Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

RM145K pampasan dibayar kepada penduduk di Bunu, Skrang


Caption:  GEMBIRA...Nyalau (tengah) bersama Rayong (kiri) ketika bersama tetamu khas dan penerima cek pampasan menunjukkan simbol 1 Malaysia pada majlis itu hari ini.

ENGKILILI, Rabu (8 Feb) – Seramai 51 orang penduduk menerima cek pampasan tanah daripada kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM145,598.60 di Rumah Empading, Nanga Bunu, Skrang dalam kawasan daerah kecil Engkilili hari ini.

Pembayaran cek pampasan ini adalah bagi  Projek menaiktaraf Jalan Nanga Bunu, ganti rugi tanaman dan buahan milik penduduk dan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Sistem Solar Hibrid di Rumah Dau, Entalau, Sri Aman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa ketika berucap pada majlis itu melahirkan rasa kesal berhubung sikap sesetengah penduduk yang enggan tanah mereka digunakan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan.

“Sikap seperti ini harus disingkir memandangkan kerajaan akan membayar pampasan terhadap tanah milik penduduk yang diambil alih bagi tujuan pembangunan mengikut harga semasa tanah itu,” katanya.

Selain itu Rayong juga menasihatkan penduduk agar tidak mengemukakan masalah isu tanah milik mereka kepada pihak pembangkang untuk diselesaikan oleh pihak berkenaan selepas ini.

Ini kerana pihak pembangkang jelas beliau hanya tahu memperbesar-besarkan isu berkenaan bagi tujuan politik namun tidak tahu cara bagi menyelesaikan isu tanah terbabit untuk penduduk.

“Penduduk seharusnya tampil menemui pihak kerajaan sekiranya wujud isu masalah tanah dikalangan mereka daripada membawa isu tersebut kepada pihak pembangkang bagi tujuan penyelesaian.

“Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menyelesaikan masalah mereka. Justeru saya menasihatkan para penduduk agar berhenti mengutarakan masalah mereka kepada pihak pembangkang selepas ini,” katanya.

Terdahulu Rayong menerusi majis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM7,000 kepada JKKK Rumah Empading dengan RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja, wakil Penguasa Tanah Jabatan Tanah Dan Survei Sri Aman, Sulaiman Budin dan wakil Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman, Nor Ismail Razali.

Tamat.

No comments:

Post a Comment