Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, February 23, 2012

Anak sungai ke Munggu Demam, Simunjan berhantu?


Caption: BERHANTU ATAU TIDAK? Gambar menunjukkan lokasi kematian mendiang Ricky pada 16 Februari lepas yang dipercayai berpenunggu. Manakala gambar kecil pula ialah mendiang Ricky Kunjin.

SIMUNJAN, Khamis (23 Feb) – Kematian seorang ayah kepada tiga orang anak di sebuah laluan anak sungai di sebuah perkampungan dalam kawasan Simunjan pada petang 16 Februari lepas sememangnya mengemparkan ramai penduduk.

Ricky Kunjin, 30, dari Rumah Robert Gana, Kesindu, Simunjan dipercayai mati lemas setelah cuba memasang jaring ikan bersama seorang anak lelakinya di laluan anak sungai berdekatan Kampung Munggu Demam, Simunjan sekitar jam 4.30 petang.

Kisah mengenai kematian beliau sememangnya menjadi buah mulut penduduk kampung di situ memandangkan mendiang Ricky merupakan seorang penyelam sungai dan penangkap ikan yang amat mahir sebelum itu.

Sama ada benar atau tidak, kisah kematian mendiang Ricky telah pun menimbulkan satu lagi kisah baru yang mendakwa bahawa laluan anak sungai di simpang masuk menuju ke kampung tersebut adalah berpenunggu.

“Penduduk kampung berkenaan sering mendakwa melihat kelibat makhluk halus di laluan anak sungai terbabit dan ini menyebabkan tiada penduduk Munggu Demam yang berani memasang jaring ikan di situ.

“Justeru penduduk percayai kematian beliau adalah disebabkan oleh perkara terbabit,” kata seorang peniaga tempatan ketika kisah kematian mendiang Ricky tersiar di muka hadapan akhbar ini pada hari Sabtu lepas.

Menurut beliau sebelum mayat mendiang selamat dikebumikan pada hari Sabtu lepas, seorang penduduk kampung Munggu Demam, Simunjan telah termimpi mengenai kewujudkan hantu tersebut di anak sungai terbabit.

Didorong oleh rasa percaya bahawa kemungkinan kemunculan hantu berkenaan berkait-rapat dengan kejadian itu maka penduduk Kampung Munggu Demam kata beliau telah mengadakan upacara sembahyang di anak sungai terbabit pada hari Ahad lepas.

“Majoriti penduduk percaya mendiang mati disebabkan oleh perkara ini. Namun bagi mereka yang percaya kepada fakta logik, kematian mendiang mungkin disebabkan oleh serangan jantung atau lemas disebabkan oleh jaring tersebut,” katanya.

Kisah kematian mendiang Ricky di laluan anak sungai berkenaan juga turut hangat diperbualkan oleh rakan dan sanak saudara beliau sendiri di laman web sosial Facebook pada masa sekarang.

Tamat.







No comments:

Post a Comment