Mugshot: MASIR KUJAT
SRI AMAN, Rabu (15 Feb) – Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) akan tetap
menunaikan janji pembangunan terhadap rakyat yang menyokong mereka dari masa ke
semasa demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
Menurut beliau walaupun perlaksanaan pembangunan itu lambat namun kerajaan
BN tetap melaksanakan komitmen mereka demi kemajuan hidup rakyat dalam sesebuah
kawasan itu.
“Ini kerana perlaksanaan sesuatu projek pembangunan itu memerlukan
perancangan yang rapi dan dikenalpasti boleh memberi manfaat kepada semua
rakyat. Bukannya projek melepaskan batuk di tangga,” menurut beliau.
Masir berkata demikian ketika berucap ringkas pada Sesi Penerangan Projek
Jelapang Padi Bijat / Stumbin yang berlangsung di bilik persidangan, Taman
Panorama Sri Aman baru-baru ini.
Selain itu rakyat kata beliau juga harus bersyukur terhadap faedah projek
pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan BN selama ini walaupun proses
perlaksanaan amat memakan masa.
Namun ia dianggap lebih baik berbanding pihak pembangkang yang hanya pandai
memburukkan usaha pembangunan oleh kerajaan tanpa mampu bertindak apa-apa untuk
membangunkan hidup rakyat.
Hadir sama pada sesi itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim, Menteri Muda
Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Jurutera Jabatan Perparitan Dan
Saliran Sri Aman, Irwandee Reduan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di
sini.
Terdahulu Projek Jelapang Padi Bijat / Stumbin akan dilaksanakan dalam dua
peringkat iaitu Fasa I Pakej Pertama (bulan April) dan Fasa I Pakej Kedua
(bulan September) yang akan berlangsung dalam tempoh tahun ini.
Fasa I Pakej Pertama akan melibatkan anggaran kos sebanyak RM40 juta dengan
fokus utama projek ini tertumpu kepada kerja pembinaan benteng penebat banjir
di Bijat, Stumbin dan Gran.
Ia juga turut melibatkan pembinaan jalan permatang sepanjang 31 kilometer,
jalan bendang sepanjang 31 kilometer,
rangkaian peparitan sepanjang 55 kilometer, enam pintu kawalan air
pasang surut dan 60 nos paip pembentung jenis HDPE.
Manakala itu Fasa I Pakej Kedua pula melibatkan kerja pembinaan stesen
pengepam air, saluran paip besi utama sepanjang tujuh kilometer, saluran paip
utama ABS sepanjang 2 kilometer dan saluran paip sokongan ABS sepanjang
sembilan kilometer.
Tamat.
No comments:
Post a Comment