Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

PDK Sri Aman adakan sukaneka tahunan

Caption: MERIAH...Para pelajar UNIMAS, ibubapa, pelatih OKU dan kakitangan PDK Sri Aman sedang mengambil bahagian dalam acara sukaneka yang berlangsung di sini hari ini.

SRI AMAN, Khamis (28 Jun) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman telah menganjurkan aktiviti Sukaneka Tahunan 2012 yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman hari ini.

Aktiviti yang membabitkan penyertaan seramai 30 orang pelatih Orang kelainan Upaya (OKU) berdaftar, ibubapa kepada golongan OKU dan 40 orang pelajar UNIMAS itu telah bermula dari jam 7.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari.

Penyelia Pusat PDK Sri Aman, Sanny Law ketika ditemui memberitahu Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2011 ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara ibubapa pelatih, pelajar UNIMAS dan para kakitangan PDK Sri Aman.

“Aktiviti Sukaneka Tahunan PDK Sri Aman 2012 ini juga secara tidak langsung boleh memotivasikan golongan pelatih OKU di sini agar mereka merasakan tidak tersisih dari kelompok komuniti penduduk dari masa ke semasa.

“Justeru diharap agar aktiviti seperti ini dapat meningkatkan semangat pelatih OKU di PDK Sri Aman dalam menjalani hidup masing-masing seperti biasa di masa akan datang,” katanya.

Bagi menjayakan aktiviti ini, pihak PDK Sri Aman kata Sanny telah menganjurkan 16 buah acara sukan bagi Kategori Kanak-Kanak, Kategori Dewasa dan Kategori AJK PDK, Ibubapa dan Pelajar UNIMAS.

Kategori Kanak-Kanak menerusi aktiviti sukaneka ini menyaksikan kanak-kanak berentap dalam saingan acara mengutip bola, mengail ikan, menyarung stokin / kasut dan menusuk manik.

“Manakala itu Kategori Dewasa pula menyaksikan orang dewasa mengambil bahagian dalam acara mancing tin, mengisi air dalam botol, memakan buah pier, memasukkan gelang getah dengan straw dan memecahkan belon.

“Kategori seterusnya pula menyaksikan semua pihak mengambil bahagian dalam acara membawa belon dan berebut kerusi,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua pihak di bandar Sri Aman.

Hadir sama bagi menjayakan aktiviti terbabit ialah pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman iaitu Hangol Katot, Penyelaras Pusat PDK Sri Aman, Michael Lised dan Pengerusi PDK Sri Aman, Rohani Sahari.

Aktiviti Sukaneka Tahunan 2012 terbabit turut diserikan dengan upacara ringkas penyerahan sumbangan bernilai RM1,400 oleh Pengurus Zon Selatan, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Shamsul Bahri Manap kepada PDK Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment