Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Semua Tuai Rumah di DUN Balai Ringin diseru sokong Masir


Mugshot: TUAI RUMAH HEAROLD ERNEST

SRI AMAN, Jumaat (6 Julai) – Kemenangan kerajaan di kerusi Parlimen Sri Aman akan terjamin sekiranya semua Tuai Rumah atau Ketua Kampung menyokong penuh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Justeru Tuai Rumah Hearold Ernest dari Selantik Ili, Pantu, menyeru semua Tuai Rumah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin untuk sama-sama memastikan kemenangan BN di Parlimen Sri Aman pada pilihan raya itu nanti.

“Seruan hanya daripada seorang Tuai Rumah seperti saya mungkin dianggap remeh. Tapi niat sebenar saya ialah untuk mengajak semua Tuai Rumah di DUN Balai Ringin untuk terus setia kepada BN dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Kepercayaan terhadap BN menurut beliau semakin melonjak apabila kawasan Pantu bakal menikmati faedah pembangunan terbaru daripada kerajaan seperti projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) yang kini sedang giat dilaksana pada masa sekarang.

Ernest percaya bahawa Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah melakukan tugas yang terbaik untuk membawa pembangunan di kawasan beliau seperti yang sudah disaksikan oleh penduduk semenjak enam tahun lepas.

“Saya berasa amat gembira apabila mendapati bahawa beliau (Masir) telah dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman milik Parti Rakyat Sarawak (BN – PRS) ini pada PRU13 akan datang.

“Komitmen tugas beliau sudah terbukti apabila transformasi pembangunan sudah tampak nyata di kawasan bandar atau luar bandar di Sri Aman...justeru tiada alasan untuk menolak Masir tanpa alasan terbabit selepas ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar Tuai Rumah di kawasan DUN Balai Ringin yang sudah terpesong dari pimpinan pihak BN agar kembali semula ke pangkal jalan sebelum bermula pilihan raya tersebut.

“Saya berharap agar para Tuai Rumah yang sudah mengikuti jejak pihak pembangkang sebelum ini untuk sedar akan kesilapan diri masing-masing kerana ia boleh merugikan masa depan pembangunan rakyat di rumah panjang mereka selepas itu.

“Masir ialah calon BN boleh menang. Saya percaya pembangunan di kawasan Parlimen Sri Aman boleh melonjak ke tahap lebih baik berdasarkan kepada kejujuran dan kesungguhan beliau ketika menjadi wakil rakyat kita selepas PRU13 kelak,” katanya.

Ernest juga mengakui bahawa beliau telah sedar bahawa fitnah yang disebarkan oleh sebuah akhbar tabloib berbahasa Iban tempatan terhadap Masir selama ini adalah sekadar permainan politik semata-mata daripada pihak tertentu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment