Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

PPWS Kampung Hulu jayakan gotong-royong bersih surau



Caption: UNTUK ALBUM... Pengerusi Surau Hayatul Islam Kampung Hulu Sri Aman, Haji Ibrahim Arifin (duduk tiga kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama ajk Surau Hayatul Islam dan ahli PPWS Kampung Hulu sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong membersihkan surau tersebut baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (17 Julai) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Hulu telah turun padang untuk membantu kerja gotong-royong membersihkan Surau Hayatul Islam di sini baru-baru ini.

Pengerusi PPWS Kampung Hulu, Suzana Kassim ketika ditemui berkata penglibatan pihaknya dalam aktiviti tersebut sekaligus telah membuktikan kesungguhan mereka dalam melaksanakan aktiviti sosial untuk masyarakat di sini.

“Sejumlah 25 orang ahli PPWS Kampung Hulu telah turun padang untuk membantu pihak jawatankuasa pengurusan Surau Hayatul Islam menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan surau tersebut.

“Pihak PPWS Kampung Hulu akan terus berbakti untuk masyarakat kampung dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial sepanjang sambutan Bulan Ramadhan ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Pengerusi Surau Hayatul Islam Kampung Hulu Sri Aman, Haji Ibrahim Arifin berkata gotong-royong tersebut merupakan aktiviti tahunan yang sering diadakan oleh pihak pengurusan beliau.

11 orang ahli jawatankuasa katanya telah mengambil bahagian bersama pihak PPWS Kampung Hulu untuk membersihkan lantai dalam dan luar surau, mengelap tingkap serta membuang sampah di sekitar sekeliling.

“Aktiviti seperti ini akan kita teruskan demi menjaga kebersihan Surau Hayatul Islam disamping mengeratkan hubungan kekeluargaan dikalangan masyarakat Kampung Hulu dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Hayatul Islam yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari itu turut disertai oleh Ketua Kampung Hulu Sri Aman iaitu Haji Abdul Latip Abdul Rahim.

Ia juga turut diserikan lagi dengan majlis doa tahlil dan jamuan makan bersama masyarakat yang menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemanak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment