Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

32 orang ketua masyarakat masih sokong Rohani jadi calon mereka untuk PRU13



Caption: SOKONG ROHANI...Ketua masyarakat di kawasan Parlimen Batang Lupar mahukan Rohani jadi calon mereka.

LINGGA, Khamis (9 Feb) –  Sejumlah 32 orang ketua masyarakat yang mewakili penduduk di  kawasan Seduku – Bijat – Stumbin – Pruan, Sri Aman mahu agar Datuk Hajah Rohani Abdul Karim dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar pada pilihan raya akan datang.

Sokongan ini dinyatakan oleh para ketua masyarakat tersebut ketika kesemua mereka terpanggil untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung perkara tersebut di Kampung Pangkat Stumbin, Lingga hari ini.

Mereka juga turut menyatakan kekecewaan masing-masing berhubung berita yang mendakwa bahawa Rohani bakal digugurkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang selain turut menyatakan bahawa beliau bukan anak tempatan Batang Lupar oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Ketua Kampung Hilir Stumbin, Omar Razak berkata Rohani adalah merupakan anak jati Sri Aman dan bukannya calon ‘orang luar’ seperti yang dinyatakan dalam akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.

“Kami semua tahu bahawa beliau (Rohani) dilahirkan di Kampung Hilir, Sri Aman dengan bapanya adalah orang Kampung Hulu manakala ibunya orang Kampung Hilir. Justeru tiada sebab beliau harus dikatakan sebagai calon ‘orang luar’,” katanya.

Tuai Rumah Kampung Tawang Hulu Tanjung Bijat, Mancha Uchang pula memberitahu Rohani masih mendapat sokongan 100 peratus daripada penduduk dalam kawasan Bijat, Sri Aman.

“Khidmat beliau masih amat diperlukan. Atas sebab ini kami mahu agar Rohani terus dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang bagi mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar,”katanya.

Tuai Rumah Kampung Pruan, Masir Gaong pula memberitahu Rohani adalah merupakan seorang wakil rakyat yang cekap menguruskan hal ehwal hidup rakyat disamping tidak pilih kasih dalam merancang pembangunan hidup mereka.

Komitmen tinggi beliau dalam memperjuangkan agenda pembangunan kawasan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliau juga contoh seorang pemimpin dan wakil rakyat yang begitu rapat dengan rakyat di kawasannya.

Sementara itu Tuai Rumah Kampung Tanjung Aboi, Seduku iaitu Jimmy Gindang berkata jawatan menteri yang disandang oleh Rohani pada masa sekarang akan memberi kelebihan kepada rakyat dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.

Dengan jawatan menteri yang disandang oleh Rohani pada masa sekarang, rakyat katanya yakin bahawa beliau akan mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat mereka sekiranya dicalonkan kembali pada pilihan raya umum itu nanti.

“Beliau merupakan seorang wakil rakyat berpengalaman. Kami masih mahukan beliau sebagai wakil rakyat di sini demi memastikan kesinambungan arus pembangunan di sini dari masa ke semasa. Selain itu

“Justeru kami menolak sekeras-kerasnya komen negatif mengenai diri beliau (Rohani),” katanya sambil menambah bahawa rakyat di kawasan Parlimen Batang Lupar tidak harus percaya terhadap khabar angin negatif mengenai Rohani menjelang pilihan raya kelak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment