Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, February 13, 2012

Badan khas perlu diwujudkan untuk Projek Jelapang Padi Bijat / Stumbin - Rohani


Caption: FOKUS...Rohani, Mong dan Masir sedang mendengar penerangan mengenai Projek Jelapang Padi daripada Irwandee ketika berlangsungnya sesi itu di Taman Panorama Benak hari ini.

SRI AMAN, Isnin (13 Feb)  – Sebuah badan perlu diwujud untuk mengendalikan segala urusan penyelenggaran Projek Jelapang Padi Bijat / Stumbin dalam kawasan Bahagian Sri Aman selepas ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata demikian ketika berucap pada sesi penerangan projek tersebut di bilik persidangan, Taman Panorama Sri Aman hari ini.

Katanya badan yang dinamakan sebagai Kawasan Pembangunan Pertandingan Bersepadu (IADA) Batang Lupar / Sri Aman itu akan dapat mengurangkan lagi bebanan Jabatan Perparitan Dan Saliran Bahagian Sri Aman dalam menyelenggarakan projek tersebut.

“Penubuhan IADA Batang Lupar / Sri Aman ini sebenarnya sudah pun diluluskan ketika saya masih memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industrian Asas Tani sebelum ini.

“Justeru saya berharap agar penubuhan IADA Batang Lupar / Sri Aman masih lagi diteruskan agar badan ini dapat mengawal dan menyelengga segala urusan projek jelapang padi berkenaan,” katanya.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata bahawa Projek Jelapang Padi Bijat / Stumbin ini nanti akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di situ sekiranya ia sudah beroperasi kelak.

Hadir sama pada sesi itu ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Jurutera Jabatan Perparitan Dan Saliran Sri Aman, Irwandee Reduan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Projek Jelapang Padi Bijat / Stumbin akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu Fasa I Pakej Pertama (bulan April) dan Fasa I Pakej Kedua (bulan September) yang akan berlangsung dalam tempoh tahun ini.

Fasa I Pakej Pertama akan melibatkan anggaran kos sebanyak RM40 juta dengan fokus utama projek ini tertumpu kepada kerja pembinaan benteng penebat banjir di Bijat, Stumbin dan Gran.

Ia juga turut melibatkan pembinaan jalan permatang sepanjang 31 kilometer, jalan bendang sepanjang 31 kilometer,  rangkaian peparitan sepanjang 55 kilometer, enam pintu kawalan air pasang surut dan 60 nos paip pembentung jenis HDPE.

Manakala itu Fasa I Pakej Kedua pula melibatkan kerja pembinaan stesen pengepam air, saluran paip besi utama sepanjang tujuh kilometer, saluran paip utama ABS sepanjang 2 kilometer dan saluran paip sokongan ABS sepanjang sembilan kilometer.

Tamat.

No comments:

Post a Comment