Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

TBS bantu keluarga mangsa serangan buaya



Caption: IKHLAS...Ketua Zon Selatan TBS, Shamshul Bahri (kanan) sedang menyampaikan cek wang kepada wakil keluarga mangsa serangan buaya (Allahyarham Drahman Chali) sambil disaksikan oleh Penghulu Haji Neng di Kampung Hulu, Beladin, Pusa baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (10 Julai) – Nasib malang keluarga mangsa serangan buaya dari Kampung Hulu, Beladin, Pusa iaitu Drahman bin Chali nyata mendapat perhatian pelbagai pihak semenjak peristiwa tersiar di dada akhbar semenjak pada 5 Julai lepas.

Ia terbukti apabila pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah tampil untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa Drahman bin Chali berhubung peristiwa terbabit di kampung berkenaan baru-baru ini.

Bantuan berupa barangan makanan asasi dan kewangan terbabit telah disampaikan oleh Ketua Zon Selatan TBS, Shamshul Bahri Manap kepada wakil keluarga mangsa serangan terbabit berkenaan.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh lima orang anak keluarga mangsa terbabit,” kata Shamsul sambil menambah bahawa pihaknya akan tampil membantu keluarga mangsa melalui skim saraan hidup pada tempoh terdekat ini.

Beliau ketika menyampaikan bantuan tersebut juga menasihatkan ahli keluarga serangan buaya tersebut untuk terus sabar dan redha terhadap ketentuan  illahi berhubung peristiwa tersebut.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis penyerahan bantuan ini ialah Penghulu Kampung Beladin, Haji Neng bin Kundeng dan Ketua Kampung Triso, Abang Atep bin Abang Sibo.

Terdahulu mangsa iaitu Allahyarham Drahman telah maut dibaham buaya di sungai ketika bersama seorang rakan menjalankan kerja mengikat serta membuat rakit batang rumbia untuk di bawa ke kilang di kawasan Tanjung Lilin, Beladin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment