Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Pembangkang gemar ganggu projek pembangunan BN - Harden



Caption: RASMI...Datuk Harden sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Masir, Rayong dan tetamu khas yang lain pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jun) – Pihak pembangkang sememangnya gemar mempertikaikan serta menganggu projek pembangunan yang cuba dimajukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan rakyat.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata pihak terbabit akan turun padang untuk menghasut rakyat sehingga menyebabkan rakyat itu sendiri menolak projek pembangunan daripada kerajaan.

“Mereka (pihak pembangkang) sebaliknya hanya pandai menyebut dan berjanji. Namun akhirnya segala janji yang mereka telah taburkan pada rakyat tidak akan ditunaikan selepas itu.

“Justeru saya mahu rakyat sedar akan taktik pihak pembangkang berhubung perkara ini. Paling penting sekali ialah rakyat haruslah setia berasa kerajaan BN dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gelanggang Futsal Komuniti 1 Malaysia, Projek Jalan Kampung dan Menanam Pokok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Ulu Undop Batu Lintang, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menyeru rakyat di kawasan Ulu Undop untuk terus menyokong calon BN iaitu Masir Kujat bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman pada pilihan raya akan datang.

“Kemenangan Masir selaku penyandang kerusi terbabit adalah amat penting agar kerjasama di antara ADUN dan Ahli Parlimen terus terjalin demi membangunkan kawasan Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Penolong Jurutera Bahagian, JKR Sri Aman, Noor Ismail, Guru Besar SK Paku, Daniel Sidi, Yang Dipertua PIBG SK Paku, Jampong Sabong, para ahli Majlis Daerah Sri Aman dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Harden telah menyampaikan cek peruntukan bernilai RM10,000 kepada PIBG SK Paku dengan Saint John Chapel Batu Lintang dan Kelab Sokanjaya JKR Sri Aman masing-masing menerima RM5,000 pada majlis berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan upacara simbolik penyerahan buah bola dan jaring daripada wakil Pejabat Belia Dan Sukan Sri Aman, Mark Leeroy Anthony, perasmian gelanggang futsal, penanaman bunga, jamuan makan dan lagu tajaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment