Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Inspektor Mohd Razil, Ketua Bahagian Jenayah Narkotik Daerah, IPD Sri Aman


Caption: SELAMAT BERTUGAS... SM Abang Hamdan (kanan) sedang menyampaikan dokumen serah tugas kepada Inspektor Mohd Razil (kiri) sambil disaksikan oleh KPD Sri Aman, DSP Mat Jusoh (tengah) dan para pegawai kanan polis ketika berlangsungnya majlis serah tugas di IPD Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (10 Julai)  – Inspektor Mohd Razil Ismail sah memangku jawatan Ketua Bahagian Jenayah Narkotik Daerah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman berkuatkuasa mulai kelmarin.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat di IPD Miri telah mengambilalih jawatan tersebut daripada Sarjan Mejar (SM) Abang Hamdan Abang Sarbini yang telah memangku jawatan terbabit daripada Inspektor Shahibul Najib semenjak 27 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad telah hadir pada jam 9 pagi bagi menyaksikan upacara penyerahan dokumen jawatan antara Razil dan Hamdan di Bilik Mesyuarat IPD Sri Aman.

Jusoh ketika berucap pada majlis itu berharap agar Razil dapat memanfaatkan pengalaman tugasnya di IPD Miri untuk menyelesaikan kes-kes jenayah narkotik di Sri Aman.

“Berdasarkan kepada statistik, Sri Aman kini sedang mengalami trend peningkatan dari segi kes jenayah narkotik (pengambilan dan pengedaran dadah) dan ia menuntut semua anggota untuk saling bekerjasama bagi menangani masalah tersebut.

“Justeru saya berharap agar pengalaman Razil ketika menjalankan tugas di IPD Miri sebelum ini dapat dijadikan sebagai satu senjata bagi menangani trend peningkatan kes tersebut selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck, Ketua Cawangan Khas IPD Sri Aman, ASP Melay Tinggom,  Inspektor Jessica, Inspektor Marcel dan anggota berpangkat rendah IPD Sri Aman.

Terdahulu Razil dari Bachok, Kelantan telah menamatkan latihannya di PULAPOL, Kuala Lumpur pada tahun 2007 dan memulakan tugasnya pertama di IPD Miri sebelum berpindah tugas ke IPD Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment