Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

RELA Sri Aman dapat anggota baru



Caption: UNTUK ALBUM...Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel (RELA) Bajuri Haji Adon (tengah) dan PPRD Mejar Joshua (kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama ketua platun dan anggota RELA di Rumah Raweng anak Jalong, Sembau – Stumbin, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (12 Julai) – Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Sri Aman kini mempunyai sejumlah 3,484 orang anggota dengan tertubuhnya empat buah platun baru pasukan tersebut di sini.

Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel (RELA) Bajuri Haji Adon berkata empat buah platun baru tersebut ialah Platun RELA Kampung Hulu, Kampung Hilir, Kampung Muhibbah dan Kampung Sekait.

“Pihak kita telah menerima sejumlah 120 orang anggota baru menerusi kesemua platun ini dan sekaligus menjadikan jumlah terkini keanggotaan RELA Daerah Sri Aman terdiri daripada 2,552 orang Relawan dan 932 orang Relawati.

“Ia satu perkembangan yang amat baik buat RELA Daerah Sri Aman apabila terus mencatat jumlah peningkatan anggota dikalangan penduduk dalam kawasan daerah ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Platun Baru RELA dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Rumah Raweng anak Jalong, Sembau – Stumbin, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Bajuri pada majlis itu juga menasihatkan kesemua anggota RELA Daerah Sri Aman supaya sentiasa berdedikasi ketika menunaikan tanggungjawab terhadap tugas di kawasan masing-masing.

“Paling penting ialah semua anggota RELA Daerah Sri Aman perlu bersatu-padu demi mempertingkatkan kualiti keselamatan hidup penduduk di kawasan kita pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ketika berlangsungnya majlis berkenaan ialah Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua anak Ijau, Tuai Rumah Raweng anak Jalong, para ketua unit platun dan anggota RELA di sini.

Terdahulu Platun RELA Kampung Hulu telah diketuai oleh Leftenan (RELA) Masiah Abu Kawi dengan Leftenan Abu Kassim Abu Talib memimpin Platun Kampung Hilir, Leftenan Yamin Dahlan memimpin Platun Kampung Muhibbah dan Leftenan Fauzi Abdullah memimpin Platun Kampung Sekait.

Tamat.

No comments:

Post a Comment