Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

PPWS Kampung Sungai Molon Maludam adakan Ngiling Bidai Gawai



Caption: RASMI... Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Saidah Saibi (enam kanan) sedang menyempurnakan upacara memotong reben sebagai simbolik perasmian Majlis Penutupan Gawai Dayak 2012 di Kampung Sungai Molon baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (4 Julai) - Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) cawangan Kampung Sungai Molon, Maludam telah mengadakan Majlis Penutupan Gawai Dayak 2012 baru-baru ini.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu majlis yang bertujuan untuk menandakan berakhirnya sambutan Perayaan Gawai Dayak semenjak 1 Jun lepas itu telah pun dirasmikan oleh Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman iaitu Saidah Saibi.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis berkenaan telah melahirkan rasa amat kagum dan bangga berhubung kejayaan majlis seperti itu dikalangan ahli PPWS cawangan Kampung Sungai Molon.

Menurut Saidah ia sekaligus menunjukkan bahawa wujudnya semangat kerjasama dan permuafakatan di kalangan para ahli PPWS Kampung Sungai Molon dalam menganjurkan majlis tersebut.

“Penglibatan ahli PPWS Kampung Sungai Molon, Maludam dalam mejayakan aktiviti seperti itu nyata menjurus kepada perpaduan berlandaskan konsep 1Malaysia yang digalakkan oleh kerajaan selama ini.

“Justeru saya berharap agar lebih banyak aktiviti sosial seperti ini diadakan pada masa akan datang demi menjayakan perlaksanaan konsep Gagasan 1 Malaysia dikalangan masyarakat majmuk di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPWS Kampung Sungai Molon, Nali anak Udin menerusi ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa aktiviti itu adalah merupakan yang pertama diadakan semenjak cawangan perkumpulan tersebut ditubuhkan beberapa tahun lalu.

Atas sebab ini beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan aktiviti berkenaan.

Terdahulu program selama sehari itu telah dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Bertandak, Karaoke dan Poco-Poco yang melibatkan sejumlah penyertaan 17 buah cawangan PPWS di Maludam.

Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ini telah disempurnakan oleh Saidah sambil disaksikan oleh 300 orang pengunjung dari sekitar kawasan Maludam yang hadir bagi menyaksikan majlis itu. 


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah, Bendahari Kehormat PPWS Kawasan Sri Aman, Lela Ain dan para pengerusi PPWS cawangan di Maludam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment