Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Jangan beri muka kepada calon luar - Rayong



Caption: TERIMA KASIH...Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda sedang menyampaikan cenderamata kepada ADUN Engkilili, Dr Rayong sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau pada Majlis Hari Keluarga Skim Skrang baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (14 Julai) – Rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak memberi muka kepada mana-mana calon dari luar yang mahu bertanding di kerusi parlimen tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga Skim Skrang yang berlangsung di Balai Skim Skrang, Engkilili malam hari Khamis lepas.

“Sekarang terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu Larry Sng Wei Shien melahirkan minat untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu William Nyalau Badak.

“Beliau (Larry) berasal dari Kapit. Atas sebab inilah penduduk Lubok Antu tidak seharusnya memberi muka kepada Presiden SWP itu jika beliau mahu mencuba nasib di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kelak,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa beliau pernah berkorban dan meninggalkan jawatan dalam kerajaan kerana rakyat di DUN Engkilili enggan melihat bekas ADUN Engkilili Toh Heng San yang berasal dari Song menjadi wakil rakyat BN di situ ketika itu.

Tambahan pula kata Rayong, Larry tidak akan dapat membangunkan kawasan Parlimen Lubok Antu jika dia menjadi wakil rakyat di situ memandangkan SWP adalah merupakan sebuah parti pembangkang dan bukannya dari komponen parti BN.

“Justeru saya berharap agar penduduk dalam DUN Engkilili bertindak bijak dalam memilih wakil rakyat pada PRU 13 akan datang agar tidak lagi dipimpin oleh orang luar selepas ini,” katanya.

Program Hari Keluarga terbabit telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil disaksikan oleh Pengerusi JKKK Skim Skrang, Silon Janda dan ketua kaum yang lain.

Terdahulu pihak SWP dilaporkan turut mengadakan Majlis Bertemu Rakyat di Rumah Muntai, Skim Skrang yang dihadiri oleh presidennya iaitu Larry serta bekas Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dilaporkan telah pulang awal apabila majlis berkenaan tidak mendapat sambutan daripada rakyat di kawasan itu walaupun beberapa artis rakaman Iban diundang untuk ‘memancing’ kedatangan rakyat.

Tamat…



No comments:

Post a Comment