Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

RM1.5 juta bakal diagih untuk bantu penduduk beli benih sawit dan getah


Caption: Tuai Rumah Nyanggau Gerang sedang menyampaikan cenderamata kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Abok Pulau Batu B, Pantu, Sri Aman hari ini.

PANTU, Khamis (5 Julai) – Sejumlah RM1.5 juta akan diagih oleh kerajaan kepada rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman bagi membantu mereka membeli benih sawit dan anak pokok getah selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata peruntukan khas untuk rakyat ini diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada setiap ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Peruntukan ini akan dibahagikan kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Sri Aman iaitu DUN Balai Ringin (RM500,000), DUN Bukit Begunan (RM500,000) dan DUN Simanggang (RM500,000).

“Pemberian ini berasaskan kepada ‘siapa dahulu dia yang dapat’. Setiap keluarga akan diberi sejumlah RM400 untuk membeli benih sawit dan anak pokok getah manakala yang belum mendapatnya pula akan diberi pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat P.202 Sri Aman yang berlangsung di Rumah Nyanggau anak Gerang, Abok Pulau Batu B, Pantu, Sri Aman hari ini.

Selain itu peruntukan berjumlah RM1.5 untuk ketiga-tiga DUN terbabit kata Masir juga akan diagihkan menerusi lima peringkat dalam tempoh dua bulan ini bagi memastikan kelancaran pemberian wang itu dikalangan penerima.

“Peruntukan khas untuk rakyat bernilai RM1.5 juta ini secara tidak langsung telah menunjukkan keprihatihan kerajaan BN dalam membantu menaiktaraf ekonomi hidup mereka dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap agar rakyat terus berdiri teguh di samping BN demi membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada mereka dari masa ke semasa,” kata beliau.

Hadir sama ialah isteri Masir iaitu Dora Jemat, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Tuai Rumah Nyanggau anak Gerang, Kanselor Ronald Chenggir dan para Tuai Rumah di sini.

Masir pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM7,600 untuk membantu rakyat di Rumah Nyanggau membeli benih sawit dan anak pokok getah dengan RM2,400 lagi diperuntukan untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan bagi tujuan benih sawit dan anak pokok getah untuk beberapa rumah panjang di Abok antaranya ialah Rumah Stanley (RM7,000), Rumah Danny (RM10,000), Rumah Donald (RM6,000), Rumah Kawi (RM13,000), Rumah Francis (RM7,000), Rumah Larry (RM10,00) dan Rumah Spina (RM4,000).

Tamat.

No comments:

Post a Comment