Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Jangan terima SWP - Rayong

Caption: SERIUS...Rayong sedang menyampaikan ucapannya kepada penduduk ketika berlangsungnya majlis tersebut di Rumah Melina, Merio, Engkilili kelmarin.

ENGKILILI, Sabtu (23 Jun) – Penduduk luar bandar di kawasan Parlimen Lubok Antu digesa agar tidak menerima kehadiran pihak Parti Pekerja Sarawak (SWP) di rumah panjang mereka selepas ini.

Ini kerana penduduk di kawasan luar bandar masih memerlukan pembangunan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dari masa ke semasa kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

“Tuai Rumah di kawasan Parlimen Lubok Antu perlu memainkan peranan untuk menasihatkan penghuni rumah panjang masing-masing agar tidak menerima kehadiran parti pembangkang tersebut

“Jika (SWP) datang maka katakan bahawa kehadiran rombongan parti tersebut tidak diperlukan memandangkan semua penduduk rumah panjang masih menyokong kerajaan BN pada masa sekarang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 yang telah berlangsung di Rumah Melina, Merio dalam daerah kecil Engkilili, kelmarin.

Selain itu beliau juga mahu penduduk luar bandar sedar bahawa BN masih amat diperlukan oleh mereka demi membolehkan projek pembangunan seperti bekalan elektrik 24 jam, jalan raya, bekalan air dan sebagainya disalurkan kepada mereka selepas itu.

“SWP tidak boleh memberikan anda projek seperti itu melainkan BN. Justeru saya menyeru semua penduduk luar bandar untuk terus menyokong teguh pihak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Rayong turut menambah bahawa penduduk di Parlimen Lubok Antu perlu memberikan sokongan 100 peratus mereka terhadap calon BN iaitu William Nyalau Badak pada PRU13 terbabit.

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 yang telah berlangsung di Rumah Melina, Merio berkenaan turut dihadiri oleh para ketua kaum dan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Engkilili.

Tamat.

No comments:

Post a Comment