Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat - Masir



Caption: SEDIA...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang bersedia untuk memulakan upacara perlepasan bagi konvoi berbasikal sempena Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Sri Aman sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (18 Julai) – Bendera Jalur Gemilang perlu dikibarkan dengan penuh semangat nasionalisme dan bukannya dikibar bagi tujuan keseronokan semata-mata demikian menurut nasihat Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Katanya terdapat sebilangan penduduk yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang ketika menjelang sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia tanpa mengetahui nilai sejarah di sebalik peristiwa tersebut.

“Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia telah dilalui oleh tokoh politik veteran kita dengan penuh liku-liku kehidupan dan kenangan pahit demi membolehkan wujudnya kelompok masyarakat majmuk yang hidup aman pada masa sekarang.

“Pembangunan pesat negara pada masa sekarang adalah hasil perjuangan mereka. Justeru saya meminta semua lapisan masyarakat untuk menghayati pengorbanan mereka untuk menyambut hari bersejarah tersebut dengan penuh bersemangat selepas ini,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Sri Aman sempena Ulangtahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 di Tebingan Sungai Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta golongan belia untuk memperbaharui azam dan tekad diri masing-masing bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi.

“Semangat patriotisme dalam diri para belia itu penting memandangkan mereka adalah golongan pelapis yang bakal mewarnai masa hadapan pembangunan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.

“Saya berharap agar para belia menyedari peranan mereka mengenai perkara terbabit dan seterusnya bertindak serius untuk sama-sama memajukan negara selepas ini,” menurut beliau.

Terdahulu sejumlah 800 orang peserta yang terdiri daripada persatuan dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan dalam majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris.

Tamat.



No comments:

Post a Comment