Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

Perarakan Cap Goh Mei 2012 di Sri Aman meriah




Caption:

1. 1MALAYSIA...Harden (tengah) dan Masir (kanan) ketika bersama ketua jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam perarakan perayaan Cap Goh Mei di sini malam tadi.

2. MENAWAN...Percikan bunga api menerangi kawasan langit Bandar Sri Aman sebaik sahaja tamat perarakan Cap Goh Mei di sini pada jam 9.45 malam.

3. CANTIK...Gambar menunjukkan barisan kereta berhias yang berarak melintasi Jalan Hospital Sri Aman sempena perarakan Cap Goh Mei malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (7 Feb) – Lebih 5,000 orang penduduk membanjiri kawasan pusat bandar Sri Aman untuk menyaksikan acara perarakan secara besar-besaran bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman malam tadi.

Menerusi acara terbabit sejumlah 56 buah kontinjen yang terdiri daripada persatuan, jabatan kerajaan dan swasta dari sekitar daerah Sri Aman ini mengambil bahagian dalam perarakan bermula seawal jam 7.30 malam.

Antara pihak yang dikenalpasti mengambil bahagian dalam perarakan tersebut ialah Persatuan Soon Heng Sri Aman, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang, Chee Chuan Khor Simanggang dan banyak lagi.

Perarakan terbabit yang bermula dari kawasan Tokong Cina Sri Aman telah diketuai oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis sambil ditemani oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Temenggung Sii Toh Peng serta ramai lagi.

Kesemua rombongan perarakan terbabit memulakan perjalanan mereka dari Jalan Main Bazaar, Jalan Sim Kim, Jalan Sabu dan seterusnya memasuki laluan Jalan Kuching – Sri Aman dan menuju ke Jalan Hospital serta Bandar Baru sebelum mengakhiri perarakan di Jalan Kapitan menjelang jam 10.30 malam.

Perarakan bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei pada tahun ini menjadi tarikan penduduk sekitar bandar Sri Aman apabila mereka berpeluang untuk melihat perarakan lebih 10 buah kereta berhias pada malam berkenaan.

Malahan perarakan bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei 2012 kali ini juga boleh dianggap unik kerana ianya bukan sahaja membabitkan penyertaan penduduk kaum Cina malahan penduduk kaum bumiputera yang lain.

Bagaimanapun perarakan bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei tiba pada tahap kemuncaknya apabila orang ramai berpeluang untuk menyaksikan pertunjukkan bungi api yang menyerikan suasana malam sambutan bermula dari pukul 9.45 hingga 10.30 malam tadi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment