Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Orang Cina penyumbang kekuatan BN - NYalau

Caption: SELAMAT DATANG...Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak (tengah) bersama ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan ketua masyarakat Cina sedang menyaksikan aksi Tarian Singa sebelum bermulanya majlis hari ini.

ENGKILILI, Rabu (4 Julai) – Tunjang kekuatan Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Lubok Antu bukan hanya terletak di tangan masyarakat kaum Melayu dan Iban malah juga turut terletak di tangan masyarakat kaum Cina yang menetap di situ selama ini.

Atas sebab inilah kerajaan BN langsung tidak pernah mengabaikan projek pembangunan di penempatan masyarakat kaum Cina dalam kawasan Parlimen Lubok Antu semenjak dari dahulu hingga sekarang kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

“Kekuatan kerajaan pimpinan BN dibentuk hasil sokongan padu daripada tiga kelompok masyarakat utama ini termasuk juga dengan lain-lain kaum minoriti masyarakat Sarawak yang lain.

“Saya yakin BN akan terus kekal di kawasan Parlimen Lubok Antu selagi masyarakat Cina di sini mengekalkan sokongan terhadap kita pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Tepekong Bon Kai Pi, Jelukong dalam kawasan daerah kecil Engkilili hari ini.

Selain itu Nyalau turut menasihatkan masyarakat Cina di Engkilili agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang disampaikan oleh pihak parti pembangkang terutama sekali Parti Pekerja Sarawak (SWP) selepas ini.

“SWP bukan parti mesra BN seperti yang mereka dakwa sebelum ini memandangkan parti yang mesra BN tidak akan berkempen untuk menentang komponen parti BN di sesebuah kawasan parlimen.

“Itu taktik politik mereka. Justeru saya menasihatkan masyarakat Cina di sini agar tidak mudah tertipu terhadap taktik kempen parti berkenaan lebih-lebih lagi ketika menjelang PRU13 ini nanti,” katanya.

Turut hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Dr Johnnical Rayong Ngipa serta kaum masyarakat kaum Cina di sekitar kawasan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment