Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Orang 'Dalam Parti' cuba kerjakan saya - Rohani



Caption: TUNGGU...Timbalan Menteri PDNKK, Datuk Hajah Rohani ketika bersama ADUN Lingga, Hajah Simoi menunggu para pemenang untuk penyampaian trofi hadiah bersempena dengan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stumbin baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (12 Julai) – Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim melahirkan rasa kecewanya berhubung tindakan sesetengah pihak dalam parti yang masih cuba menjatuhkan kedudukan beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini nanti.

Katanya ia terbukti apabila terdapat pihak dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang masih berikthiar untuk melobi kedudukan calon bagi kerusi Parlimen Batang Lupar sehingga sekarang.

“Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sudah pun memberitahu semua pihak bahawa saya masih menjadi calon bagi mempertahankan kerusi parlimen itu menerusi satu majlis rasmi di Pusa, Betong pada 31 Mei lepas.

“Namun begitu pengumuman terbabit seperti tidak diendahkan oleh pihak tersebut memandangkan mereka masih berusaha merampas kedudukan calon itu daripada saya hingga sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pangkat Stumbin, Sri Aman baru-baru ini.

Rohani juga turut melahirkan rasa kesal berhubung perkara ini memandangkan pihak terbabit juga turut melemparkan fitnah terhadap diri beliau dikalangan penduduk dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.

“Saya tidak kisah jika fitnah ini dilemparkan oleh pihak pembangkang. Tetapi fitnah ini dilemparkan oleh orang dalaman parti dan ia nyata membuatkan saya sungguh kecewa,” kata beliau.

Justeru beliau berharap agar penduduk menolak segala tohmahan terbabit dan seterusnya bersama-sama menyokong beliau bagi memastikan kemenangan BN di Parlimen Batang Lupar pada pilihan raya akan datang.

Terdahulu Rohani pada majlis itu turut menyempurnakan majlis perasmian Dewan Masyarakat Kampung Stumbin yang menelan kos bernilai RM200,000 seperti yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pada tahun lepas.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Batang Lupar, Zaidil Haji Ripin, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat. 

No comments:

Post a Comment