Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Projek agropolitan berkembang di Lingga - Rohani


Caption: PENGHARGAAN...Ketua Kampung Pulau Seduku Baru, Lingga, Mohd Salleh Jon menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim ketika berlangsungnya Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga kelmarin.

LINGGA, Selasa (17 Julai) - Projek Agropolitan Batang Lupar yang sedang dibangunkan sebagai salah satu projek pembangunan mega di Sarawak kian menampakkan perkembangannya dari masa ke semasa.

Perkembangan ini dapat disaksikan apabila sejumlah 1,600 hektar tanah yang diperuntuk untuk perlaksanaan Projek Ladang Sejahtera telah ditanam dengan kelapa sawit pada masa sekarang.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga kelmarin.

“Untuk pengetahuan penduduk, Projek Ladang Sejahtera yang terletak berdekatan dengan kawasan Kampung Baru Pulau Seduku adalah merupakan salah satu daripada komponen utama Projek Agropolitan Batang Lupar.

“Felcra Berhad yang merupakan agensi utama bagi mengendalikan Projek Agropolitan itu menjangkakan bahawa Projek Ladang Sejahtera bakal mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun lagi,” katanya.

Serentak dengan itu juga, penduduk Kampung Baru Pulau Seduku selaku peserta projek tersebut kata Rohani telah pun bersetuju bahawa tanah seluas 175 hektar milik mereka dibangunkan oleh Felcra untuk tanaman sawit.

Beliau juga yakin bahawa program agropolitan Batang Lupar akan mampu meningkatkan taraf hidup penduduk terutama dari ekonomi melalui pengelibatan mereka dalam Ladang Sejahtera berkenaan.

“Justeru projek terbabit bakal mengubah kehidupan penduduk Kampung Baru Pulau Seduku yang dilihat amat jauh berbeza berbanding dengan kehidupan mereka ketika tinggal di Pulau Seduku sebelum itu,” katanya.

Terdahulu Program Sentuhan Rakyat yang berlangsung di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga ini adalah merupakan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman dengan kerjasama Felcra Berhad serta lain-lain jabatan kerajaan di sini.

Program yang bertujuan  mendekatkan jabatan dan agensi kerajaan dengan rakyat melalui aktiviti turun padang ini turut Datuk Rohani menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung hasil tajaan RTM Sri Aman dan Felcra Berhad.

Turut diadakan bersempena dengan Program Sentuhan Rakyat di Kampung Baru Pulau Seduku, Lingga ini ialah Pertandingan Mewarna, Mukun Ria dan “Progaram Singgah Dolok Kelakar”.

Tamat.

No comments:

Post a Comment