Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

Jangan bersunggut kalau belum dapat BR1M - Masir


Caption: TERIMALAH...Masir sedang menyerahkan baucer BR1M kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Ismawie, Mong, Harden dan Felicia pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (7 Feb) – Penduduk dalam kawasan Parlimen Sri Aman dinasihat agar tidak mudah bersunggut berhubung status permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) demikian nasihat Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Beliau sudah dimaklumkan mengenai kekecohan dikalangan pemohon BR1M berhubung status kelulusan serta pembayaran bantuan terbabit kepada mereka dan meminta agar para pemohon terbabit untuk sentiasa bersabar selepas ini.

“Mereka yang sudah diluluskan untuk mendapat BR1M namun masih belum menerima bayaran wang terbabit diminta agar tidak mudah kecoh memandangkan proses pembayaran bantuan terbabit masih lagi berterusan hingga 16 April tahun ini.

“Pembayaran BR1M pada masa sekarang adalah bagi peringkat fasa pertama. Pembayaran fasa kedua dan ketiga akan terus menyusul dalam tempoh tiga bulan ini kepada mereka yang layak,” jelas beliau.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya terus menyemak status permohonan BR1M di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengetahui sama ada mereka lulus atau tidak bagi mendapat bantuan berkenaan.

“Jika gagal, penduduk boleh mengisi borang rayuan BR1M sebelum tarikh tutupnya pada 10 Februari ini agar kerajaan boleh mempertimbangkan semula rayuan tersebut,” katanya.

Justeru Masir berharap agar penerima BR1M menghargai bantuan yang telah kerajaan Barisan Nasional (BN) sumbangkan kepada mereka dengan tidak menyalahgunakan bantuan itu selepas ini.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan dan Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh.

Terdahulu sejumlah 1460 orang penduduk dalam kawasan DUN Simanggang telah menerima BR1M yang disampaikan oleh Harden, Mong dan Masir menerusi majlis berkenaan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment