Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Kuaters guru SK Keranggas Pantu dimasuki ular



Caption: TEWAS...Gambar yang dikirim menerusi telefon bimbit ini menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap kerana memasuki kuaters kediaman guru SK Keranggas Pantu sebelum ini.

SRI AMAN, Isnin (25 Jun) – Kerajaan dirayu agar menaiktaraf kuaters kediaman berkayu yang menempat sejumlah enam keluarga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas di daerah kecil Pantu, Sri Aman selepas ini.

Ia berikutan penemuan seekor ular sawa bersaiz sederhana di bumbung syiling salah satu kediaman keluarga di situ dipercayai berpunca dari keuzuran yang berlaku terhadap kuaters kediaman mereka selama ini.

“Kisah ini sudah lama berlaku. Namun ia sekaligus membuktikan bahawa kerosakan sudah berlaku terhadap kuaters kediaman guru di SK Keranggas, Pantu pada masa sekarang,” menurut seorang guru yang enggan namanya disiarkan di sini.

Katanya peristiwa terbabit berlaku sebelum perayaan Gawai Dayak lepas apabila sebuah keluarga guru di situ sedang menonton televisyen sebelum masuk tidur pada malam hari berkenaan.

Keesokan pagi harinya salah seorang ahli keluarga guru tersebut terkejut apabila terlihat kepala seekor ular sawa terjuntai keluar dari salah satu sudut bumbung syiling kediaman mereka.

“Keluarga guru berkenaan terus bertindak dengan menangkap dan seterusnya membunuh reptilia berkenaan di luar kuaters kediaman mereka sambil disaksikan oleh para guru yang lain,”katanya.

Menurut beliau, ular sawa tersebut dipercayai berjaya memanjat masuk ke bumbung syiling kediaman mereka menerusi ruang dinding rumah yang sudah rosak serta berlubang sebelum ini.

Ular sawa berkenaan katanya dipercayai telah berada di syiling bumbung terbabit pada sepanjang waktu malam kerana cuba menangkap dan memakan tikus yang berkeliaran di situ.

“Syukurlah ular sawa terbabit tidak mengancam keselamatan mereka sekeluarga. Justeru saya merayu kepada kerajaan agar menaiktaraf kuaters kediaman guru di SK Pantu dengan segera selepas ini,” katanya.

Terdahulu kuaters kediaman berkayu yang sudah uzur di SK Keranggas, Pantu itu menempatkan sejumlah enam buah keluarga guru yang mengajar murid-murid di kawasan pendalaman selama ini.

Sekolah luar bandar ini boleh hubungi menerusi jalan sungai bermula dari jeti Pangkalan Pantu selama dua jam dan seterusnya menempuh laluan berbukit selama setengah jam untuk sampai ke sekolah tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment