Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Lima beranak terbunuh dalam kemalangan di San Raba




Caption:

1. MALANG...Anggota Bomba dan Penyelamat sedang bertungkus-lumus mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan Perodua Kancil yang bertembung dengan sebuah lori pembancuh simen di kawasan San Raba hari ini.

2. JADI TUMPUAN...Orang ramai sedang menyaksikan usaha mengeluarkan mayat mangsa sebaik sahaja berlaku kemalangan maut berkenaan di San Raba hari ini. Sebahagian dari mayat mangsa diletakkan di tepi jalan tersebut.

SRI AMAN, Khamis (19 Julai) – Tiga orang wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan terbunuh dalam satu kemalangan maut yang berlaku di di Kilometer 24 Jalan Sri Aman / Sarikei hari ini.

Kemalangan maut yang berlaku sekitar jam 9.05 pagi di kawasan San Raba itu juga turut menyebabkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah dalam keadaan kritikal.

Mereka yang terbunuh adalah Racholl Nyaring, 22, Santi Abdullah, 19, Jamayah Ali, Jamilah Ali dan Nur Raynie Abdullah, (satu tahun sebulan) manakala mangsa yang cedera pula ialah Janggah Haniyah, 47, serta Rudi Ob Minggat Abdullah, dua tahun.

Menurut sumber kesemua mangsa yang terdiri daripada satu keluarga ini dalam perjalanan dari Engkilili menuju ke Sri Aman dengan menggunakan sebuah kenderaan Perodua Kancil sebelum berlakunya kemalangan tersebut.

“Kenderaan yang dinaiki oleh kesemua mangsa ini dipercayai telah memasuki lorong bertentangan di kawasan San Raba dan seterusnya bertembung dengan sebuah lori pembancuh simen dari arah Sri Aman.

“Lima daripada mereka terbunuh serta-merta di tempat kejadian,” kata sumber sambil menambah bahawa pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Mangsa yang mengalami cedera parah dalam kemalangan ini masih dirawat di unit kecemasan Hospital Bahagian Sri Aman sehingga berita ini ditulis pada jam 3.50 petang kesemua mayat mangsa di hantar ke bilik mayat hospital tersebut.

Tamat.

Rayong kesal bekas pemimpin Iban pecah-belahkan perpaduan rakyat


Caption: SIMBOLIK...ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong (tengah) bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau (kiri) ketika bersama tetamu khas memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Merarau SK Nanga Entalau kelmarin.

ENGKILILI, Khamis (19 Julai) – Tindakan bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) kaum Iban yang dilihat bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk memecah-belahkan berpaduan penduduk di kawasan luar bandar Parlimen Lubok Antu amatlah dikesali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa meluahkan perkara ini ketika berucap pada Majlis Merarau di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau, Ulu Skrang, Engkilili kelmarin.

Beliau mendakwa bahawa bekas pemimpin Iban terbabit iaitu Jawah Gerang telah bersekongkol dengan pihak Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk mencaci barisan pemimpin BN ketika berkempen di Lubok Antu sebelum ini.

“Tindakan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu bersama SWP itu telah menyebabkan berlakunya perpecahan dikalangan penduduk Dayak di kawasan luar bandar Parlimen Lubok Antu pada masa sekarang.

“Tindakan tersebut tidak wajar memandangkan sebagai bekas pemimpin Iban, Jawah sepatutnya membantu kerajaan membangunkan taraf hidup penduduk Dayak di situ dan bukannya meruntuhkan ikatan perpaduan di antara mereka,” katanya.

 Selain itu Rayong juga mengingatkan Jawah bahawa SWP telah mempergunakan dirinya untuk kepentingan politik parti pembangkang itu sendiri dan bukannya demi pembangunan hidup penduduk Lubok Antu.

Justeru beliau meminta Jawah agar berhenti bertindak demikian dan seterusnya bersama-sama kerajaan BN untuk membangunkan hidup penduduk di kawasan Parlimen Lubok Antu selepas ini.

Terdahulu majlis merarau ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Guru Besar SK Nanga Entalau iaitu Ismail Sili dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru sekolah terbabit, Tr Belli Rabong.

Nyalau menerusi majlis berkenaan turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Entalau bagi tujuan kegunaan mereka.

Tamat.


Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat - Masir



Caption: SEDIA...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang bersedia untuk memulakan upacara perlepasan bagi konvoi berbasikal sempena Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Sri Aman sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (18 Julai) – Bendera Jalur Gemilang perlu dikibarkan dengan penuh semangat nasionalisme dan bukannya dikibar bagi tujuan keseronokan semata-mata demikian menurut nasihat Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Katanya terdapat sebilangan penduduk yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang ketika menjelang sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia tanpa mengetahui nilai sejarah di sebalik peristiwa tersebut.

“Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia telah dilalui oleh tokoh politik veteran kita dengan penuh liku-liku kehidupan dan kenangan pahit demi membolehkan wujudnya kelompok masyarakat majmuk yang hidup aman pada masa sekarang.

“Pembangunan pesat negara pada masa sekarang adalah hasil perjuangan mereka. Justeru saya meminta semua lapisan masyarakat untuk menghayati pengorbanan mereka untuk menyambut hari bersejarah tersebut dengan penuh bersemangat selepas ini,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Sri Aman sempena Ulangtahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 di Tebingan Sungai Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta golongan belia untuk memperbaharui azam dan tekad diri masing-masing bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi.

“Semangat patriotisme dalam diri para belia itu penting memandangkan mereka adalah golongan pelapis yang bakal mewarnai masa hadapan pembangunan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.

“Saya berharap agar para belia menyedari peranan mereka mengenai perkara terbabit dan seterusnya bertindak serius untuk sama-sama memajukan negara selepas ini,” menurut beliau.

Terdahulu sejumlah 800 orang peserta yang terdiri daripada persatuan dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan dalam majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris.

Tamat.



Masjid Darul Syakirin dibersihkan


Caption: UNTUK ALBUM...Sebahagian daripada peserta sedang bergambar kenangan sebelum bermulanya aktiviti membersihkan Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah Sri Aman kelmarin

SRI AMAN, Rabu (18 Julai) – Penduduk Kampung Muhibbah, Sri Aman turut tidak ketinggalan untuk menyerikan lagi ketibaan sambutan Bulan Ramadhan pada bulan ini dengan mengadakan aktiviti membersihkan Masjid Darul Syakirin di sini kelmarin.

Jurucakapnya Ramli Abu Sera berkata aktiviti gotong-royong membersihkan Masjid Darul Syakirin terbabit telah melibatkan sejumlah 70 orang peserta dari pelbagai agensi kampung berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam aktiviti ini terdiri daripada para ahli Rakan Muda, JKKK, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari lima buah zon dalam Kampung Muhibbah Sri Aman.

“Aktiviti gotong-royong membersih dan memperindahkan Masjid Darul Syakirin ini telah dimulakan pada jam 7.30 pagi sehingga ia berakhir kira-kira tiga jam kemudian,” menurut beliau.

Selain itu aktiviti terbabit bukan kali pertama dianjur oleh pihak pengurusan Masjid Darul Syakirin Kampung Muhibbah Sri Aman memandangkan ia merupakan aktiviti bulanan pihak masjid berkenaan sebelum ini.

Perbezaannya menurut Ramli adalah aktiviti gotong-royong kali ini dilihat amat bermakna memandangkan Bulan Ramadhan bakal disambut oleh semua umat Islam termasuk di Kampung Muhibbah tidak lama lagi.

“Justeru pihak kita akan mengadakan aktiviti seperti ini demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dikalangan ahli Rakan Muda, JKKK, KRT dan SRS dari lima buah zon dalam Kampung Muhibbah Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Pengerusi Masjid Darul Syakirn Kampung Muhibbah, Haji Ahmad bin Yak dan Imam I Masjid Darul Syakirin, Haji Wan Masra Tunku Udin turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong tersebut.

Tamat.



Lubok Antu nikmati pembangunan berterusan - Nyalau



Caption: SERIUS...Guru Besar SK Batang Ai, Joseph Suat sedang membincangkan sesuatu dengan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sambil diikuti oleh ADUN Batang Ai, Malcom Mussen sebaik sahaja tiba untuk merasmikan Majlis Ngiling Bidai di SK Batang Ai, Lubok Antu baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Rabu (18 Julai) – Pembangunan berterusan di kawasan Parlimen Lubok Antu akan tetap disaksikan oleh rakyat sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadi pilihan utama mereka dari masa ke semasa.

Ia terbukti apabila kawasan Parlimen Lubok Antu terus membangun dari segi perlaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), bekalan air bersih dan jalan raya hasil sokongan rakyat di situ sebelum ini.

“Perubahan ini tampak nyata semenjak lima tahun lepas,” kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Ai, Lubok Antu baru-baru ini.

Hasil sokongan padu terhadap BN, kerajaan kini menurut beliau berada dalam ‘mood’ selesa untuk merangka dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan seperti yang disaksikan oleh rakyat di situ pada masa sekarang.

Projek pembangunan bernilai jutaan ringgit tersebut kata Nyalau adalah merupakan tanda terima kasih kerajaan BN terhadap sokongan rakyat yang sentiasa memastikan kerusi Parlimen Lubok Antu milik mereka selama ini.

“Kini pihak pembangkang telah datang ke kawasan Lubok Antu untuk berkempen dan menghasut rakyat bagi merampas kerusi parlimen kawasan ini daripada pihak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kelak.

“Justeru saya berharap agar rakyat Lubok Antu tidak mensia-sia perlaksanaan projek pembangunan di kawasan mereka dengan menyokong pihak pembangkang selepas ini,” katanya.

Hadir sama dalam Majlis Ngiling Bidai terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Guru Besar SK Batang Ai, Joseph Suat dan ketua kaum di sini.

Tamat.

AY 17 Raja Bola Sri Aman




1. KAMI JUARA...Pasukan AY17 bergambar kenangan bersama tetamu jemputan khas setelah dinobatkan sebagai Raja Bola Sri Aman sebaik sahaja tamat Piala Liga Bolasepak Sri Aman – Naim di sini pada hari Ahad lepas.

2. TAHNIAH...Kapten Pasukan AY17, Abang Yahya Abang Sulaiman menerima Piala Piala Liga Bolasepak Sri Aman – Naim 2012 daripada Timbalan Presiden SAFA, Abdillah Majit sebaik sahaja berakhir kejohanan terbabit pada petang Ahad lepas.

- 17 Julai

Buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan AY 17 telah berjaya meraih gelaran ‘Raja Bola’ Sri Aman apabila muncul sebagai juara Piala Liga Bolasepak Sri Aman – Naim 2012 yang berakhir di sini lewat petang Ahad lepas.

Pasukan pimpinan Afendi Narawi itu mengesahkan juara milik mereka setelah membelasah pasukan Penjara Sri Aman dengan jaringan gol 3 – 1 menerusi perlawanan terakhir yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Sri Aman pada jam 4.53 petang.

Ini kerana pasukan AY 17 hanya perlu mencatatkan keputusan seri atau menang dalam dalam perlawanan terakhir tersebut atau menyerahkan mahkota liga berkenaan kepada pasukan Shazmie Team sekiranya mereka tumpas di tangan pasukan Penjara Sri Aman.

Gol pertama perlawanan telah diperoleh pasukan Penjara menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Frankus Janeo pada minit ke-30 setelah pemain AY 17 iaitu Awang Zaidi Awang Razak menjatuhkan pemain Penjara iaitu Fauzi Bolhan di petak penalti.

Pasukan AY17 kemudiannya mengandakan asakan sehinggalah pemain Penjara iaitu Juen Nyun dilayangkan kad merah oleh pengadil, Awang Azian Awang Sulong kerana mengasari pemain AY 17 iaitu Hasba Hussein pada mint ke - 46 perlawanan.

Peluang penyamaan gol akhirnya menjelma pada minit ke-57 perlawanan buat AY17 apabila pasukan berkenaan dianugerahkan sepakan penalti setelah tendangan bola terkena tangan salah seorang pemain Penjara.

Pemain AY17, Mohd Zulfadli Tahir cuba menyempurnakan sepakan penalti namun terkena palang gol lawan sebelum Abdul Rahim Ahmad Daud bertindak pantas menyepak masuk bola berkenaan.

Badi terus menimpa pasukan Penjara Sri Aman apabila pemain AY17 iaitu Abdul Rahim menyepak masuk bola dari jarak dekat setelah menerima hantaran leret bola daripada Timoty James Amin pada minit ke-85 perlawanan.

Awang Rahim terus mencipta hatrik pada perlawanan berkenaan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88 sehingga pengadil iaiti Awang Azian membunyikan wisel tamat perlawanan pada jam 6.37 petang.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Sri Aman (SAFA), Abdillah Majit telah menyempurnakan sepak mula perlawanan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan pemenang liga tersebut.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan AY17 meraih piala kejuaraan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 setelah mengumpul 16 mata semenjak bermulanya kejohanan liga tersebut pada bulan Mei lepas.

Manakala itu pasukan juara tahun lepas iaitu Shazmie Team menduduki tempat kedua menerusi 15 mata dan memperoleh hadiah wang tunai bernilai 3,000 beserta dengan piala serta pingat.

Pasukan L.A FA (12 mata) yang menduduki tempat ketiga dalam kejohanan ini telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, piala serta pingat manakala pasukan Datila SL muncul pemenang tempat ke-4 dan membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 serta piala.

Tiga buah lagi pasukan yang turut berentap dalam kejohanan liga bolasepak ini ialah Sokanjaya Sri Aman (tempat kelima, empat mata), Penjara Sri Aman (tempat keenam, tiga mata) dan JPAM (tempat ketujuh, tiga mata).

Hadir sama bagi menyaksikan perlawanan ini ialah Setiausaha SAFA, Zaidil Haji Ripin, Timbalan Setiausaha, Mas Shamshuddin dan ahli jawatanakuasa SAFA, Abang Noren Abang Naruddin.

Tamat.

Projek agropolitan berkembang di Lingga - Rohani


Caption: PENGHARGAAN...Ketua Kampung Pulau Seduku Baru, Lingga, Mohd Salleh Jon menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim ketika berlangsungnya Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga kelmarin.

LINGGA, Selasa (17 Julai) - Projek Agropolitan Batang Lupar yang sedang dibangunkan sebagai salah satu projek pembangunan mega di Sarawak kian menampakkan perkembangannya dari masa ke semasa.

Perkembangan ini dapat disaksikan apabila sejumlah 1,600 hektar tanah yang diperuntuk untuk perlaksanaan Projek Ladang Sejahtera telah ditanam dengan kelapa sawit pada masa sekarang.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga kelmarin.

“Untuk pengetahuan penduduk, Projek Ladang Sejahtera yang terletak berdekatan dengan kawasan Kampung Baru Pulau Seduku adalah merupakan salah satu daripada komponen utama Projek Agropolitan Batang Lupar.

“Felcra Berhad yang merupakan agensi utama bagi mengendalikan Projek Agropolitan itu menjangkakan bahawa Projek Ladang Sejahtera bakal mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun lagi,” katanya.

Serentak dengan itu juga, penduduk Kampung Baru Pulau Seduku selaku peserta projek tersebut kata Rohani telah pun bersetuju bahawa tanah seluas 175 hektar milik mereka dibangunkan oleh Felcra untuk tanaman sawit.

Beliau juga yakin bahawa program agropolitan Batang Lupar akan mampu meningkatkan taraf hidup penduduk terutama dari ekonomi melalui pengelibatan mereka dalam Ladang Sejahtera berkenaan.

“Justeru projek terbabit bakal mengubah kehidupan penduduk Kampung Baru Pulau Seduku yang dilihat amat jauh berbeza berbanding dengan kehidupan mereka ketika tinggal di Pulau Seduku sebelum itu,” katanya.

Terdahulu Program Sentuhan Rakyat yang berlangsung di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga ini adalah merupakan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman dengan kerjasama Felcra Berhad serta lain-lain jabatan kerajaan di sini.

Program yang bertujuan  mendekatkan jabatan dan agensi kerajaan dengan rakyat melalui aktiviti turun padang ini turut Datuk Rohani menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung hasil tajaan RTM Sri Aman dan Felcra Berhad.

Turut diadakan bersempena dengan Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga ini ialah Pertandingan Mewarna, Mukun Ria dan “Progaram Singgah Dolok Kelakar”.

Tamat.

Jangan biar Iban diperkotak-katikkan - Nyalau




Caption: SELAMAT DATANG... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak sedang bersalaman dengan ibubapa murid sebelum berlangsungnya Majlis Merarau di SK Nanga Menyebat, Engkilili hari ini.

ENGKILILI, Selasa (17 Julai) – Jangan biarkan kaum Iban diperkotak-katikkan dengan mudah oleh pihak lain dari segi soal politik selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya sudah wujudnya tanggapan dikalangan pihak tertentu terutama sekali daripada pihak anti – Barisan Nasional (BN) yang menganggap bahawa masyarakat kaum Iban mudah dipergunakan bagi tujuan kepentingan politik masing-masing.

“Adalah lebih baik buat semua masyarakat Iban untuk terus bersatu-padu di bawah bumbung Barisan Nasional (BN) memandangkan ia parti yang memperjuangkan kebajikan hidup semua kaum selama ini.

“Jangan mudah mengikut telunjuk jari pihak pembangkang. Jika masyarakat Iban berpecah-belah disebabkan oleh faktor ini maka ia sekaligus menguatkan lagi andaian tersebut terhadap kaum kita,” menurut beliau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau atau Makan Tengahari yang berlangsung di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, Ulu Lemanak, Engkilili hari ini.

Selain itu beliau juga mahu masyarakat kaum Iban di Parlimen Lubok Antu terus memilih BN sebagai parti penaung hidup mereka demi hala tuju pembangunan yang lebih cerah di kawasan ini pada masa akan datang.

“Jangan memilih pihak pembangkang yang hanya gemar mencaci dan mempersoalkan projek pembangunan kerajaan BN secara negatif kerana ia tidak akan memberi keuntungan apa-apa terhadap masyarakat.

“Justeru saya berharap agar masyarakat di kawasan Parlimen Lubok Antu bertindak bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) akan datang iaitu dengan memilih BN demi kebaikan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para Tuai Rumah agar tidak menerima kehadiran pihak pembangkang ke rumah panjang kerana kedatangan mereka hanya untuk memecah-belahkan mereka bersempena dengan pilihan raya akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Guru Besar SK Nanga Menyebat,  Patrick dan wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Insepktor Robert dan ketua kaum di sini.

Tamat.


PPWS Kampung Hulu jayakan gotong-royong bersih surau



Caption: UNTUK ALBUM... Pengerusi Surau Hayatul Islam Kampung Hulu Sri Aman, Haji Ibrahim Arifin (duduk tiga kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama ajk Surau Hayatul Islam dan ahli PPWS Kampung Hulu sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong membersihkan surau tersebut baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (17 Julai) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hulu telah turun padang untuk membantu kerja gotong-royong membersihkan Surau Hayatul Islam di sini baru-baru ini.

Pengerusi PPWS Kampung Hulu, Suzana Kassim ketika ditemui berkata penglibatan pihaknya dalam aktiviti tersebut sekaligus telah membuktikan kesungguhan mereka dalam melaksanakan aktiviti sosial untuk masyarakat di sini.

“Sejumlah 25 orang ahli PPWS Kampung Hulu telah turun padang untuk membantu pihak jawatankuasa pengurusan Surau Hayatul Islam menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan surau tersebut.

“Pihak PPWS Kampung Hulu akan terus berbakti untuk masyarakat kampung dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial sepanjang sambutan Bulan Ramadhan ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Pengerusi Surau Hayatul Islam Kampung Hulu Sri Aman, Haji Ibrahim Arifin berkata gotong-royong tersebut merupakan aktiviti tahunan yang sering diadakan oleh pihak pengurusan beliau.

11 orang ahli jawatankuasa katanya telah mengambil bahagian bersama pihak PPWS Kampung Hulu untuk membersihkan lantai dalam dan luar surau, mengelap tingkap serta membuang sampah di sekitar sekeliling.

“Aktiviti seperti ini akan kita teruskan demi menjaga kebersihan Surau Hayatul Islam disamping mengeratkan hubungan kekeluargaan dikalangan masyarakat Kampung Hulu dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Hayatul Islam yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari itu turut disertai oleh Ketua Kampung Hulu Sri Aman iaitu Haji Abdul Latip Abdul Rahim.

Ia juga turut diserikan lagi dengan majlis doa tahlil dan jamuan makan bersama masyarakat yang menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak.

Tamat.

SWP bohongi rakyat Lubok Antu - Nyalau




Caption: TERIMA KASIH...Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda menyampaikan cenderamata kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong pada sambutan Majlis Hari Keluarga Skim Skrang yang berlangsung di Balai Raya Skim Skrang, dalam daerah kecil Engkilili, baru-baru ini.

ENGKILILI, Isnin (16 Julai) – Parti Buruh Sarawak (SWP) nyata membohongi rakyat di kawasan Lubok Antu apabila mereka mendakwa parti tersebut adalah mesra Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Lubok Antu, Wiliam Nyalau Badak berkata SWP pimpinan Larry Sng bukan mesra BN memandangkan hanya terdapat empat komponen parti BN di dalam negeri ini.

“Empat komponen BN di Sarawak ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progersif Demokratik Sarawak (SPDP).

“Dengan kata lain SWP bukanlah parti mesra BN. Kesemua kenyataan yang diluahkan oleh barisan pemimpin parti berkenaan nyata adalah tidak benar sama sekali,” kata Nyalau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Majlis Hari Keluarga Skim Skrang yang berlangsung di Balai Raya Skim Skrang, dalam daerah kecil Engkilili, baru-baru ini.

Selain itu kesemua empat komponen parti BN terbabit hanya akan memakai satu lambang dacing pada pilihan raya umum ini nanti seperti yang telah ditetapkan oleh pemimpin tertinggi BN peringkat pusat mahupun negeri selama ini.

“Tidak ada dua parti yang memakai satu lambang dacing untuk berlawan sesama sendiri bagi merebut sesebuah kawasan parlimen pada pilihan raya umum ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda dan ketua kaum yang lain turut hadir sama pada majlis tersebut.

Tamat.



Banyak orang dengar kempen tak semestinya parti itu kuat - Uggah



Caption: TAHNIAH... Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah menyampaikan sijil penyertaan pertandingan futsal kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Rayong, MP Lubok Antu, William Nyalau, MP Sri Aman, Masir Kujat dan Menteri Muda Kebajikan, Lawson Chuat ketika berlangsungnya Majlis Makan Malam PBB cawangan Engkilili di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (15 Julai) – Kehadiran ramai penduduk untuk mendengar kempen parti pembangkang tidak boleh dijadikan sebagai ukuran kekuatan mereka bagi memenangi sebuah kawasan parlimen pada pilihan raya umum ini nanti.

Ini kerana kekuatan dan penerimaan sesebuah parti politik di kalangan penduduk hanya akan dapat dibuktikan menerusi keputusan undi pilihan raya tersebut kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas.

“Berdasarkan kepada pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang lepas, pihak pembangkang seolah-olah yakin akan mampu menakluki Bumi Kenyalang melalui kempen dan propaganda yang mereka war-warkan sebelum itu.

Namun setelah undi dikira (pada pilihan raya negeri tersebut), ternyata pihak Barisan Nasional (BN) masih berjaya mengekal majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas perkembangan parti pembangkang di Sarawak pada Majlis Makan Malam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Engkilili di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu Uggah yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata kemenangan BN pada pilihan raya negeri lepas juga membuktikan bahawa penduduk sudah matang berfikir dalam menentukan pemimpin yang terbaik untuk mereka.

Justeru beliau berharap setiap komponen parti BN memperkuatkan jentera pilihan raya masing-masing dengan setiap ahli parti menumpukan sepenuh tenaga dan komitmen bagi menghadapai cabaran pihak pembangkang mulai sekarang.

Usaha yang kuat juga disulami dengan keikhlasan membantu penduduk supaya BN terus kekal mendapat kepercayaan daripada para pengundi demi kesinambungan pentadbiran negara selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Timbalan Ketua Cawangan PBB Engkilili, Richard Tawan Sedu dan para pegawai kerajaan di sini.

Tamat.





Jangan biar orang luar kacau perpaduan kita - Naroden



Caption: APA KHABAR? Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Keusahawan Bumiputera dan Perancangan Sumber) Datuk Haji Mohd Naroden Majais sedang bersalaman dengan para peserta sebaik selesai merasmikan Seminar Keusahawanan di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (15 Julai) – Semua penduduk dinasihat agar sentiasa bersatu agar ‘orang luar’ tidak berupaya menggugat kestabilan politik yang sedang dinikmati negeri Sarawak pada masa sekarang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Keusahawan Bumiputera dan Perancangan Sumber) Datuk Haji Mohd Naroden Majais berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keusahawanan di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Katanya ‘orang luar’ iaitu pihak parti pembangkang telah memasuki negeri ini dan seterusnya cuba melemahkan kekuatan komponen parti Barisan Nasional (BN) dikalangan penduduk.

“Mereka ini hanya mahu kuasa. Tindakan mereka cuba memecah-belahkan kita hanya disebabkan oleh keinginan mereka yang tidak mahu melihat kita menikmati kemajuan dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap penduduk menghargai nikmat kemajuan yang mereka kecapi sekarang dengan terus berdiri teguh di bawah payung kerajaan BN selepas kini,” menurut beliau.

Terdahulu seramai 125 orang peserta yang mengambil bahagian dalam seminar keusahawanan yang dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.28 Engkilili.

Seminar yang melibatkan peserta dari tujuh buah cawangan PBB dan 10 ranting PBB Engkilili itu telah dikendalikan oleh Ketua Pusat MARA Sarawak, Visnu Haji Majnis dan Pengurus Besar Tekun Nasional Sarawak, Roslan Ais.

Hadir sama ialah Setiausaha Eksekutif PBB, Haji Awang Bujang Awang Antek, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Seminar Keusahawan, Richard Tawan Sedu, Pegawai Tekun Nasional, Benedict Jed dan Petrus Igat.

Tamat.



100 penduduk bersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak


Caption:  UNTUK ALBUM...Beberapa orang penduduk bergambar kenangan sebelum menyertai para penduduk yang lain untuk membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak di sini pagi kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (15 Julai) – Sejumlah 100 orang penduduk dari sekitar kawasan Kampung Hulu, Sri Aman telah mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong untuk membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak di sini pagi kelmarin.

Aktiviti anjuran Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu Sri Aman ini telah bermula dari jam 8 pagi hingga 11.30 pagi dengan para peserta terdiri daripada ahli persatuan, kakitangan kerajaan dan orang awam di situ.

“Aktiviti gotong-royong untuk membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak ini merupakan salah satu aktiviti pihak kita untuk menyerikan ketibaan sambutan Bulan Ramadhan akan datang,” kata jurucakap penganjur.

Menurut beliau aktiviti gotong-royong seperti ini secara tidak langsung telah menambah pahala semua penduduk dan seterusnya mewujudkan lagi sifat permuafakatan di antara mereka dari masa ke semasa.

Malah aktiviti seperti ini juga katanya boleh mengajak kesemua penduduk beragama Islam untuk mengamalkan budaya gotong-royong dalam membersihkan sesebuah kawasan selepas ini.

“Lagipun aktiviti terbabit juga boleh mewujudkan hubungan tali silaturahim dikalangan semua peserta yang terlibat dan sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan di antara penduduk kampung di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu para ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hulu Sri Aman adalah di antara persatuan yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.

Kesemua peserta kemudiannya dijemput untuk menikmati jamuan di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu Sri Aman sebaik sahaja tamat aktiviti gotong-royong untuk membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak berkenaan.

Tamat.

Jambatan Gantung Sungai Engkeramong siap dibina


Caption: RASMI...Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Haji Len Talif sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian Jambatan Gantung Sungai Engkeramoh sambil disaksikan oleh Menteri Muda Pembangunan Komuniti, Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau dan Pengarah Hutan Sarawak, Haji Ali Yusop pada majlis itu Ulu Engkari, Lubok Antu kelmarin.

BATANG AI, Sabtu (14 Julai) – Penduduk dalam kawasan Lubok Pantu dan Ulu Engkari di Lubok Antu kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan telah siap membina jambatan gantung yang merentangi Sungai Engkeramoh semenjak bulan Ogos tahun lepas.

Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Haji Len Talif berkata projek jambatan gantung sepanjang 30 meter itu telah dibiayai oleh International Tropical Timber Organization (ITTO) dengan kerja pembinaannya dilakukan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

“Kerja pembinaan jambatan gantung yang merentangi Sungai Engkeramoh di Lubok Antu ini telah bermula 12 Julai tahun lepas hingga ia siap pada 12 Ogos pada tahun yang sama.

“Saya berharap agar penduduk dari Rumah Jaong, Lubok Pantu tidak perlu lagi berjalan kaki merentasi sungai untuk menghantar anak-anak ke sekolah berdekatan dengan adanya kemudahan jambatan gantung tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jambatan Gantung Sungai Engkeramoh dan Pondok Rehat Sistem Tagang yang berlangsung di Ulu Engkari, Lubok Antu kelmarin.

Selain itu kerajaan kata Len juga turut membina sebuah pondok rehat bagi mempromosi kawasan sistem tagang Ulu Engkari kepada penduduk dari kawasan luar Lubok Antu selepas ini.

“Pondok rehat terbabit siap dibina pada 26 April tahun ini. Keseluruhannya, projek jambatan gantung dan pondok rehat berkenaan menelan kos pembinaan bernilai RM50,000,” katanya.

Justeru perlaksanaan projek berkenaan katanya secara tidak langsung telah membuktikan tanggungjawab sosial korporat yang telah ditunjukkan oleh pihak ITTO dan Jabatan Hutan Sarawak kepada penduduk di sini.

“Kejayaan perlaksanaan kedua-dua projek berkenaan juga secara tidak langsung telah membuktikan wujudnya kerjasama antara Kerajaan Negeri, ITTO, Jabatan Hutan Sarawak dan penduduk setempat di sini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Komuniti, Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan Pengarah Hutan Sarawak, Haji Ali Yusop.

Tamat.

Manfaatkan kemajuan kampung untuk berniaga - Naroden


Caption: PENGHARGAAN... Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Seminar Keusahawan, Richard Tawan Sedu sedang menyampaikan cenderamata kepada Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Keusahawan Bumiputera dan Perancangan Sumber) Datuk Haji Mohd Naroden ketika berlangsungnya Seminar Keusahawanan di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (14 Julai) – Golongan usahawan Bumiputera perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang dijana menerusi kemajuan kampung bagi tujuan perniagaan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Keusahawan Bumiputera dan Perancangan Sumber) Datuk Haji Mohd Naroden Majais berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keusahawanan di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Misalnya, projek yang berkaitan dengan kemajuan kampung seperti penanaman kelapa sawit menurut beliau boleh dijadikan sebagai sumber peniagaan bagi seseorang usahawan itu jika ia bijak dieksploitasi.

“Bahan buangan dari pokok kelapa sawit seperti dahan boleh dijadikan sebagai bahan mentah dikalangan para usahawan kita untuk membuat Fiber Board ataupun makanan lembu.

“Kedua-dua produk terbabit mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran. Justeru jika para usahawan bijak memanfaatkan peluang seperti ini maka kejayaan akan menjadi milik mereka pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu Naroden turut memberitahu bahawa keusahawanan adalah bidang yang bidang paling mudah diceburi selagi mereka mengamalkan sikap ingin menjadi usahawan maju selepas itu.

Justeru beliau menasihatkan para usahawan Bumiputera agar cekap mengintai peluang perniagaan disamping menanam minat terhadap bidang perniagaan yang ingin mereka ceburi selepas itu.

Terdahulu seramai 125 orang peserta yang mengambil bahagian dalam seminar keusahawanan yang dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.28 Engkilili.

“Jangan lepaskan peluang untuk menceburi dalam bidang keusahawanan memandangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan banyak bantuan kepada mereka yang mahu menceburkan diri dalam bidang tersebut dari masa ke semasa,” katanya.

Seminar yang melibatkan peserta dari tujuh buah cawangan PBB dan 10 ranting PBB Engkilili itu telah dikendalikan oleh Ketua Pusat MARA Sarawak, Visnu Haji Majnis dan Pengurus Besar Tekun Nasional Sarawak, Roslan Ais.

Hadir sama ialah Setiausaha Eksekutif PBB, Haji Awang Bujang Awang Antek, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Seminar Keusahawan, Richard Tawan Sedu, Pegawai Tekun Nasional, Benedict Jed dan Petrus Igat.

Tamat.

Jangan beri muka kepada calon luar - Rayong



Caption: TERIMA KASIH...Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda sedang menyampaikan cenderamata kepada ADUN Engkilili, Dr Rayong sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau pada Majlis Hari Keluarga Skim Skrang baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (14 Julai) – Rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak memberi muka kepada mana-mana calon dari luar yang mahu bertanding di kerusi parlimen tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga Skim Skrang yang berlangsung di Balai Skim Skrang, Engkilili malam hari Khamis lepas.

“Sekarang terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu Larry Sng Wei Shien melahirkan minat untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu William Nyalau Badak.

“Beliau (Larry) berasal dari Kapit. Atas sebab inilah penduduk Lubok Antu tidak seharusnya memberi muka kepada Presiden SWP itu jika beliau mahu mencuba nasib di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kelak,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa beliau pernah berkorban dan meninggalkan jawatan dalam kerajaan kerana rakyat di DUN Engkilili enggan melihat bekas ADUN Engkilili Toh Heng San yang berasal dari Song menjadi wakil rakyat BN di situ ketika itu.

Tambahan pula kata Rayong, Larry tidak akan dapat membangunkan kawasan Parlimen Lubok Antu jika dia menjadi wakil rakyat di situ memandangkan SWP adalah merupakan sebuah parti pembangkang dan bukannya dari komponen parti BN.

“Justeru saya berharap agar penduduk dalam DUN Engkilili bertindak bijak dalam memilih wakil rakyat pada PRU 13 akan datang agar tidak lagi dipimpin oleh orang luar selepas ini,” katanya.

Program Hari Keluarga terbabit telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda dan ketua kaum yang lain.

Terdahulu pihak SWP dilaporkan turut mengadakan Majlis Bertemu Rakyat di Rumah Muntai, Skim Skrang yang dihadiri oleh presidennya iaitu Larry serta bekas Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dilaporkan telah pulang awal apabila majlis berkenaan tidak mendapat sambutan daripada rakyat di kawasan itu walaupun beberapa artis rakaman Iban diundang untuk ‘memancing’ kedatangan rakyat.

Tamat…



Land Survei Sri Aman bersihkan Kubur Kampung Hilir



Caption: BERBAKTI..Para kakitangan JTS Sri Aman sedang merakamkan gambar kenangan bersama Penghulu Haji Mohd Salleh (depan tiga kanan) ketika berlangsungnya program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam Kampung Hilir hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (13 Julai) – Musim ketibaan Bulan Ramadhan telah diserikan lagi dengan adanya program gotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Islam di Kampung Hilir, Sri Aman hari ini.

Program anjuran Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman itu bermula dari jam 8 hingga 12.30 tengahari dengan 20 orang kakitangan beragama Islam jabatan tersebut mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.

“Aktiviti ini adalah merupakan inisiatif daripada Penguasa JTS Bahagian Sri Aman iaitu Mohd Razali bin Arshad demi menyemarakkan lagi ketibaan bulan Ramadhan dalam bulan Julai ini.

“Dengan adanya program seperti ini, para kakitangan kerajaan beragama Islam akan dapat menyumbang bakti mereka terhadap penduduk dalam pelbagai aktiviti sosial dari masa ke semasa,” kata jurucakap penganjur iaitu Ramli Abu Sera.

Selain itu aktiviti ini kata beliau juga akan dapat menarik perhatian kakitangan kerajaan beragama Islam yang lain untuk sama-sama menganjurkan program bercorak sosial demi kebaikan penduduk di Sri Aman selepas ini.

Beliau yakin program gotong-royong seperti ini akan dapat mewujudkan keyakinan penduduk terhadap peranan kakitangan kerajaan dalam membantu menjaga kebajikan hidup mereka dari masa ke semasa.

“Insyallah pihak JTS Bahagian Sri Aman juga akan menganjurkan aktiviti membuat dan mengagihkan Bubur Lambuk ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan ini nanti,” katanya.

Hadir sama dalam program ini ialah Pegawai Perhubungan Awam JTS Sri Aman, Arip Abong, Juru Ukur JTS Sri Aman, Wahab Dillah, Pengerusi Tanah Perkuburan Kampung Hilir, Awang Magrib Awang Anie dan Penghulu Haji Mohd Salleh Mohd Abang.

Tamat.


Gimnasium Rakyat Sri Aman anjur Ngiling Bidai



Caption: UNTUK ALBUM...Para pengguna Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman bergambar kenangan ketika menghadiri majlis Ngiling Bidai Gawai di pusat senaman berkenaan malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (13 Julai) – Kelab Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman nyata tidak melepaskan peluang bagi menyeramakkan lagi suasana penutupan sambutan perayaan Gawai Dayak di sini.

Ia terbukti apabila kelab tersebut telah menganjurkan Majlis Ngiling Bidai yang berlangsung di perkarangan hadapan pusat senaman berkenaan bermula dari jam 5.30 petang hingga 10.15 malam tadi.

Pengerusi Kelab Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman, Isaac Stalin Simon ketika ditemui berkata majlis terbabit bertujuan untuk menyokong penuh perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Pengguna pusat senaman ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Justeru majlis ini telah membolehkan kita menghimpunkan kesemua mereka di bawah satu rumpun bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa majlis seperti ini juga secara tidak langsung dapat mempromosi Pusat Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman kepada orang ramai dari masa ke semasa.

Sasaran pihak kelab kata Isaac ialah untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan bersenam ke tahap yang lebih tinggi ke arah mewujudkan komuniti sihat dan cergas selepas ini.

“Waktu operasi Pusat Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman akan dibuka kepada orang ramai dalam kawasan ini bermula pada setiap hari melainkan pada hari Sabtu atau cuti umum.

“Ia akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan jam 4 petang hingga 8 malam bagi hari Isnin hingga Jumaat manakala dari jam 4 petang hingga 8 malam bagi hari Ahad,” kata beliau.

Terdahulu Majlis Ngiling terbabit telah disertai seramai 70 orang pengguna dengan aktiviti jamuan makan, Barbeque dan karaoke diadakan bagi memeriahkan sambutan majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Jurulatih Pusat Gimnasium Rakyat 1 Malaysia Sri Aman, Yakob Zamahari, Timbalan Bendahari kelab, Tony Chung, Timbalan Setiausaha, Christopher dan barisan ahli jawatankuasa kelab yang lain.

Tamat.


KRT Tanjung Engkabang anjur Futsal Tabika Perpaduan



Caption: UNTUK ALBUM...Para tetamu khas bergambar bersama pasukan pemenang Pertandingan Futsal Di Antara Tabika Perpaduan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Tanjung Engkabang, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (13 Julai) – Sejumlah sembilan buah Tabika Perpaduan telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Futsal Di Antara Tabika Perpaduan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Tanjung Engkabang, Sri Aman kelmarin.

Pertandingan Futsal Lima Sebelah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang terbabit menyaksikan Taman Tabika Taman Sri Jaya muncul juara dalam acara tersebut.

Manakala itu kedudukan naib juara Pertandingan Futsal 5 Sebelah ini pula disandang oleh Tabika Kampung Hulu dengan Tabika Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) muncul pemenang tempat ketiga bagi pertandingan tersebut.

Penolong Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Sapuan Ahmad Tarmidi dan Siti Rohani Abdullah telah pun diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan tersebut.

Terdahulu Pengerusi KRT Tanjung Engkabang, Mas Mashore Haji Maslem ketika ditemui memberitahu pertandingan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai perlaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan.

Pendedahan awal kanak-kanak terhadap dasar terbabit kata beliau secara tidak langsung boleh mengajak mereka untuk meminati bidang sukan apabila sudah meningkat dewasa selepas ini.

“Malahan ia juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara kanak-kanak dengan gur tabika masing-masing ke arah mewujudkan lagi sistem pembelajaran awal yang berkesan di kawasan kita pada masa akan datang,” katanya.

Justeru Mashore berharap agar pertandingan ini akan dapat diadakan semula demi mengasah bakat kanak-kanak dalam bidang sukan termasuk Futsal di kawasan Sri Aman selepas ini.

Tamat.

Keluarga miskin dari Kesindu, Simunjan terharu dapat rumah baru







Caption:

1. SEDERHANA TAPI CANTIK...Gambar menunjukkan rumah baru milik keluarga Badak dari Kesindu, Simunjan yang dibina oleh syarikat Nasron Trading Sebuyau menerusi Program Bantuan Rumah (PBR).

2. TERIMA KASIH KERAJAAN...Bada dan isterinya, Liana ketika bergambar di hadapan rumah baru yang telah siap dibina menerusi Program Bantuan Rumah di Kesindu, Simunjan pada 21 Jun lepas.

3. LENGKAP...Bada dan isterinya menunjukkan kotak suis elektrik utama yang turut dibina sebagai pelengkap kepada keperluan asas kediaman baru mereka menerusi Program Bantuan Rumah di Kesindu, Simunjan.

4. TINGGAL KENANGAN....Bada dan pasangannya Liana menunjukkan pondok usang mereka yang menyimpan pelbagai nostalgia lama sebelum berjaya mendapat rumah baru menerusi Program Bantuan Rumah di Kampung Kesindu, Simunjan.

5. CERIA...Bada bersama isterinya sedang meluangkan masa di hadapan rumah baru yang dibina oleh kerajaan menerusi Program Bantuan Rumah di Kesindu, Simunjan.

6. LUAS...Keselesaan jelas tampak dengan adanya ruang tamu yang luas di rumah baru milik pasangan Bada dan isteri, Liana hasil Program Bantuan Rumah di Kesindu, Simunjan.

7. MANFAAT...Bada dan isteri sedang menunjukkan tangki simpanan air di belakang rumah baru yang turut diberi menerusi Program Bantuan Rumah di Kesindu, Simunjan.

SIMUNJAN, Khamis (12 Julai)  – Pada suatu masa dahulu keluarga Bada anak Umpek dari Rumah Gana Jampong, Kesindu, Simunjan boleh dianggap sebagai keluarga miskin tegar sehingga menimbulkan rasa belas kasihan dikalangan penduduk kampung di situ.

Dengan usia meniti 55 tahun, Bada bersama isterinya iaitu Liana Bahol, 53, tinggal di sebuah pondok usang bersama dengan dua orang anak lelakinya iaitu Remmy Casidy, 13, dan Henry Albert, 12 tahun di kawasan pelusuk kampung terbabit.

Tujuh orang anak yang lain iaitu Flora (35), Romeo (32), Jackson (30), Martini (28), Zamri (23), Mohd Faiz (20) dan Nor Katika (14) tidak tinggal bersama mereka kerana faktor perkahwinan, diambil sebagai anak angkat dan kurang berpendapatan.

Lebih malang lagi ialah apabila ketiadaan sumber pendapatan berasaskan getah dan lada menyebabkan beliau menempuh hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan mengambil upah bekerja dengan orang lain.

Bagaimanapun segalanya mula berubah apabila kisah mengenai kesempitan hidup keluarga malang berkenaan telah disiarkan oleh pihak Utusan Sarawak pada 3 Januari tahun ini.

“Berita tersebut menyebabkan agensi kerajaan datang ke rumah kami. Hasilnya ialah kami diberikan satu anugerah tidak ternilai iaitu rumah baru menerusi Program Bantuan Rumah atau PBR,” kata Bada ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Semenjak kediaman barunya siap dibina oleh syarikat Nasron Trading Sebuyau pada 21 Jun, keluarga Bada kini nyata menikmati perubahan taraf hidup yang lebih ketara berbanding sebelum itu.

Ia terbukti apabila rumah bersimen bernilai RM50,000 itu mempunyai tiga buah bilik tidur, satu ruang tamu luas, satu jamban, satu bilik mandi, satu tangki air simpanan dan dapur dengan sistem peparitan dibina mengelilingi rumah tersebut.

“Satu kipas syiling juga sudah dipasang di rumah kami begitu juga dengan kemasukan bekalan elektrik...mempunyai rumah baru seperti ini sudah cukup untuk membuatkan saya dan keluarga berasa bersyukur terhadap kehidupan baru kami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan rasa terima kasih terhadap keprihatinan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung bantuan itu begitu juga penghargaan tidak terhingga terhadap pihak Utusan Sarawak di atas sumbangan siaran berita terbabit.

Kedaifan hidup mereka sekeluarga mungkin tidak akan berubah sehingga sekarang sekiranya kerajaan tidak bertindak untuk membantu hidup beliau tanpa adanya siaran akhbar oleh Utusan Sarawak.

“Bantuan ini telah memberikan satu keyakinan baru dalam hidup saya. Saya akan menjadikan ia sebagai satu penghargaan untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh demi mengubah masa depan hidup kami sekeluarga selepas ini,” katanya.

Pujian juga harus diberikan kepada syarikat kontraktor Nasron Trading Sebuyau yang dilihat telah menjalankan kewajipan mereka untuk membina rumah PBR tersebut dengan kualiti yang amat baik.

Tamat.