Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Pembangunan bukti kesungguhan BN - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden (tengah tiga kanan) dan Rayong (belakang) ketika merakamkan gambar kenangan bersama tetamu khas sempena majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (28 JUn) – Perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan Sri Aman adalah merupakan bukti kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memajukan hidup rakyat dari masa ke semasa.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata perlaksanaan pembangunan kini boleh disaksikan di pusat Bandar Sri Aman dan juga di kawasan luar bandar seperti Ulu Paku, Batu Lintang.

“Hasil sokongan rakyat membolehkan kerajaan BN merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar atau luar bandar Sri Aman selama ini.

“Ia termasuklah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, bekalan air bersih, jalan raya berturap, pembinaan bangunan komersial, bandar baru, jambatan konkrit dan banyak lagi yang menelan belanja berjuta-juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 anjuran Pergerakan Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang di sebuah restoran tempatan di sini baru-baru ini.

Dengan adanya projek seperti itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berharap agar rakyat terus setia bersama BN demi hala tuju pembangunan hidup mereka selepas ini.

“Bukti pembangunan sedia ada pada masa sekarang sudah cukup untuk membuka mata rakyat dalam menyedarkan mereka terhadap kesungguhan kerajaan memajukan negeri ini.

“Justeru saya berharap agar sokongan tidak berbelah-bagi rakyat terhadap BN dapat diteruskan ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,” kata beliau.

Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Timbalan Pengerusi Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang, Patrick Michael Malajin, Setiausahanya, Empaga anak Penghulu Bailey dan para ketua kaum di sini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment