Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 26, 2012

BR1M ikhlas dari Kerajaan - Rayong


Caption: TERIMALAH...Rayong sedang menyerahkan baucer BR1M kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Nyalau pada majlis berkenaan baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (25 Feb) – Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BRIM adalah merupakan satu pemberian ikhlas daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Justeru beliau meminta agar rakyat khasnya dalam kawasan Parlimen Lubok Antu membalas kembali keikhlasan terbabit dengan memastikan kemenangan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

“BR1M merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan BN dalam membantu dan menaiktaraf hidup rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum di negara ini khasnya Sarawak.

“Dengan adanya bantuan seperti ini maka saya berharap rakyat tidak mudah melupakan sumbangan BN untuk mereka dengan memastikan kerajaan yang sedia ada terus kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian BR1M di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga mahu semua rakyat menghargai pemberian BR1M terbabit dengan memastikan bantuan itu diguna bagi tujuan pembangunan hidup keluarga masing-masing.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan baucer BR1M kepada 1,800 orang pemohon yang lulus dalam kawasan DUN Engkilili dengan bakinya 513 orang lagi menerima bantuan itu di Skrang kelmarin.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis penyerahan baucer terbabit adalah Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP James Johnathan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment