Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 28, 2012

Penduduk yang ada tanah paya digalakkan sertai skim tanam padi



Caption: PANTAU...Nyalau sedang memantau enjin pemproses padi yang baru bersama ketua kaum bersempena dengan majlis itu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Isnin (27 Feb) – Rakyat kawasan luar bandar yang memiliki kawasan tanah paya digalak untuk memohon skim penanaman padi daripada kerajaan selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Menurut beliau penglibatan rakyat luas bandar khasnya mereka yang memiliki tanah paya dalam skim penanaman padi ini dilihat amat penting memandangkan ia mampu mengeluarkan hasil sebanyak tiga kali setahun.

“Mereka boleh memohon skim penanaman padi ini daripada pihak Pejabat Pertanian dengan pihak Jabatan Tanah Dan Survei boleh turun padang untuk menyukat keluasan tanah paya masing-masing demi memudahkan proses terbabit selepas itu.

“Langkah ini dilihat amat wajar daripada membiarkan tanah paya itu kosong dan tidak diusahakan. Dengan cara ini taraf ekonomi hidup rakyat luar bandar akan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 1 Malaysia yang berlangsung di Rumah Unchit, Geligau Ulu, Lubok Antu baru-baru ini.

Selain itu beliau juga berharap agar rakyat di kawasan luar bandar untuk terus menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak kerajaan demi memudahkan perlaksanaan projek pembangunan di kawasan mereka pada masa akan datang.

Justeru beliau berharap agar rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu menunjukkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan dengan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar lebih dari RM150,000 kepada 14 buah rumah panjang di kawasan hilir Engkilili.

Tamat.



No comments:

Post a Comment