Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 21, 2012

BN tak anak tirikan Sarawak dari segi pembangunan - Ujang


Caption: PENGHARGAAN...Zahar (tengah) ketika memakai Baju Burung dan topi milik etnik kaum Iban sambil disaksikan oleh Dorris, Mong, Masir, Nyalau, Snowdan dan Tr Michael John pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (21 Feb) – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menafikan dakwaan bahawa negeri Sarawak di‘anak-tirikan’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dari segi pembangunan.

Katanya ia terbukti apabila Sarawak sedang menikmati kadar pembangunan yang pesat di kawasan dalam dan luar bandar hasil peruntukan kewangan besar daripada Kerajaan BN selama ini.

“Ia ditambahi pula dengan kepimpinan Kerajaan BN di bawah teraju oleh Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mengotakan segala janjinya kepada rakyat dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Rasmi yang berlangsung di Rumah Michael John, Entebar, Sri Aman hari ini.

Selain itu hasil kepimpinan Perdana Menteri yang cekap dan berwibawa selama ini kata Zahar telah mendorong kesemua wakil rakyat BN untuk turun padang meninjau masalah rakyat dalam kawasan masing-masing.

Dengan kata lain hasil kepimpinan Najib kata beliau secara tidak langsung telah menjayakan lagi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia yang bertujuan untuk membolehkan semua rakyat menikmati hasil pembangunan secara sama rata dalam negara ini.

“Justeru saya meminta semua rakyat khasnya dalam negeri ini untuk bersama-sama menjayakan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia dengan menyokong penuh kerajaan pimpinan beliau (Najib) selepas ini,” katanya.

Zahar turut menambah bahawa perlantikan Senator Dorris Sophia Brodie sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Malaysia telah menunjukkan pencapaian ketara wanita dalam memegang jawatan tinggi kerajaan pada masa sekarang.

Hadir sama ialah Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Dorris Sophia Brodia, Menteri Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan dan Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh.

Terdahulu beliau menerusi majlis lawatan rasmi berkenaan turut mengumumkan peruntukan bernilai RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Michael John, Entebar.

Tamat.


No comments:

Post a Comment