Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

JKKK perlu pertimbang bajet untuk keselamatan kebakaran - Nyalau


Caption: RASMI...Nyalau bersama Rayong dan Nor Hisham sedang menyembur air dari hos paip bomba sebagai simbolik memadam kebakaran ketika berlangsungnya majlis itu pada hari Rabu lepas.

ENGKILILI, Sabtu (11Feb) – Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) di dalam kawasan Lubok Antu digesa untuk mempertingkatkan usaha pencegahan kebakaran di rumah panjang masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata usaha terbabit adalah amat penting demi meminimumkan risiko kemalangan jiwa dan kehilangan harta benda sekiranya kejadian kebakaran terjadi di rumah panjang mereka.

“Saya menyarankan JKKK agar mempertimbangkan tindakan bagi mengeluarkan belanjawan dari geran yang telah disalurkan oleh kerajaan kepada mereka sebelum itu untuk membeli Alat Pemadam Api Mudah Alih.

“Alat Pemadam Api Mudah Alih boleh dijadikan sebagai senjata utama memandangkan ia dapat memadam api ketika ‘Golden Hour’ iaitu 10 minit pertama bermulanya kejadian kebakaran tersebut,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Mencegah Kebakaran yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Skim  Skrang, dalam kawasan daerah kecil Engkilili pada hari Rabu lepas.

Selain itu beliau juga meminta setiap JKKK untuk lebih kerap mengadakan ceramah dengan kerjasama pihak bomba demi menyemai kesedaran dikalangan penduduk tentang bahaya kejadian kebakaran dalam diri masing-masing.

“Saya percaya usaha seperti ini akan dapat mengurangkan lagi kes kejadian kebakaran yang melanda kawasan rumah panjang dalam negeri ini khasnya di Lubok Antu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membiayai aktiviti penubuhan Pasukan Sukarela Bomba JKKK (Induk) Skim Skrang, Engkilili sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Nor Hisham Mohammad, wakil Bahagian Keselamatan Kebakaran, Fathi Ahmad Ketua  Zon Bomba Sri Aman iaitu Azhar Mohamad, pengerusi pengelola program, Jilin Itar dan Pengerusi JKKK Skim Skrang, Tuai Rumah Silon Janda.

Dalam program itu Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Sarawak telah mengagihkan sejumlah 36 unit Alat Pemadam Api Mudah Alih kepada setiap wakil rumah panjang bersempena dengan Kempen Mencegah Kebakaran terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment