Caption: KOTOR...Parit di hadapan SK Abang Aing ini dilaporkan berbau busuk
dipercayai berpunca dari air kotor yang mengalir dari lokasi pusat gerai
makanan tidak jauh dari sekolah berkenaan.
SRI AMAN, Isnin (25 Jun) – Kawasan persekitaran sesebuah sekolah sememangnya perlu
bersih dan bebas dari apa jua pencemaran demi mewujudkan keselesaan dikalangan
para guru serta murid di sekolah berkenaan dari masa ke semasa.
Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku apabila longkang dihadapan Sekolah
Kebangsaan (SK) Abang Aing, Sri Aman dilaporkan berbau busuk dipercayai
berpunca dari air kotor yang mengalir di situ.
Keadaan ini sekaligus menimbulkan rasa kurang selesa dikalangan ibubapa
yang sering menghantar dan mengambil anak mereka pulang dari menuntut di SK
Abang Aing selama ini.
“Longkang dihadapan SK Abang Aing tidak pernah berbau sehinggalah pusat
penempatan gerai makanan dan minuman (Food Court) mula beroperas tidak jauh
dari sekolah berkenaan selepas itu,” kata seorang ibu murid di sekolah
tersebut.
Katanya air kotor telah mengalir ke longkang di hadapan SK Abang Aing
menerusi sistem peparitan yang dibina di Food Court dan menjadi punca terhadap
timbulnya bau busuk terbabit semenjak tahun lepas.
Masalah longkang berbau ini katanya dipercayai boleh memberi kesan terhadap
imej sekolah itu sendiri dan menuntut agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
mencari langkah segera bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Sesiapa pun tidak akan tahan mencium bau busuk longkang terbabit. Saya
percaya para guru dan murid-murid yang memasuki SK Abang Aing dari pintu
hadapan sekolah juga akan berasa mual apabila tercium bau terbabit.
“Justeru saya berharap agar longkang tersebut dibersihkan semula oleh PBT
atau bina rangkaian peparitan yang baru bagi menyalurkan air kotor dari Food
Court tanpa melalui parit di hadapan SK Abang Aing selepas ini,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment