Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Remaja digalak sertai SRS - Rami



Caption: SEDIA...Ketua Unit SRS Kampung Muhibbah, Sri Aman, Ramli Abu Sera (lima kiri) bersama anggotanya sebelum melakukan rondaan di Kampung Muhibbah Sri Aman malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (10 Julai) – Penyertaan golongan remaja dalam Skim Rondaan Sukarelawa (SRS) di kawasan penempatan masing-masing sememangnya amat dialu-alukan oleh semua pihak.

Ini kerana golongan remaja sering dikaitkan dengan pelbagai kes masalah sosial seperti melepak, seks luar nikah, pengambilan najis dadah dan pecah rumah yang sering diwar-warkan dalam media massa selama ini.

“Golongan ini dianggap amat sesuai jika diserapkan dalam SRS selepas ini,” menurut Ketua Unit SRS Kampung Muhibbah, Sri Aman iaitu Ramli Abu Sera kepada media sebaik sahaja selesai melakukan rondaan di penempatan mereka malam tadi.

Kata beliau pembabitan golongan remaja dalam SRS dianggap amat penting memandangkan golongan terbabit mempunyai rangkaian maklumat yang luas berhubung lokasi aktiviti tidak sihat di kawasan penempatan masing-masing.

Hasil maklumat yang diperoleh menerusi pengalaman golongan remaja berkenaan menurut Ramli secara tidak langsung membolehkan pihak SRS melancarkan tindakan bagi membasmi lokasi terbabit selepas itu.

“Saya yakin lokasi sesebuah penempatan itu akan menjadi lebih aman dan bebas dari aktiviti tidak bermoral sekiranya golongan remaja bertindak menyertai SRS pada masa akan datang,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa pembabitan golongan remaja dalam SRS akan memberi contoh kepada lain-lain remaja berhubung peranan menjaga keselamatan kampung secara bersama selepas ini.

Terdahulu Ramli bersama Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Bahagian Sri Aman, Ricardo Dorlen dan sembilan orang anggota SRS Kampung Muhibbah telah mengadakan rondaan di sekeliling kampung bermula dari 8 malam hingga 1 pagi hari ini.

Hujan yang turun di Bandar Sri Aman nyata tidak menghalang pihak SRS Kampung Muhibbah untuk memeriksa beberapa kuaters kerajaan yang kosong, kawasan masjid dan beberapa lokasi lain di situ.

Tamat. 

No comments:

Post a Comment