Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, February 16, 2012

RM564K wang pampasan diagih kepada penduduk Simunjan



Caption: MANFAATKAN...Naroden ketika sedang menyampaikan pampasan kepada pemilik tanah di Simunjan baru-baru ini.

SIMUNJAN, Rabu (15 Feb)   - Seramai 109 orang penduduk telah menerima cek pampasan tanah yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM564,112.95 menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Setia, Majlis Daerah Simunjan baru-baru ini.

Kesemua cek pampasan itu disampaikan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan Dan Bumiputera, Datuk Haji Naroden Haji Majais menerusi Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Bahagian Samarahan di situ.

Pampasan terbabit dibayar kepada penduduk bagi kawasan tanah milik mereka yang diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembinaan projek-projek pembangunan di kawasan Simunjan selama ini.

Naroden ketika berucap pada majlis penyerahan pampasan tersebut menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa kerajaan merampas tanah penduduk tanpa membayar sebarang pampasan.

“Kerajaan akan membayar pampasan terhadap tanah milik penduduk yang diambil alih bagi tujuan pembangunan mengikut prosedur tertentu sambil mengambil kira nilai pasaran semasa tanah tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan menambah bahawa tanah-tersebut akan diguna bagi tujuan projek pembangunan yang bakal memberi faedah terhadap kesejahteraan hidup penduduk itu sendiri.

 “Kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya mempunyai banyak perancangan dan agenda untuk melaksanakan pelbagai projek dalam kawasan Simunjan demi untuk kesejahteraan penduduk,” katanya.

Justeru itu beliau amat berterima kasih kepada penduduk di kawasan Simunjan yang sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan dan seterusnya berharap wang pampasan itu digunakan secara bijak oleh penduduk selepas ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak tertentu yang sengaja memburuk-burukkan usaha kerajaan untuk membawa pembangunan kepada mereka.

“Jika penduduk berasa tidak puas hati terhadap perkara berkenaan maka mereka bolehkan mengemukakan aduan masing-masing melalui saluran yang tertentu dan betul,” tegas Naroden.

Sementara itu Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Roslan Haji Putit   memaklumkan bahawa pampasan tersebut melibatkan pengambilan tanah untuk projek menaiktaraf Jalan Kampung Sageng dan jalan masuk menuju ke Kompleks Radar TUDM, Simunjan.

Tamat. 

No comments:

Post a Comment