Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Generasi muda perlu pertahankan main asal Iban - Harden

Caption: UNTUK ALBUM...Harden (tengah tiga kanan) dan Rayong (belakang beliau) ketika bersama tetamu khas bergambar kenangan bersama wanita berpakaian Ngepan Iban pada majlis itu malam kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (27 Jun) – Generasi muda kaum Dayak diseru agar terus memperkasakan adat main asal dan budaya mereka selepas ini demikian menurut Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Katanya usaha bagi memastikan adat main asal dan budaya kaum Dayak khasnya Iban bergantung sepenuhnya kepada generasi muda zaman sekarang yang dilihat kurang menguasai kemahiran terbabit berbanding dengan ‘orang lama’.

“Golongan veteran kaum Iban dilihat lebih menguasai adat main asal dan budaya berbanding dengan generasi muda yang lebih terdedah kepada unsur budaya moden dari luar negara.

“Ia merupakan satu masalah yang perlu kita atasi dengan segera mulai sekarang demi mengelakkan kepupusan adat main asal dan budaya kaum Iban dikalangan generasi muda pada zaman akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 anjuran Pergerakan Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang yang berlangsung di sebuah restoran tempatan di sini malam kelmarin.

Bagi menangani masalah terbabit, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) agar lebih proaktif untuk menganjurkan aktiviti bercorak kebudayaan selepas ini.

Jika boleh persatuan dan NGO ini kata beliau boleh mengadakan kelas latihan adat main asal dan budaya Kaum Iban dikalangan para belia demi mewujudkan minat dikalangan mereka terhadap kedua-dua subjek berkenaan.

“Kesedaran perlu wujud dikalangan generasi muda kaum Iban agar mereka mahir menguasai ilmu adat main asal dan budaya kaum mereka sendiri pada masa itu pada zaman akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Timbalan Pengerusi Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang, Patrick Michael Malajin, Setiausahanya, Empaga anak Penghulu Bailey dan para ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment