Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

SUPP Lingga dinasihat berjuang pastikan kemenangan BN di Batang Lupar


Caption: UNTUK ALBUM...Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan khas pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak anjuran SUPP Lingga di Rumah Rebi, Stumbin, Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (2 Julai) – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Lingga disaran agar berjuang untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Batang Lupar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak anjuran SUPP Lingga di Rumah Rebi, Stumbin, Sri Aman baru-baru ini.

Katanya kemenangan BN di Parlimen Batang Lupar adalah amat penting agar segala rancangan pembangunan kerajaan untuk rakyat di situ dapat diteruskan pada masa akan datang.

“SUPP cawangan Lingga harus membantu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar milik komponen parti BN itu pada pilihan raya parlimen yang diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

“Pihak cawangan parti ini harus turun padang dan membantu menyebarkan dasar pembangunan kerajaan kepada rakyat di parlimen itu agar mereka tidak mudah diperdaya oleh pihak pembangkang,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan SUPP cawangan Lingga agar mengenepikan soal kepentingan kaum dan agama ketika melaksanakan kewajipan tersebut selepas ini.

“Justeru saya berharap agar SUPP cawangan Lingga dapat menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat di kawasan mereka agar BN terus kekal memerintah Parlimen Batang Lupar di masa akan datang,” katanya.

Harden menerusi majlis tersebut telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Rebi dengan RM3,000 lagi diperuntuk untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi SUPP cawangan Lingga, Kapitan Kuek Aik Seng, pengerusi pengelola majlis, Walterkiller James Junit, Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment