ulu Batu, Pantu kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta rakyat dalam kawasan DUN Bukit Begunan yang menyokong BN pada pilihan raya negeri lepas agar memberi sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat pada pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan Negeri pada masa sekarang perlu terus dikekalkan oleh rakyat demi memastikan segala projek pembangunan yang dirancang oleh BN sebelum ini diteruskan seperti biasa selepas pilihan raya kelak.

“Justeru saya berharap rakyat menunjukkan kesetiaan mereka kepada kerajaan dengan mengundi Masir sekiranya beliau dicalon semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Bukit Begunan, Jessie Bintoh, para wakil jabatan kerajaan dan para ketua kaum di sini.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Sumping, RM5,000 untuk JKKK Rumah Gading (Ran Asal) dan RM5,000 untuk Rumah Meramat.

Manakala Masir menerusi majlis itu pula mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Sumping manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Terdahulu kerajaan telah pun siap membina jalan kampung dan sistem peparitan di kawasan perkampungan Ran, Pantu yang menelan kos sebanyak RM100,000 (RM80,000 untuk jalan, RM20,000 untuk parit).

Tamat.






Penduduk yang ada tanah paya digalakkan sertai skim tanam padi



Caption: PANTAU...Nyalau sedang memantau enjin pemproses padi yang baru bersama ketua kaum bersempena dengan majlis itu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Isnin (27 Feb) – Rakyat kawasan luar bandar yang memiliki kawasan tanah paya digalak untuk memohon skim penanaman padi daripada kerajaan selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Menurut beliau penglibatan rakyat luas bandar khasnya mereka yang memiliki tanah paya dalam skim penanaman padi ini dilihat amat penting memandangkan ia mampu mengeluarkan hasil sebanyak tiga kali setahun.

“Mereka boleh memohon skim penanaman padi ini daripada pihak Pejabat Pertanian dengan pihak Jabatan Tanah Dan Survei boleh turun padang untuk menyukat keluasan tanah paya masing-masing demi memudahkan proses terbabit selepas itu.

“Langkah ini dilihat amat wajar daripada membiarkan tanah paya itu kosong dan tidak diusahakan. Dengan cara ini taraf ekonomi hidup rakyat luar bandar akan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 1 Malaysia yang berlangsung di Rumah Unchit, Geligau Ulu, Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga berharap agar rakyat di kawasan luar bandar untuk terus menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak kerajaan demi memudahkan perlaksanaan projek pembangunan di kawasan mereka pada masa akan datang.

Justeru beliau berharap agar rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu menunjukkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan dengan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar lebih dari RM150,000 kepada 14 buah rumah panjang di kawasan hilir Engkilili.

Tamat.



Jangan pandu laju di lorong lot 916 dan 917!



Caption: SILA BERHATI-HATI...Pemandu kereta dan motorsikal yang tidak beretika sering memandu kenderaan secara laju di kawasan lorong bangunan 916 dan 917 seperti yang ditunjukkan dengan tanda anak panah dalam gambar ini.

SRI AMAN, Isnin (27 Feb) – Pengguna kenderaan dalam Bandar Sri Aman dinasihatkan agar tidak memandu secara laju di lorong jalan yang menghubungkan bangunan sekitar Lot 917 dan Lot 917, Jalan Hospital dalam bandar Sri Aman selepas ini.

Ia ekoran terdapat sesetengah sikap pengguna kenderaan yang sengaja memandu di kawasan lorong berkenaan sehingga boleh mengundang risiko kemalangan dikalangan pengguna kenderaan yang lain sebelum ini.

Terbaru, seorang remaja mengalami luka di bahagian muka dan tumit kaki apabila skuter yang ditunggang olehnya terjatuh dan terus meluncur di kawasan lorong terbabit pada minggu lepas.

Mangsa yang dipercayai menunggang motorsikal secara laju dalam kawasan lorong itu dipercayai panik dan terkejut kerana menyangka adanya kenderaan yang mahu memasuki laluan tersebut dari arah lorong lain.

Seorang peniaga restoran dalam kawasan Lot 916 dan Lot 917 itu memberitahu terdapat ramai pengguna kenderaan yang tidak memandu secara berhati-hati di sepanjang lorong itu hasil pengamatan beliau sebelum ini.

“Sama ada waktu pagi mahupun lewat malam, ada saja pengguna kenderaan yang memecut laju kenderaan mereka di lorong kecil ini tanpa mengendahkan keselamatan penghuni bangunan di situ.

“Kemalangan yang membabitkan seorang penunggang skuter pada minggu lepas patut dijadikan sebagai pengajaran kepada mana-mana pengguna kenderaan yang gemar memandu laju di lorong berkenaan selepas ini,” katanya.

Walaupun belum sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sebelum ini, peniaga itu percaya bahawa akan terjadi kemalangan seperti itu jika para pengguna kenderaan khasnya kereta terus mengamalkan sikap seperti itu di masa akan datang.

“Saya pernah terlihat seorang kanak-kanak nyaris dilanggar oleh sebuah kenderaan yang sengaja dipandu oleh seorang lelaki di lorong kecil dalam kawasan bangunan Lot 916 sebelum ini.

“Justeru saya menyeru mereka agar berhenti bersikap demikian mulai sekarang,” katanya sambil menambah seorang Warga Emas pernah dilanggar sebuah kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki tidak jauh dari kawasan itu ketika sedang menunggang basikal.

Tamat.

Jangan bangga dengan jawatan Pengerusi JKKK atau TR


Caption: PENGHARGAAN...Tr Koh Amit (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Edward (kanan) sambil disaksikan oleh Julius (belakang) ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (26 Feb) – Individu yang memegang jawatan Tuai Rumah atau Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dinasihat agar tidak mengutamakan kepentingan diri masing-masing selepas ini.

Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk berkata individu yang memegang kedua-dua jenis jawatan ini perlu berfikiran jauh ke hadapan untuk memajukan hidup rakyat yang berada di bawah pentadbiran mereka.

“Seseorang individu itu tidak harus memikirkan populariti atau kelebihan sekiranya berjaya memegang jawatan Tuai Rumah atau Pengerusi JKKK dalam penempatan masing-masing.

“Mereka harus sedar bahawa tanggungjawab kedua-dua jawatan tersebut dalam besar iaitu bekerjasama dengan kerajaan untuk menjayakan lagi projek pembangunan dalam kawasan penempatan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Muda Pertanian, Datuk Mong Dagang untuk merasmikan Majlis Pelancaran JKKK Rumah Koh Amid, Tembawai Papan, Jumbit, Melugu, Sri Aman malam tadi.

Selain itu Michael juga berharap agar JKKK dapat membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyebar dasar-dasar pembangunan yang akan dapat mengubah hala tuju hidup mereka selepas ini.

“Saya yakin kemajuan sesebuah kampung atau penempatan bergantung sepenuhnya terhadap kerjasama antara pengerusi JKKK atau Tuai Rumah dengan penghuni penempatan mereka sendiri untuk sepanjang masa.

“Justeru saya berharap agar mereka yang sudah dilantik untuk memegang jawatan itu agar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih serius demi kemajuan kawasan masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Edward menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan daripada Mong bernilai RM3,000 dan juga daripada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat juga bernilai RM3,000 untuk JKKK Rumah Koh Amid, Tembawai Papan, Jumbit, Melugu.

Hadir sama ialah Julius Serit iaitu Setiausaha Sulit kepada Datuk Mong Dagang, Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Sarawak, Jantan Kidu, Pembantu Operasi KPA Pejabat Daerah Kecil Pantu, Stanley Davey Langgong, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Pembangunan keperluan asas hidup fokus utama BN - Nyalau



Caption: TERIMA KASIH...Nyalau sedang berjabat tangan dengan seorang penerima cek peruntukan sambil disaksikan oleh Mussen (belakang) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Ahad (26 Feb)  – Hal ehwal pembangunan keperluan asas hidup penduduk dalam kawasan luar bandar di negeri ini khasnya dalam kawasan Parlimen Lubok Antu sememangnya tidak lari dari menjadi fokus utama kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata ia terbukti apabila kerajaan BN sedang melaksanakan projek kemudahan infrastruktur Jalan Kumpang Langgir sepanjang lapan kilometer yang menelan belanja lebih dari RM6 juta pada masa sekarang.

“Saya berharap agar dengan adanya kemudahan jalan seperti ini maka membantu penduduk dalam kawasan Kumpang Langgir untuk memajukan kawasan tanah masing-masing dengan pelbagai pertanian komersial.

“Projek pertanian komersial terbabit sekaligus akan dapat mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing ke arah memajukan lagi kawasan luar bandar di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Kelly, Kumpang Langir, Lubok Antu pada hari Jumaat lepas.

Nyalau menerusi majlis itu juga telah mengumumkan kelulusan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES ke kawasan penduduk Kampung Kumpang Langir yang menelan kos sebanyak RM 1.9 juta.

“Projek perlaksanaan kemudahan RES ke kawasan Kampung Kumpang Langgir yang mencakupi kos bernilai RM1.9 juta ini nanti dijangka akan bermula pada pertengahan bulan April tahun ini.

“Justeru saya berharap agar penduduk menghargai sumbangan Kerajaan BN dalam memajukan hidup mereka selepas ini,” katanya sambil sejumlah RM600,000 diluluskan membina kemudahan RES di Rumah Tan, Seremat, Lubok Antu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen amoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Sri Aman, Razali Arshad, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Kampung Baur terima bantuan TBS



Caption: UNTUK ALBUM...Shamsuddin (belakang tengah) bersama Shamsul (kiri) dan tetamu khas sedang merakamkan gambar kenangan bersama penerima bantuan di Kampung Baur, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (26 Feb) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menghulurkan bantuan kelengkapan asas kepada pihak Pengurusan Surau Kampung Baur Sri Aman menerusi majlis yang berlangsung di surau kampung tersebut kelmarin.

Majlis itu yang turut dijayakan menerusi rangka kerjasama dengan Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman itu telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) iaitu Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Beliau ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan itu telah mengajak semua masyarakat Islam untuk sentiasa bersatu hati dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang dapat memberi kebaikan bersama selepas ini.

“Permasalahan kecil yang berlaku dikalangan mereka hendaklah diselesaikan dengan cara bijkasana agar tidak menimbulkan keretakan dalam entiti sesebuah masyarakat Islam,” katanya.

Selain itu beliau juga turut menjangkakan bahawa Kampung Baur bakal mempunyai potensi untuk menjadi lokasi tumpuan projek pertanian buah-buahan dalam rantau daerah Sri Aman di masa akan datang.

“Ini kerana kawasan telah didapati mempunyai kedudukan tanah yang subur disamping kesungguhan para penduduk tempatan di situ dalam mengusahakan pelbagai jenis projek dari segi aspek pertanian.

“Justeru saya berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan oleh penduduk Kampung Baur di masa akan datang demi merealisasikan jangkaan tersebut di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu TBS menerusi majlis tersebut juga turut menyampaikan bantuan berupa beg persekolahan kepada golongan murid sekolah rendah yang telah dikenalpasti sebagai fakir miskin.

Ketua Zon Selatan TBS, Shamsul Bahri Manap, Imam Bahagian PAIB, Ustaz Haji Anwar Musaddad Tajuddin, Pengerusi Pengurusan Surau Kampung Baur, Ketua Kampung Baur dan Ketua Kampung Tanjung Bijat turut hadir sama pada majlis itu.

Tamat.

Sunday, February 26, 2012

Kemalangan ambulan di Aping Dadak, Pantu ragut ngawa Abang Jamain


Caption:

1. TERBABAS..Gambar menunjukkan ambulan yang terbalik di bahu jalan sebaik sahaja merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan Isuzu Trooper yang menyebabkan kematian Awang Jamani pagi tadi.

2. SEDIH...Mayat awang ditutupi dengan selimut di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman pagi tadi.

PANTU, Sabtu (25 Feb) – Seorang kakitangan Hospital Bahagian Sri Aman terbunuh apabila ambulan yang dinaiki oleh mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan perkampungan Aping Dadak, Pantu pagi tadi.

Sumber dari lokasi kejadian memberitahu mangsa yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di kawasan perkampungan Aping Dadak, Pantu tersebut dikenali sebagai Awang Jamain, 52 tahun.

Menurut sumber, mangsa bersama seorang jururawat sedang dalam perjalanan menaiki ambulan berkenaan untuk menghantar dua orang pesakit dari Hospital Bahagian Sri Aman menuju ke Kuching.

Ketika tiba di sebuah laluan berbukit, ambulan yang dipandu oleh salah seorang kakitangan Hospital Sri Aman itu dipercayai telah hilang kawalan apabila tayar kenderaan mengenai kawasan berbecak yang terdapat di bahu kiri jalan tersebut.

Disebabkan oleh itu, ambulan yang membawa mangsa dan para penumpang lain dipercayai terus merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Troopher  yang datang dari arah Kuching.

“Rempuhan terbabit menyebabkan ambulan tersebut terbalik ke kawasan bahu jalan. Mangsa yang berada di dalam ambulan dipercayai terbunuh serta-merta sebaik sahaja berlaku kemalangan tersebut,” katanya.

Kemalangan tersebut kata sumber juga dipercayai menyebabkan jururawat berkenaan pengsan buat sementara waktu dengan kedua-dua pesakit mengalami luka ringan akibat kejadian tersebut.

“Pemandu ambulan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dengan pemandu Isuzu terbabit. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman setelah berlakunya kejadian itu,” kata sumber.

Tamat.

Kawasan Ulu Paku bakal terima RES - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (tengah) sedang menerima cenderamata daripada Daniel (kiri) dan Jampong (kanan) sambil disaksikan oleh Sawing (belakang) dan Terence (kanan sekali) pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (25 Feb) – Projek penyambungan Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES ke sembilan buah rumah panjang dan sebuah sekolah di kawasan Ulu Paku, Undop Batu Lintang, Sri Aman sudah pun diluluskan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Menjunjung Kasih 2012 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Undop, Batu Lintang, Sri Aman malam tadi.

“Pihak kontraktor yang dilantik bagi tujuan perlaksanaan projek ini akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk dari sembilan buah rumah panjang berkenaan dalam masa terdekat ini,” katanya tanpa mendedahkan nilai keseluruhan kos projek tersebut.

Beliau juga turut menambah bahawa projek RES di kawasan Nanga Skrang juga sudah diluluskan dengan kedua-dua projek itu termasuk di Ulu Paku bakal dilaksanakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

Jika kedua-dua projek berkenaan sudah siap dilaksanakan kelak maka Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang kata Harden bakal diliputi dengan 95 peratus kemudahan RES selepas ini.

Terdahulu Harden ketika berucap pada majlis berkenaan mahu pihak Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) dan sekolah memberi lebih banyak fokus terhadap perlaksanaan aktiviti yang dapat mempertingkat prestasi akademik anak-anak.

“Lagipun bangunan baru bernilai RM75,000 yang telah siap dibina di SK Ulu Paku membuktikan bahawa keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kemudahan pendidikan di negara kita.

“Justeru saya berharap agar penduduk terus memberikan sokongan terhadap kerajaan BN dari masa ke semasa,” katanya sambil menambah bahawa sejumlah RM100,000 diperuntuk bagi projek naiktaraf kelas serta kuaters guru sekolah terbabit.

Harden menerusi majlis itu juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada SK Ulu Paku manakala RM5,000 lagi untuk Saint John Chapel, Ulu Paku, Batu Lintang.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Ulu Paku, Daniel Sidi, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Ulu Paku, Jampong Sadong, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Inspektor Terence dan Kanselor Sawing Sumar.

Tamat.

SRS Kampung Muhibbah, Sri Aman perhebatkan kawalan malam



Caption:

1. SEDIA...Ramli sedang memberi penerangan ringkas kepada para anggotanya sebelum bermula sesi rondaan di Kampung Muhibah malam kelmarin.

2. BUKTI...Gambar menunjukkan penemuan tin gam yang sudah kosong ketika berlangsungnya sesi rondaan oleh pihak SRS Kampung Muhibah malam kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (25 Feb) – Tahap kawalan keselamatan penduduk Kampung Muhibah, Sri Aman terus dipertingkatkan dengan adanya sesi rondaan oleh penduduk di situ malam kelmarin.

Kawalan keselamatan di Kampung Muhibah itu telah dijayakan menerusi Skim Rondaan Sukarelawan atau SRS yang diketuai oleh Ramli Abu Sera bersama dengan lapan orang anggota dari perkampungan tersebut.

Bermula jam 9 malam, Ramli bersama anggotanya telah memulakan operasi rondaan mereka terhadap enam buah kuaters penginapan kerajaan yang kosong bagi memastikan ia tidak disalah-guna oleh lain-lain pihak.

“Pihak kami telah menemui tin cecair gam, bekas botol minuman dan juga ubat nyamuk ketika melakukan pemeriksaan di dalam keenam-enam buah kuaters penginapan kerajaan yang kosong itu.

“Setelah tidak menemui mana-mana individu atau kumpulan yang berada di kuaters berkenaan maka sesi rondaan kami diteruskan lagi ke kawasan masjid dan sekolah rendah dalam kampung ini,” katanya.

Operasi rondaan terbabit katanya telah berakhir sekitar jam 12 tengah malam dengan kawasan lorong B1 hingga B2 dan lorong C hingga Lorong A dalam Kampung Muhibah menjadi lokasi terakhir rondaan oleh kumpulan terbabit.

Secara keseluruhannya, tahap keselamatan di kawasan Kampung Muhibah kata Ramli masih lagi selamat dengan pihaknya tidak mengesan sebarang aktiviti jenayah termasuk kes kecurian menerusi rondaan itu.

“Pihak SRS Kampung Muhibah akan terus melapor kepada pihak polis sekiranya terdapat aktiviti jenayah yang dikesan menerusi operasi ini,” katanya sambil menambah bahaa operasi seperti ini akan diteruskan di situ dari masa ke semasa.

Justeru Ramli berharap agar operasi rondaan SRS Kampung Muhibah ini akan dapat membantu pihak polis untuk membendung berlakunya kejadian jenayah di kawasan Sri Aman termasuk di kampung tersebut selepas ini.

Tamat.



BR1M ikhlas dari Kerajaan - Rayong


Caption: TERIMALAH...Rayong sedang menyerahkan baucer BR1M kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Nyalau pada majlis berkenaan baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (25 Feb) – Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BRIM adalah merupakan satu pemberian ikhlas daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Justeru beliau meminta agar rakyat khasnya dalam kawasan Parlimen Lubok Antu membalas kembali keikhlasan terbabit dengan memastikan kemenangan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

“BR1M merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan BN dalam membantu dan menaiktaraf hidup rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum di negara ini khasnya Sarawak.

“Dengan adanya bantuan seperti ini maka saya berharap rakyat tidak mudah melupakan sumbangan BN untuk mereka dengan memastikan kerajaan yang sedia ada terus kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian BR1M di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga mahu semua rakyat menghargai pemberian BR1M terbabit dengan memastikan bantuan itu diguna bagi tujuan pembangunan hidup keluarga masing-masing.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan baucer BR1M kepada 1,800 orang pemohon yang lulus dalam kawasan DUN Engkilili dengan bakinya 513 orang lagi menerima bantuan itu di Skrang kelmarin.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis penyerahan baucer terbabit adalah Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.


2,313 penduduk DUN Engkilili terima BR1M



Caption: MANFAATKAN...Nyalau menyerahkan baucer BR1M kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Rayong dan tetamu khas yang lain pada majlis itu.

ENGKILILI, Jumaat (24 Feb)  – Seramai 1,800 orang penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili telah menerima wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M kelmarin.

Majlis penyerahan BR1M ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Nyalau ketika berucap ringkas pada majlis itu berkata penyerahan BR1M kepada kesemua pemohon yang lulus dari kawasan DUN Engkilili akan dilakukan sebanyak dua kali.

“Sejumlah 1,800 orang pemohon yang lulus telah menerima BR1M pada 23 Februari. Manakala 513 orang lagi pemohon BR1M yang lulus pula akan menerimanya pada 24 Februari.

“Penyerahan BR1M kepada pemohon yang lulus dari DUN Engkilili dilakukan sebanyak dua kali demi memudahkan lagi urusan pembayaran bernilai RM500 seorang kepada setiap penerima,” katanya.

Selain itu Nyalau juga berharap agar penerima BR1M dari kawasan DUN Engkilili tidak mensia-siakan pemberian wang bantuan berkenaan memandangkan disalurkan oleh kerajaan demi kebaikan hidup mereka.

Justeru beliau berharap agar semua penerima BR1M dari DUN Engkilili dapat menghargai bantuan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) tersebut dengan sebaik mungkin selepas ini.

Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.


Penyampaian BR1M di Simunjan lancar



Caption:

1. DOLLAH...Untuk persekolahan anak-anak

2. ALI...Ringankan beban

SIMUNJAN, Jumaat (24 Feb)  - Program pengagihan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M kepada pemohon yang lulus di Majlis Daerah Simunjan (MDS) baru-baru ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Rata-rata penerima yang ditemui meluahkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi bantuan sebanyak RM500 seorang kepada pemohon yang layak.

Dollah Semail, 42 dari Kampung Hijrah, Simunjan berkata dengan adanya bantuan BR1M maka ia sekurang-kurangnya dapat membantu beliau membeli peralatan persekolahan untuk anak-anaknya.

Beliau yang hanya bekerja sebagai buruh kasar sudah mempunyai seramai lima anak berusia antara satu hingga 16 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan tersebut.

Seorang warga emas yang turut menerima bantuan tersebut iaitu Haji Ali Bol, 82 dari Kampung Lubok Punggor, Simunjan pula berkata bantuan tersebut secara tidak langsung dapat membantu meringankan perbelanjaan seharian beliau.

Pemberian BR1M ini katanya sekaligus membuktikan bahawa kerajaan BN cukup prihatin terhadap kebajikan hidup penduduk dengan meringankan beban hidup mereka dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Daerah Simunjan ketika dihubungi memberitahu bahawa pihaknya telah mengagihkan BR1M bagi peringkat pertama kepada 3,012 orang penerima yang layak dengan jumlah keseluruhan mencatat nilai RM1,506,000.

Semua pengagihan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Haji Shukri dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais dalam dua upacara yang berasingan di MDS, Simunjan sebelum ini.

Tamat

Papan tanda amaran dan penunjuk jalan di Kejatau rosak


Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar hasil tinjauan selama ini menunjukkan kedua-dua papan tanda yang condong dan rebah di simpang jalan masuk menuju ke kawasan Bayu, Sri Aman.

SRI AMAN, Jumaat (24 Feb) – Vandalisme atau tidak itulah yang menjadi persoalan terhadap dua papan tanda penting di persimpangan jalan masuk menuju ke blok Wisma Persekutuan,  Kejatau semenjak lebih sebulan lepas.

Tinjauan sebelum ini mendapati bahawa papan tanda amaran ‘Berhenti’ serta papan tanda Jalan Bayu telah tercabut dari lubang tanah tanpa diketahui punca sebenar berlakunya masalah itu.

Adakalanya papan tanda amaran ‘Berhenti’ akan didirikan semula oleh pihak tertentu di kawasan simpang jalan Kejatau di situ namun akan rebah kembali apabila ditinjau pada hari lain pula.

Dengan simen masih lagi menjadi sokongan asas untuk kedua-dua papan tanda itu, rata-rata para pengguna kenderaan dilihat seperti tidak mengendahkan masalah penting itu hingga ke sekarang.

INi kerana berkemungkinan para pengguna kenderaan sudah masak benar dengan selok-belok kawasan itu walaupun ia mungkin menjadi masalah utama kepada mereka yang masih baru berada dalam Bandar Sri Aman ini.

“Mungkin kedua-dua papan tanda ini rebah dipukul ribut pada musim tengkujuh lepas ditambahi pula dengan kelemahan asas tapak papan tanda itu ketika berlakunya kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun jika ia disebabkan oleh kegiatan vandalisme maka apa asasnya mereka mahu bertindak demikian? Lagipun kedua-dua papan tanda itu masih lagi berada di persimpangan Jalan Bayu hingga sekarang,” kata seorang penduduk.

Justeru beliau berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan bertindak mencacak semula kedua-dua papan tanda berkenaan di dalam tanah agar ia kembali tegak dan menjadi panduan pengguna jalan raya selepas ini.

Tamat.






Thursday, February 23, 2012

Anak sungai ke Munggu Demam, Simunjan berhantu?


Caption: BERHANTU ATAU TIDAK? Gambar menunjukkan lokasi kematian mendiang Ricky pada 16 Februari lepas yang dipercayai berpenunggu. Manakala gambar kecil pula ialah mendiang Ricky Kunjin.

SIMUNJAN, Khamis (23 Feb) – Kematian seorang ayah kepada tiga orang anak di sebuah laluan anak sungai di sebuah perkampungan dalam kawasan Simunjan pada petang 16 Februari lepas sememangnya mengemparkan ramai penduduk.

Ricky Kunjin, 30, dari Rumah Robert Gana, Kesindu, Simunjan dipercayai mati lemas setelah cuba memasang jaring ikan bersama seorang anak lelakinya di laluan anak sungai berdekatan Kampung Munggu Demam, Simunjan sekitar jam 4.30 petang.

Kisah mengenai kematian beliau sememangnya menjadi buah mulut penduduk kampung di situ memandangkan mendiang Ricky merupakan seorang penyelam sungai dan penangkap ikan yang amat mahir sebelum itu.

Sama ada benar atau tidak, kisah kematian mendiang Ricky telah pun menimbulkan satu lagi kisah baru yang mendakwa bahawa laluan anak sungai di simpang masuk menuju ke kampung tersebut adalah berpenunggu.

“Penduduk kampung berkenaan sering mendakwa melihat kelibat makhluk halus di laluan anak sungai terbabit dan ini menyebabkan tiada penduduk Munggu Demam yang berani memasang jaring ikan di situ.

“Justeru penduduk percayai kematian beliau adalah disebabkan oleh perkara terbabit,” kata seorang peniaga tempatan ketika kisah kematian mendiang Ricky tersiar di muka hadapan akhbar ini pada hari Sabtu lepas.

Menurut beliau sebelum mayat mendiang selamat dikebumikan pada hari Sabtu lepas, seorang penduduk kampung Munggu Demam, Simunjan telah termimpi mengenai kewujudkan hantu tersebut di anak sungai terbabit.

Didorong oleh rasa percaya bahawa kemungkinan kemunculan hantu berkenaan berkait-rapat dengan kejadian itu maka penduduk Kampung Munggu Demam kata beliau telah mengadakan upacara sembahyang di anak sungai terbabit pada hari Ahad lepas.

“Majoriti penduduk percaya mendiang mati disebabkan oleh perkara ini. Namun bagi mereka yang percaya kepada fakta logik, kematian mendiang mungkin disebabkan oleh serangan jantung atau lemas disebabkan oleh jaring tersebut,” katanya.

Kisah kematian mendiang Ricky di laluan anak sungai berkenaan juga turut hangat diperbualkan oleh rakan dan sanak saudara beliau sendiri di laman web sosial Facebook pada masa sekarang.

Tamat.







Jom meriahkan Program Aram Nemuai ke Giatmara di Lubok Antu pada Sabtu ini (25 Feb)



Caption:

1. SERBA BARU...Kewujudan Kompleks Latihan GIATMARA Lubok Antu yang baru ini bakal memperkasakan lagi penglibatan para belia dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

2. MARI DATANG...Banner menunjukkan Program Aram Nemuai ke GIATMARA yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Lubok Antu pada hari Sabtu ini nanti.

SRI AMAN, Khamis (23 Feb)  – Para belia dijemput untuk memeriahkan sambutan Program Aram Nemuai ke GIATMARA yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Lubok Antu pada 25 Februari ini.

Program Aram Nemuai ke GIATMARA anjuran bersama GIATMARA Lubok Antu dan GIATMARA Sri Aman itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai khasnya golongan belia yang bakal hadir di situ pada hari Sabtu ini.

Antara aktiviti yang diadakan pada karnival mini itu nanti ialah sukan rakyat seperti Futsal, Badminton, Menyumpit, Sepak Raga, pertandingan karaoke dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Program kali pertama ini juga turut menyediakan hebahan tentang program latihan kemahiran di GIATMARA Malaysia termasuk khidmat solekan secara pecuma dari GIATMARA Sri Aman serta pemeriksaan kenderaan berkomputer dari GIATMARA Lubok Antu.

“Justeru orang ramai dari sekitar kawasan Lubok Antu, Sri Aman dan juga Betong dijemput untuk hadir beramai-ramai pada Program Aram Nemuai ke GIATMARA pada hari Sabtu ini nanti,” kata Pengurus GIATMARA Lubok AntuEn Mohd Nazri.

Terdahulu kewujudan Kompleks Latihan GIATMARA Lubok Antu yang baru juga turut menawarkan kursus Teknologi Automotif, Jahitan Pakaian serta Kimpalan Dan Fabrikasi Logam.

Pusat GIATMARA Sri Aman yang bakal menyertai Program Aram Nemuai ke GIATMARA ini juga bakal menawarkan kursus Teknologi Sistem Komputer dan Solekan Dan Terapi Kecantikan kepada para beliau yang hadir.

Tamat.


Saya masih wakil rakyat BN - Harden



Caption: PENGHARGAAN...Harden (kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Wong ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Feb)  – Datuk Francis Harden Hollis berharap agar rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak keliru berhubung status beliau dalam politik terkini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan itu berkata beliau masih lagi seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan juga ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hingga sekarang.

“Krisis dalaman SUPP yang bermula semenjak bulan Disember tahun lepas seharusnya tidak mengelirukan semua rakyat dalam DUN saya (Simanggang) dan juga ahli parti cawangan di sini.

“Walaupun berlakunya krisis terbabit, saya masih tetap menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat sebagai seorang menteri kabinet, wakil rakyat BN, dan juga selaku Pengerusi SUPP cawangan Simanggang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2012 anjuran SUPP cawangan Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Harden juga berharap agar semua ahli SUPP Simanggang untuk bersatu hati menyokong Masir Kujat sekiranya beliau dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman milik BN itu pada pilihan raya akan datang.

Kemenangan BN di kerusi parlimen Sri Aman katanya adalah amat penting demi meneruskan lagi rentak pembangunan untuk rakyat di seluruh kawasan Sri Aman dari masa ke semasa.

Terdahulu majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh yang turut menyerahkan replika cek peruntukan bernilai RM10,000 kepada Kesatuan Buddha Betong sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain.

Hadir sama ialah Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan barisan pemimpin SUPP yang lain.

Tamat.



Jalan Hospital banjir sementara



REDAH...Hujan lebat selama satu jam di Bandar Sri Aman pada waktu petang kelmarin telah menyebabkan beberapa batang jalan dinaikki air sehingga ke paras setengah kaki sebelum ia surut semula setengah selepas itu. Gambar menunjukkkan dua buah kenderaan sedang meredah banjir yang berlaku buat sementara di laluan Jalan Hospital, berdekatan bangunan Peach Court dalam bandar ini sekitar jam 2.30 petang kelmarin. Bandar Sri Aman sememangnya memerlukan satu pelan induk untuk mengurangkan kejadian banjir yang sering berlaku ketika hujan lebat atau pun ketika pasang besar di Sungai Batang Lupar Sri Aman. - 23 Februari

Godspeed Faizal Che Mat











Caption:

1.TERIMA KASIH...Faizal (kanan) menerima cenderamata daripada pelatih GIATMARA Sri Aman ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

2. UNTUK ALBUM...Faizal (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Pemenang King & Queen of The Night serta Pelatih Paling Sempoi pada majlis berkenaan.

SRI AMAN, Rabu (22 Feb) - Meriah dan penuh makna. Itulah simbolik Majlis Reunion Pelatih GIATMARA Sri Aman yang telah berlangsung di Auditorium  Stesen Radio Televisyen Malaysia atau RTM Sri Aman baru-baru ini.

Majlis Reunion ini adalah merupakan satu kejutan bagi Majlis Jasamu Dikenang bersama Pengurus GIATMARA Sri Aman iaitu Mohd Faizal bin Che Amat yang akan bertukar tempat bertugas ke GIATMARA Negeri Kedah selepas ini.

Majlis yang disertai oleh seramai 80 orang bekas pelatih dari pengambilan sesi Julai – Disember 2010 hingga sesi Januari – Jun 2012 ini bertemakan warna merah dan hitam sambil diserikan lagi oleh persembahan lagu oleh GIAT Band.

Dalam majlis tersebut, kesemua bekas pelatih yang kebanyakkannya telah menempuhi alam pekerjaan telah menunjukkan apresiasi di atas perkhidmatan Pengurus GIATMARA Sri Aman.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini adalah bertepatan dengan usaha GIATMARA bagi memastikan pelatih yang telah menamatkan pengajian di GIATMARA mendapat tempat di industri dan menjadi usahawan teknokrat.

Pertengahan majlis tersebut akhirnya menjadi Majlis Jasamu Dikenang atas perkhidmatan Mohd Faizal sebagai pengurus di satu-satunya Institusi Latihan Kemahiran dalam Bandar Sri Aman ini.

Faizal menerusi majlis berkenaan menyeru bekas pelatih agar menjadi agen penyampai kepada masyarakat luar tentang kewujudan pusat latihan kemahiran yang mampu mengubah destini anak bangsa bumiputera.

Katanya GIATMARA Sri Aman kini pun telah bersedia untuk menerima permohonan kursus Teknologi Sistem Komputer dan Solekan Terapi Kecantikan bagi sesi Julai – Disember 2012.

“Manakala Kursus Teknologi Automotif, Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Jahitan Pakaian pula telah ditawarkan di GIATMARA Lubok Antu. Justeru saya berharap agar bekas pelatih menyebarkan maklumat terbabit kepada orang ramai selepas ini,” katanya.

Tamat.