Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Politik pihak Pembangkang seperti musim buah engkabang - Rayong


Caption: BINCANG...Rayong (dua kiri) sedang mengatakan sesuatu kepada Harden (tengah) dan Masir (kanan) sebelum bermulanya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (29 Jun) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa menyelar parti pembangkang atau calon bebas yang berminat bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebagai politik ‘Buah Engkabang’.

Maksud terbabit jelas beliau boleh diertikan apabila terdapat ramai pihak yang datang bagi mengutip buah tersebut untuk dijual bagi mengaut keuntungan masing-masing ketika menjelang musim buah berkenaan.

“Mereka ini akan hilang sebaik sahaja tamat musim buah tersebut. Keadaan ini sama seperti musim pilihan raya apabila pihak pembangkang dan calon bebas cuba meraih sokongan politik daripada rakyat.

“Bagaimanapun mereka ini hilang begitu sahaja sebaik sahaja tamat musim pilihan raya. Justeru atas sebab ini saya menyelar hasrat mereka sebagai politik Buah Engkabang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Futsal Komuniti 1 Malaysia, Projek Jalan Kampung dan Menanam Pokok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Ulu Undop Batu Lintang, Sri Aman hari ini.

Beliau menerusi majlis berkenaan juga turut menasihatkan penduduk rumah panjang agar tidak mudah terpengaruh dengan janji yang diluahkan oleh pihak yang mengamalkan gaya politik seperti itu pada musim pilihan raya ini.

“Alangkah lebih bermakna sekiranya penduduk rumah panjang meneruskan sokongan mereka terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dapat menunaikan segala harapan kemajuan mereka di masa akan datang,” katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis itu menyaksikan Rayong mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Paku.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Penolong Jurutera Bahagian, JKR Sri Aman, Noor Ismail, Guru Besar SK Paku, Daniel Sidi, Yang Dipertua PIBG SK Paku, Jampong Sabong, para ahli Majlis Daerah Sri Aman dan ketua kaum di sini.

Majlis turut diserikan dengan upacara simbolik penyerahan buah bola dan jaring daripada wakil Pejabat Belia Dan Sukan Sri Aman, Mark Leeroy Anthony, perasmian gelanggang futsal, penanaman bunga, jamuan makan dan lagu tajaan.

Tamat.

1 comment: